Alasan macam-macam alasan diberikan bila nafsu mula menguasai diri. Pelbagai alasan juga dicipta untuk melindungi kesilapan diri. Kesetiaan isteri dibuang ke tepi.
Ikuti luahan hati seorang isteri yang dicurangi suami saat dia sarat hamil anak pertama. Namun, kenapa dia masih sanggup memaafkan lelaki itu dan berikan peluang kedua?
Jodoh Cinta Pertama
Z lelaki pertama yang mengetuk pintu hatiku. Siapa sangka, akhirnya membawa kami ke alam perkahwinan. Saat melangsungkan pernikahan, ramai yang memuji ketampanan suamiku, Z. Kata mereka beruntung aku mendapat suami yang handsome.
Suami seorang yang romantik. Sejak zaman bercinta, dia melayanku dengan baik da nada saja kejutan buat diriku. Sebaik berkahwin, dia tetap begitu. Terasa aku wanita yang paling bertuah di dunia ini.
Beberapa bulan selepas bernikah, aku mendapati diriku hamil anak pertama. Sudah tentu ia satu berita gembira untuk kami suami isteri. Dia menjagaku sebaik mungkin. Sebut apa saja yang teringin, pasti akan dicarinya.
Balik Kampung
Waktu itu aku telah berhenti kerja kerana ingin fokus kepada kandungan. Waktu usia kandungan 8 bulan, aku pulang ke kampung supaya mak dan ayah dapat menjagaku memandangkan Z sering kali bertugas di luar daerah. Dia risau akan keadaan diriku yang makin sarat. Di kampung ada mak dan ayah, ada dua adikku boleh tengokkan aku.
Walau pun begitu, sekurangnya tiga kali sehari kami akan berhubung. Aku sedar dia sibuk dan tidaklah menganggunya sepanjang masa. Sehinggalah saat melahirkan, Z ada di sisi. Akhirnya lahirlah anak pertama kami, A.
Hidu Ada Yang Tak Kena
Ketika aku berpantang di kampung, suamiku akan pulang setiap minggu kerana jarak antara Melaka-KL tidaklah jauh. Tapi tiap kali balik, telefon tidak pernah lepas dari tangan walau ke bilik air. Tapi aku tak rasa pelik memandangkan dia memang sibuk.
Tapi, itulah. Naluri isteri pasti dapat menghidu andai ada yang tak kena pada suaminya. Beberapa kali dia mengangkat telefon, dia akan lari jauh dariku sedangkan biasanya urusan kerja, dia tak kisah kalau aku dengar. Aku mula rasa sesuatu.
Ads
Yang menghairankan bila telefonnya juga sudah ada password dan bila ku tanya apa password, dia mengelak untuk beritahu. Lagi aku tambah curi.
Kembali Ke Rumah
Atas permintaan suami, tiga bulan aku di kampung. Katanya biarlah aku benar-benar sihat dan belajar cara menjaga bayi daripada mak. Cukup tiga bulan, aku kembali ke rumah kelamin kami.
Ramai juga jiran tetangga yang datang menziarah memandangkan aku agak aktif juga dengan persatuan penduduk di situ. Apatah lagi aku terkenal dengan kepandaian membuat aneka kek. Kalau ada acara makan-makan, ada saja kek yang akan ku bawa.
Salah seorang jiran yang rapat denganku, Kak Kay turut bertandang. Banyak hal yang kami bualkan. Tapi aku lihat kak Kay seolah ada sesuatu nak diberitahu tapi serba salah. Tapi ku lihat matanya melirik pada Z yang sedang bersembang dengan suami kak Kay tak jauh dari kami.
Alasan Dia Curang
Beberapa kali kak Kay datang ke rumahku lagi hinggalah pada satu hari dia datang ketika Z tiada di rumah. Katanya dah lama dia fikirkan akhirnya dia tekad nak beritahu aku kerana kasihankan aku. Walau pun suaminya larang, tapi dia tetap nak beritahu.
