Alami ‘Fetus In Fetu’, Bayi 7 Bulan ‘Hamil’ Selamat Jalani Pembedahan

Share

Keadaan bayi ‘hamil’ mengandungkan janin meskipun tidak dapat diterima fikiran namun ia tidak mustahil berlaku dalam dunia perubatan.Kejadian yang berlaku di New Delhi, India, seorang bayi perempuan yang dilahirkan dengan janin tumbuh di dalam tubuhnya selamat menjalani pembedahan baru-baru ini.

Menurut ibu bapa kepada Prinsa Rathava yang kini berusia tujuh bulan, menyedari terdapat benjolan yang tumbuh dengan cepat dalam tubuh anak mereka.

Manish dan Motisingh Rathava membawa bayi tersebut menjalani pemeriksaan di mana sepasukan doktor melakukan pembedahan di Hospital Awam di Gujarat untuk membuang janin cacat itu pada 19 Februari lalu.

Hanya 200 Kes Seluruh Dunia

Dunia perubatan menggelarnya sebagai ‘fetus in fetu’ yang mana keadaan itu jarang berlaku dan hanya 200 kes pernah dilaporkan di seluruh dunia.

Ketua Jabatan Pembedahan Pediatrik, Dr Rakesh Joshi berkata, 130 gram janin dikeluarkan dari bahagian usus dan buah pinggang bayi terbabit.

“Dia harus membesar dengan sihat. Dalam kes ini, janin belum berkembang itu mempunyai jalur vertebra normal, tisu otak, kepala, tunas anggota badan dan dubur.

Ibu bapa bayi tersebut mula menyedari struktur seperti benjolan itu ketika dia berumur lima bulan. Benjolan itu kemudiannya membesar pada kadar membimbangkan.

“Pembentukan itu berlaku disebabkan oleh pemisahan kembar tidak lengkap yang gagal berkembang dan sebaliknya menjadi parasit dalam badan kembar yang sihat,” jelasya.

Ujarnya lagi, prosedur pembedahan itu agak sukar, namun Prinsa semakin pulih, tiada komplikasi pada masa depan dan dia akan membesar secara normal.

Macam-macam jenis penyakit ada, jaga pemakanan dan gaya hidup serta berdoalah banyak-banyak agar diberi kesihatan yang baik buat diri dan keluarga kita.

 

Sumber:Sinar Online & The Sun

Published by
Suhaidah Abd Wahab