Isnin lalu, allahyarham Datuk A Rahman Hassan dihantar dengan ambulans ke Hospital Ampang selepas pitam di stesen minyak dekat Ampang.
Semalam, anak sulung arwah, Khir Rahman memaklumkan ayahnya ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam keadaan kritikal.
Manakala, anak saudara arwah, Azlee Senario berkongsi yang doktor ada meminta isteri, anak-anak dan ahli keluarga datang bertemu arwah apabila keadaannya semakin kritikal, iaitu selepas maghrib.
Malah, sejak tiga hari lalu arwah bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan.
Kira-kira 12.40 pagi ini, Allahyarham telah menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada usia 73 tahun. Akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung.
Tambah Azlee, arwah meninggal di sisi isteri dan anak-anaknya.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, selepas urusan bedah siasast selesai. Dan jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Taman Keramat selepas solat Zohor.
Pada 1 Jun lalu, A Rahman telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat masalah jantung. Bagaimanapun, dua hari sebelum Aidilfitri arwah dibenarkan pulang ke rumah.
Sesungguhnya kehilangan ini amat memberi kesan kepada industri seni tanahair. Ketika hayatnya, arwah seorang penyanyi hebat era 1960-an. Allahyarham juga adalah vokalis kumpulan Orkes Nirwana.
Malah, pernah memenangi Anugerah Tokoh Kepimpinan Industri Muzik Anugerah Kecapi Papuita 2006. Antara lagu-lagu popular arwah adalah Bimbang, Cincin Belah Rotan, Hanya Untukku, Perpaduan Hidup, Syurga Idaman dan banyak lagi.
MW : Al Fatihah.. semoga roh Allahyarham Datuk A Rahman Hassan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Sumber/Foto : Seniman, Berita Harian