Waktu itu, aku dapat rasa tentu ada sesuatu yang berkaitan dengan Z. Ya, tepat telahanku. Kak Kay dan suaminya pernah terserempak dengan Z bersama seorang wanita muda jalan sambil berpegangan tangan. Z tak perasan mereka waktu itu.
Ads
Yang menguatkan lagi sangkaan kak Kay, dia pernah beberapa kali ternampak Z dihantar balik oleh wanita yang sama setiap kali dia balik dari out station. Kak Kay siap tunjukkan bukti gambar yang sempat diambil padaku. Dia sengaja ambil gambar kerana sedar tanpa bukti mungkin aku tak percaya.
Waktu itu, fikiranku kosong. Hatiku cuba nak menafikan apa yang ku dengar. Tapi aku kenal kak Kay. Dia bukan jenis orang yang suka fitnah tanpa usul periksa.
Bersemuka
Aku cuba bertenang. Apa juga keadaan aku kena berani untuk berterus terang. Bila Z balik, aku tetap sambut macam biasa. Bagi dia makan dan tunggu hingga dia selesai mandi dan rehat. Waktu itulah aku duduk di sebelahnya. Anak kami waktu itu sedang tidur.
Bila ku tanya apakah dia ada wanita lain di belakangku, dia nampak terperanjat. Ku tunjukkan whatsapp gambar yang kak Kay berikan padaku tadi. Terus dia terdiam. Aku tak mengamuk atau terpekik. Dengan tenang aku minta dia terus terang.
Tiba-tiba saja dia melutut, memegang tanganku sambil meminta maaf. Katanya dia sedar dia salah dan dia berdosa kerana menduakan aku. Rupanya Z dan wanita itu berjumpa dalam satu kursus. Waktu itu dia sunyi kerana aku di kampung d
an wanita itu hadir saat itu.
Z juga bersungguh memberitahu bahawa dia akan memutuskan perhubungan dengan wanita itu kerana dia sayangkan aku dan anak kami. Percaya? Entahlah. Tapi waktu itu, aku hanya terima apa saja penjelasannya kerana fikirkan bayi kami. Apa akan jadi kalau aku dan Z berpisah?
Kembali Bekerja
Aku minta izin Z untuk kembali bekerja dan dia izinkan. Walau pun dia mampu beri aku kesenangan tanpa perlu bekerja tapi aku ada sebab sendiri. Walau pun aku cuba untuk percaya pada Z tapi jauh di sudut hati, aku tetap tak dapat melupakan apa yang dia buat. Bahkan, aku kembali bekerja kerana aku ingin buat persediaan. Andai satu hari nanti dia kembali buat perangai, waktu itu aku sudah cukup kuat untuk meninggalkannya. Aku ada pendapatan, bolehlah aku sara hidup dengan anakku.
Mungkin ada yang tak setuju kenapa aku masih sanggup memaafkan Z. Mungkin kerana sayang. Mungkin kerana anak. Mungkin juga kerana aku nak beri peluang untuk dia. Apa pun aku berdoa agar dia takkan mengulangi lagi kesilapan lalunya. Aku sedar banyak godaan di luar sana yang menantinya.
Madinah, ada banyak tempat menarik boleh pergi, suami isteri boleh jalan kaki sama-sama. Seperti yang kita ketahui, madinah al-Munawwarah, selain mercu tanda kegemilangan penyebaran Islam, ia menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa bersejarah yang membawa kita menyusuri perjuangan Rasulullah SAW demi menegakkan agama Allah SWT.
Kota suci kedua umat Islam selepas Makkah ini menjadi benteng atau tapak perlindungan iman khususnya kepada Rasulullah SAW ketika melalui zaman yang penuh mencabar. Berada di kota suci Madinah sama sekali berbeza kerana perjalanan itu boleh disifatkan sebagai kembara iman. Di Madinah, turunnya wahyu al-Quran, masjid pertama dibina di sini dan juga bersemadinya jasad Rasulullah SAW,
ENAM TEMPAT YANG MENARIK DI MADINAH DENGAN HANYA BERJALAN KAKI
Credit photo : FB Hjh Hana
Madinah merupakan tarikan kedua selepas Makkah bagi umat Islam. Dan seperti yang kita belajar dari sekolah lagi Madinah merupakan yang tenang dan nyaman di mana di situlah terletaknya makam Rasulullah SAW. Dan menjadi kewajiban bagi setiap umat Islam yang datang ke Madinah untuk ziarah ke makam Nabi Muhammad SAW.
