Alasan macam-macam alasan diberikan bila nafsu mula menguasai diri. Pelbagai alasan juga dicipta untuk melindungi kesilapan diri. Kesetiaan isteri dibuang ke tepi.
Ikuti luahan hati seorang isteri yang dicurangi suami saat dia sarat hamil anak pertama. Namun, kenapa dia masih sanggup memaafkan lelaki itu dan berikan peluang kedua?
Z lelaki pertama yang mengetuk pintu hatiku. Siapa sangka, akhirnya membawa kami ke alam perkahwinan. Saat melangsungkan pernikahan, ramai yang memuji ketampanan suamiku, Z. Kata mereka beruntung aku mendapat suami yang handsome.
Suami seorang yang romantik. Sejak zaman bercinta, dia melayanku dengan baik da nada saja kejutan buat diriku. Sebaik berkahwin, dia tetap begitu. Terasa aku wanita yang paling bertuah di dunia ini.
Beberapa bulan selepas bernikah, aku mendapati diriku hamil anak pertama. Sudah tentu ia satu berita gembira untuk kami suami isteri. Dia menjagaku sebaik mungkin. Sebut apa saja yang teringin, pasti akan dicarinya.
Waktu itu aku telah berhenti kerja kerana ingin fokus kepada kandungan. Waktu usia kandungan 8 bulan, aku pulang ke kampung supaya mak dan ayah dapat menjagaku memandangkan Z sering kali bertugas di luar daerah. Dia risau akan keadaan diriku yang makin sarat. Di kampung ada mak dan ayah, ada dua adikku boleh tengokkan aku.
Walau pun begitu, sekurangnya tiga kali sehari kami akan berhubung. Aku sedar dia sibuk dan tidaklah menganggunya sepanjang masa. Sehinggalah saat melahirkan, Z ada di sisi. Akhirnya lahirlah anak pertama kami, A.
Ketika aku berpantang di kampung, suamiku akan pulang setiap minggu kerana jarak antara Melaka-KL tidaklah jauh. Tapi tiap kali balik, telefon tidak pernah lepas dari tangan walau ke bilik air. Tapi aku tak rasa pelik memandangkan dia memang sibuk.
Tapi, itulah. Naluri isteri pasti dapat menghidu andai ada yang tak kena pada suaminya. Beberapa kali dia mengangkat telefon, dia akan lari jauh dariku sedangkan biasanya urusan kerja, dia tak kisah kalau aku dengar. Aku mula rasa sesuatu.
Yang menghairankan bila telefonnya juga sudah ada password dan bila ku tanya apa password, dia mengelak untuk beritahu. Lagi aku tambah curi.
Atas permintaan suami, tiga bulan aku di kampung. Katanya biarlah aku benar-benar sihat dan belajar cara menjaga bayi daripada mak. Cukup tiga bulan, aku kembali ke rumah kelamin kami.
Ramai juga jiran tetangga yang datang menziarah memandangkan aku agak aktif juga dengan persatuan penduduk di situ. Apatah lagi aku terkenal dengan kepandaian membuat aneka kek. Kalau ada acara makan-makan, ada saja kek yang akan ku bawa.
Salah seorang jiran yang rapat denganku, Kak Kay turut bertandang. Banyak hal yang kami bualkan. Tapi aku lihat kak Kay seolah ada sesuatu nak diberitahu tapi serba salah. Tapi ku lihat matanya melirik pada Z yang sedang bersembang dengan suami kak Kay tak jauh dari kami.
Beberapa kali kak Kay datang ke rumahku lagi hinggalah pada satu hari dia datang ketika Z tiada di rumah. Katanya dah lama dia fikirkan akhirnya dia tekad nak beritahu aku kerana kasihankan aku. Walau pun suaminya larang, tapi dia tetap nak beritahu.
Waktu itu, aku dapat rasa tentu ada sesuatu yang berkaitan dengan Z. Ya, tepat telahanku. Kak Kay dan suaminya pernah terserempak dengan Z bersama seorang wanita muda jalan sambil berpegangan tangan. Z tak perasan mereka waktu itu.
Yang menguatkan lagi sangkaan kak Kay, dia pernah beberapa kali ternampak Z dihantar balik oleh wanita yang sama setiap kali dia balik dari out station. Kak Kay siap tunjukkan bukti gambar yang sempat diambil padaku. Dia sengaja ambil gambar kerana sedar tanpa bukti mungkin aku tak percaya.
Waktu itu, fikiranku kosong. Hatiku cuba nak menafikan apa yang ku dengar. Tapi aku kenal kak Kay. Dia bukan jenis orang yang suka fitnah tanpa usul periksa.
Aku cuba bertenang. Apa juga keadaan aku kena berani untuk berterus terang. Bila Z balik, aku tetap sambut macam biasa. Bagi dia makan dan tunggu hingga dia selesai mandi dan rehat. Waktu itulah aku duduk di sebelahnya. Anak kami waktu itu sedang tidur.
Bila ku tanya apakah dia ada wanita lain di belakangku, dia nampak terperanjat. Ku tunjukkan whatsapp gambar yang kak Kay berikan padaku tadi. Terus dia terdiam. Aku tak mengamuk atau terpekik. Dengan tenang aku minta dia terus terang.
Baca lagi artikel menarik lain di sini:
Kalau Tak Mahu Pasangan Curang, Tak Perlu “UJI” TETAPI Lebih Baik Berterus-Terang
Suami Orang Di Kaca Mata Wanita SINGLE, Serba-Serbi Nampak SEMPURNALAH Padahal…
Tiba-tiba saja dia melutut, memegang tanganku sambil meminta maaf. Katanya dia sedar dia salah dan dia berdosa kerana menduakan aku. Rupanya Z dan wanita itu berjumpa dalam satu kursus. Waktu itu dia sunyi kerana aku di kampung d
an wanita itu hadir saat itu.
Z juga bersungguh memberitahu bahawa dia akan memutuskan perhubungan dengan wanita itu kerana dia sayangkan aku dan anak kami. Percaya? Entahlah. Tapi waktu itu, aku hanya terima apa saja penjelasannya kerana fikirkan bayi kami. Apa akan jadi kalau aku dan Z berpisah?
Aku minta izin Z untuk kembali bekerja dan dia izinkan. Walau pun dia mampu beri aku kesenangan tanpa perlu bekerja tapi aku ada sebab sendiri. Walau pun aku cuba untuk percaya pada Z tapi jauh di sudut hati, aku tetap tak dapat melupakan apa yang dia buat. Bahkan, aku kembali bekerja kerana aku ingin buat persediaan. Andai satu hari nanti dia kembali buat perangai, waktu itu aku sudah cukup kuat untuk meninggalkannya. Aku ada pendapatan, bolehlah aku sara hidup dengan anakku.
Mungkin ada yang tak setuju kenapa aku masih sanggup memaafkan Z. Mungkin kerana sayang. Mungkin kerana anak. Mungkin juga kerana aku nak beri peluang untuk dia. Apa pun aku berdoa agar dia takkan mengulangi lagi kesilapan lalunya. Aku sedar banyak godaan di luar sana yang menantinya.
Jangan lupa follow kami di: