Allahu, sayunya mendengar berita ini.Naufal Amsyar, bayi lelaki berusia 10 bulan yang parah di kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuh, meninggal dunia selepas empat hari dalam keadaan kritikal dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 9 pagi ini.
Bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28, yang memaklumkan perkara itu melalui aplikasi WhatsApp, berkata Naufal Amsyar, yang juga bayi tunggalnya itu telah pulang ke rahmatullah.
“Assalamualaikum. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat anak saya Naufal Amsyar Bin Nabil Fikri yang telah kembali ke rahmatullah pada 9 pagi tadi,” katanya hari ini.
Menerusi status terkini di Facebook ibu mangsa, Eyka Rohmat pula mengesahkan, allahyarham Naufal Amsyar akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tangkak johor selepas Zohor .
Selasa lalu, bayi malang yang dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak itu dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.
Susulan daripada itu, Khamis lalu polis menahan pengasuh terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga dan ibu bapa anak syurga ini. Semoga diberi kekuatan dan kecekalan dalam menghadapi ujian ini.Alfatihah.
Baca disini:
Sumber: bharian