Masjid Nabawi di Madinah, merupakan salah satu masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW. Seperti yang telah kita diketahui, masjid ini menjadi terbesar kedua di dunia setelah Masjidil Haram di Makkah. Rumah ibadah tersebut juga merupakan tujuan bagi umat yang ingin ziarah makam Rasulullah dan solat di dalamnya.
Sama ada dalam keadaan sedar atau tidak, banyak tarikan yang ada di Madinah. Bagi mereka yang tidak berkesempatan lagi, tidak perlu risau dan bersedih. Dengan hanya berjalan kaki, anda dapat melihat enam tarikan yang ada di Madinah.
𝗠𝗔𝗦𝗝𝗜𝗗 𝗡𝗔𝗕𝗔𝗪𝗜
Photo by pixabay from Pexels.
Tidak lain dan tidak bukan tarikan utama di Madinah ialah Masjid Nabawi. Masjid ini merupakan salah satu masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW dan merupakan masjid kedua terbesar di dunia.
Photo by pixabay from Pexels.
Keistimewaan di masjid ini selain daripada mendapat ganjaran pahala 1000 kali jika solat di masjid Nabawi, ia dikelilingi dengan payung gergasi yang akan tertutup dan terbuka secara automatik mengikut suhu di sana.
RAUDHAH @ TAMAN SYURGA
Raudhah adalah satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi dan sesiapa yang berpeluang menjejakkan kaki ke Madinah dan Masjid Nabawi, pasti akan berusaha untuk solat dan berdoa di dalam Raudhah.
Untuk pengetahuan anda, ‘petua’ untuk mengenali kawasan Raudhah dengan mudah adalah ia bersebelahan makam Rasulullah SAW dan hamparan karpetnya berwarna hijau berbanding kawasan lain dalam Masjid Nabawi yang karpetnya berwarna merah. Di situ, para Jemaah digalakkan untuk perbanyakkan doa kerana kawasan tersebut adalah kawasan yang dimakbulkan doa.
PERKUBURAN BAQI’
Perkuburan Baqi’ atau dikenali sebagai Jannatul Baqi’ terletak di sebelah tenggara (kiri) Masjid Nabawi. Perkuburan Baqi’ ini merupakan perkuburan yang paling mulia. Rasulullah SAW sering menziarahi perkuburan ini. Ada hadis mengatakan, ahli-ahli kubur Baqi’ adalah yang pertama akan dibangkitkan di akhirat kelak.
Sekiranya para jemaah mahu datang melawat, waktu lawatannya adalah selepas solat Subuh dan selepas solat Asar. Selain waktu itu, para jemaah dibenarkan masuk sewaktu ada jenazah yang hendak dikebumikan. Dan lawatan ini khas buat kaum Adam (lelaki) sahaja.
Di perkuburan Baqi’ ini dianggarkan lebih 10,000 sahabat Baginda SAW disemadikan di sini sekali gus mereka yang datang ke bumi Madinah al-Munawarrah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menziarahinya.
MASJID GHUMAMAH
Masjid Al-Ghumamah merupakan salah satu masjid bersejarah di Madinah, di masjid ini Rasullulah SAW pernah mendirikan solat istisqo’ (solat meminta hujan) dan selepas itu awan menjadi mendung di kawasan masjid tersebut. Masjid ini masih kekal berdiri sehingga sekarang, bagi mengenang peristiwa penting sebelum Rasulullah SAW wafat.
Jarak antara Masjid Nabawi dan Masjid Ghumamah adalah dalam 300meter. Jadi tiada masalah bagi jemaah umrah mahupun haji yang ingin melawat ke Masjid Ghumamah dengan hanya berjalan kaki.
MASJID ABU BAKAR AS-SIDDIQ
Masjid Abu Bakar As Siddiq merupakan salah satu masjid yang tertua di Madinah. Menurut riwayat di masjid ini, Saidina Abu Bakar As Siddiq berdiri menunaikan solat hari raya dengan kaum muslimin terdahulu dan diimamkan oleh Rasulullah SAW. Dan ada juga mengatakan, masjid ini dahulunya adalah rumah saidina Abu Bakar As-Siddiq. Wallahu’alam.
Jarak antara Masjid Ghumamah dan Masjid Abu Bakar As-Siddiq adalah dalam 40 meter. Sekiranya anda melawat Masjid Ghumamah, anda juga boleh membuat lawatan ke Masjid Abu Bakar As Siddiq kerana jarak antara dua masjid ini yang dekat dan boleh berjalan kaki sahaja.
MASJID ALI BIN ABI TALIB
Menurut riwayat di masjid ini, Saidina Ali Bin Abi Talib berdiri menunaikan solat hari raya dengan kaum muslimin terdahulu dan diimamkan oleh Rasulullah saw. Selain dari itu, ada juga mengatakan masjid ini dahulunya adalah kediaman saidina Ali bin Abi talib. Wallahu’alam.
Masjid ini tidak dibenarkan untuk solat di dalamnya kerana jarak antara Masjid Nabawi dan Masjid Ali Bin Abi Talib sangat dekat dengan pintu masuk Masjid Nabawi. Oleh itu, jemaah hanya boleh membuat lawatan sahaja di Masjid Ali Bin Abi Talib.
Dalam rumahtangga, sentiasalah bermanja-manja antara suami isteri. Salah satu yang mungkin isteri rasa janggal dan suami agak malu apabila baring atas riba. Inilah yang patut dipraktikkan dan sunnah buat suami isteri.
Baring atas riba, jangan kata suami saja-saja ada’udang sebalik batu’ atau ‘buang tabiat’, maklumlah selama ini tidak pernah buat. Tentulah isteri terasa janggal. Tapi, kalau dibiasakan, inilah yang memberi kebahagiaan dan sentiasa dalam berkasih sayang.
Tak salah pun suami nak bermanja-manja dan baring atas riba isteri. Besar pahalanya. Inilah yang dikatakan oleh Ahliya Fariza dalam perkongsiannya. Moga memberi manfaat dan panduan buat suami isteri di luar sana.
Orang-orang jahiliyyah terdahulu, memandang perempuan yang berhaid sebagai jijik sehingga mereka meletakkan undang-undang adat mereka yang meletakkan perempuan seperti barang buangan dan barang terpakai.
Apabila datang Nabi SAW, baginda menyeru manusia kepada Islam yang memandang mulia kepada kaum perempuan, walaupun mereka secara fitrah mempunyai masalah bulanan, iaitu Haid dan Nifas.
Bahkan, dengan kehadiran Haid dan Nifas ini, tidak dijadikan oleh nabi SAW sebagai peluang untuk nabi SAW tidak bermesra dengan isteri-isterinya.
Ini dilihat kepada hadis riwayat Aisyah yang berkata;
Maksudnya; ”Sesungguhnya Rasulullah SAW sering meletakkan kepalanya di ribaku, sedangkan ketika itu aku sedang berhaid, dan Baginda pula membaca Al-Quran[1]”
Dari hadis ini, kita akan dapat melihat betapa Islam adalah agama yang cukup memuliakan kaum perempuan berbanding apa yang telah dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah terdahulu.
Kemuliaan ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW yang bermesra dengan isterinya yang sedang berhaid, dengan meletakkan kepala baginda di riba isterinya yang sudah pasti haid itu berada dikemaluan yang berhampiran dengan riba tersebut. Ini ditambahi lagi dengan tindakan nabi SAW membaca Al-Quran di kala kepala baginda SAW berada di riba Isterinya.
Ekoran dari itulah, Imam An-Nawawi menyatakan bahawa hadis ini menjadi dalil kukuh bahawa tidak dilarang membaca Al-Quran dalam keadaan berbaring dan bersandar pada orang perempuan yang sedang berhaid, malahan ianya juga menjadi dalil bahawa tidak menjadi kesalahan membaca Al-Quran berhampiran dengan najis[2].
Tidak dinafikan, perasaan cinta antara suami isteri itu kadangkala menebal, dan kadangkala menipis, lebih-lebih lagi dikala isteri dalam keadaan tidak suci ekoran haid dan nifas. Oleh itu, bagi hendak menghangatkan perasaan cinta antara suami isteri, perlu mempunyai daya kreatif masing-masing dalam melahirkan perasaan cinta bergelora.
Dengan hadis ini, Nabi SAW seakan-akan mengajar kepada kita tentang antara tindakan yang perlu dilakukan bagi menghangatkan balik perasaan cinta itu.
Jangan Malu Untuk Bermanja
Justeru itu, sebagai suami, tidak seharusnya merasa malu untuk meletakkan kepala mereka di riba isterinya. Begitu juga, pihak isteri pula tidak selayaknya merasa janggal dengan tindakan suaminya itu sehingga menganggap tindakan sebegitu seperti tindakan anak dengan ibunya yang mahu bermanja.
Sesungguhnya bermanja antara suami isteri merupakan ibadat disisi Allah, yang melahirkan banyak kelebihan dari sudut keuntungan dunia, mahupun keuntungan di akhirat.
Keuntungan di akhirat adalah dengan balasan pahala, dan keuntungan di dunia adalah dengan kemesraan dan kebahagiaan yang wujud dalam kehidupan berumah tangga.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Bukan semua menantu itu direzekikan mempunyai keluarga mentua yang memahami dan boleh bertolak ansur. Ada mentua, yang tetap mahu campurtangan urusan keluarga anak menantu nya, walaupun anak-anaknya itu sedang melayari bahtera perkahwinan yang bahagia.
Ini realiti yang benar-benar terjadi dalam masyarakat. Cuma, kes sebegini segelintir saja diketahui umum. Apabila terjadinya konflik menantu-mentua, maka yang akan menanggung akibatnya siapa?
Hadamkan perkongsian daripada Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli ini. Apa alasannya untuk mentua dan menantu perlu hidup dalam keadaan harmoni dan kekal bahagia.
Mentua, Anak Menantu Kena Ada Harmoni Untuk Kekal Bahagia
Semalam, ada orang tanya tentang isu tangkapan khalwat seorang wanita yang ada bersama di dalam rumah tersebut bersama anak-anak, suami dan seorang anak angkat yang saya percaya lelaki yang sudah besar. Tangkapan dibuat disebabkan suami tersebut dalam keadaan yang tidak berupaya dan boleh datangkan syak si isteri melakukan perbuatan tidak baik.
Sebagai pengamal undang-undang, kes ini tak wajar untuk saya ulas kerana belum ada dakwaan di mahkamah dan masih ada ruang bela diri bagi wanita tersebut. Cuma yang menarik perhatian adalah kesukaran hidupnya bersama dengan suami yang kurang upaya dan anak-anak ditambah dengan ketegangan dengan mertua yang katanya inginkan duit insuran suami yang mengalami kemalangan.
Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran cuma apa yang perlu kita muhasabah adalah pentingnya hubungan yang baik antara mertua dan menantu. Selalu sangat kita dengar isu begini dan memang banyak perceraian suami isteri disebabkan hubungan tegang kedua-duanya.
Apakah punca yang sering didengari?
Biasanya isu gaduh mentua dan menantu ini adalah disebabkan kelemahan pihak suami untuk mengimbangi antara isteri dan keluarganya. Kadang-kadang suami melebihkan keluarga dia. Ada juga kadang-kadang suami lebihkan isterinya.
Begitu juga yang biasa berlaku di Mahkamah adalah berkaitan dengan perebutan harta. Sebagai contoh, jika sekiranya suami meninggal, rumah yang dibeli oleh suami tersebut akan menjadi pusaka. Maka, mertua tetap akan dapat bahagian meskipun rumah tersebut tidaklah dimiliki oleh mereka. Isu tegang ini akan lebih bertambah jika si menantu ini membuat tuntutan harta sepencarian untuk menambahkan bahagian dia yang selayaknya.
Apa kesan yang berlaku akibat hubungan tegang ini?
Perceraian
Pastinya, kalau suami isteri masih bersama, akan ada ‘possibility’ atau kebarangkalian untuk berlaku perceraian. Sangat banyak isu yang berlaku perceraian di Mahkamah adalah disebabkan mentua kacauganggu rumahtangga. Menantu tak suka mentua. Dan mentua benci menantu yang kononnya mengubah sikap anak lelakinya.
Jagaan Anak
Antara kesan lain, berlaku perebutan hak jagaan anak antara mentua dan menantu. Biasanya perkara ini jika kematian suami. Ibu lawan mertua untuk berebut hak jagaan anak.
Tak kurang juga ketika suami masih hidup pun, mentua lebih kuah dari sudu nak ambil jagaan cucu. Sedangkan, pihak-pihak belum pun berpisah.
Nafkah Anak
Bila dah tak dapat jagaan anak, biasanya isu inilah yang akan bersangkut. Ada isu bapa mentua yang enggan tanggung nafkah cucunya selepas kematian suaminya. Sedangkan dalam syarak, menjadi tanggungjawab datuk menafkahi cucunya selepas kematian bapa kepada anak-anak.
Kadang-kadang, bila lelaki tak mati pun, tapi disebabkan bercerai, nafkah anak enggan ditanggung si bapa sebab isu bertelingkah bekas isterinya dengan mentua. Yang menjadi mangsa sebenar adalah anak-anak. Kebajikan merekalah yang perlu diutamakan kerana mereka adalah amanah Allah yang tak boleh dipisahkan.
Apakah langkah terbaik untuk rawat/elak ketegangan mentua & menantu?
Suami main peranan dengan baik
Seorang anak lelaki bertanggungjawab kepada ibu dia. Seorang suami bertanggungjawab pada isteri dan anak-anaknya. Jadi, lelaki mesti memainkan peranan penting sebagai orang tengah yang boleh mengharmonikan hubungan tersebut.
Saling bermesra
Perlu ada hubungan mesra sejak sebelum kahwin dan selepas berkahwin antara isteri dan mertua. Jika tidak ada pergaulan mesra ketika suami masih hidup, akan bertambah berat jika berlaku kematian.
Jangan libatkan anak-anak
Seteruk mana sekalipun perbalahan antara mertua dan menantu, sebolehnya jangan libatkan anak-anak. Jangan hasut menghasut perkara negatif kepada mereka dengan tujuan membenci sedangkan mereka ini adalah jambatan antara keduanya.
Bertolak ansur
Saya percaya, apa jua keadaan seseorang, sifat bertolak ansur ini penting demi rumahtangga harmoni. Kerana, manusia tidak sempurna, namun kita boleh bertolak ansur untuk menerima kekurangan masing-masing. Menantu terima kekurangan mertua, mertua juga terima kekurangan menantu.
Kesimpulan :
Kes wanita yang ditahan tersebut telah menunjukkan bagaimana isu hubungan mertua dan menantu itu menjadi tegang gara-gara duit insuran dakwanya. Saya percaya setiap orang mungkin ada isu yang sedemikian atau berbeza sedikit puncanya hubungan yang tidak harmoni.
Cuma, apa yang penting, sebagai mertua, elakkan daripada kacauganggu rumahtangga anaknya sekiranya hubungan suami isteri ini baik dan tiada apa-apa masalah. Menantu pula kenalah cuba mengambil hati dan menerangkan dengan baik apa sahaja isu yang timbul. Kena ada sefahaman, jika tidak, tempoh hayat rumahtangga itu, pastinya sekejap sahaja.
Suami atau isteri berkahwin, bukan mereka sahaja. Kahwin juga dengan keluarga masing-masing.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...