‘Akui cuai, abaikan carseat, tali pinggang.’ Ibu ini syukur suami, anak selamat. Tiada kata selain syukur alhamdulilllah apabila keluarga kecil ini terselamat daripada kemalangan yang berlaku.
Namun dari rakaman video dashcam ramai netizen berkongsi rasa berdebar dengan kemalangan yang berlaku. Mujurlah keluarga Nur Diyana ini selamat semuanya dan hanya mengalami keceraan ringan.
Tetapi trauma yang dialami tentu saja akan dikenang sampai bila-bila. Ikuti perkongsian Nur Diyana ini dan hadam baik-baik peringatan yang disampaikan:
Saya mungkin akan kehilangan anak dan suami malah nyawa saya sendiri semalam. Syukur, Maha Baiknya Allah, kami bertiga terselamat.
Semalaman saya muhasabah diri. Terkebil-kebil sehingga lewat malam. Badan sakit sana, sini cuma mungkin masih terkejut, saya tidak mampu tidur.
Satu-satu ingatan datang.
Saya bukan isteri dan ibu yang baik. Bahkan masih belum mampu berbakti sebaiknya pada ibu ayah dan adik beradik saya. Saya juga bukan kawan yang baik.
Suami, Anak Selamat
Paling teruk, saya sedar saya bukan hamba yang taat, yang menjadi wajib bagi saya seperti solat dan aurat juga masih lompang, apatah lagi menghidupkan amalan-amalan lainnya.
Saya kira, “aku masih muda. Belum 30 pun…” jadi mestilah umur saya masih panjang sehinggalah saya sendiri berdepan dengan detik detik yang mengingatkan saya kematian itu begitu hampir.
Misal kata ada bas mahupun lori treler meluncur laju di laluan tersebut semalam, ataupun suami merempuh penghadang jalan, pasti kami bertiga sudah menjadi sekujur tubuh yang sudah sejuk, dibalut kain kafan saat ini, menanti detik detik untuk ditalkin dan disemadikan. Saya tidak mungkin lagi mampu mengarang panjang tulisan ini.
Pemandangan di wad kecemasan hospital semalam benar-benar menginsafkan saya. Beberapa minit sebelum ambulans yang membawa saya dan anak tiba, ada kes kemalangan juga.
Ads
Ketika kami sampai, darah mangsa membasahi lantai hospital dan akhirnya saya sendiri menjadi saksi sekujur tubuh yang parah tadi dibawa keluar ke rumah mayat menjelang waktu senja.
Akui Cuai
Kalau tidak kerana Allah SWT mengizinkan peluang bernafas buat kami, tentu saja yang terbaring di troli itu adalah salah seorang dari kami atau boleh jadi kami bertiga.
Saya dan anak terpelanting dalam kereta dan menghempap suami, dalam keadaan terkejut, suami terus tanya “ayang okay?” dan saya hanya mampu mengangguk laju. Sepertinya bingung.
Ditolaknya saya dan anak keluar dari tingkap sedangkan dia sendiri masih berusaha keluar dari tempat duduk pemandu. Beberapa minit selepas kejadian, saya mula rasa nafas menjadi pendek, seperti sesak nafas.
Kawasan perut dan dada mula sakit, suami minta supaya kami dibawa pergi dengan ambulans. Syukurlah, semuanya baik-baik saja. Saya dan suami masing-masing cuma mengalami luka dan cedera ringan di beberapa bahagian otot, sepertinya terkehel.
Apa yang saya ingat, saya dengar ada suara dari orang ramai yang turut membantu kami “tolong ada baby, ada baby”. Mereka segera bantu kami keluar dari kereta tanpa bimbang kereta kami mungkin akan meletup. Ada insan berhati mulia yang menarik saya dan anak untuk duduk di kereta mereka sedang langit masih renyai.
Bimbang katanya anak saya terkena hujan. Disuruhnya saya bertenang. Tapi sayang, “Kereta apa ? Bagaimana rupa orangnya?”..Saya gagal ingat dengan jelas.
Ads
Tali Pinggang
Cuma kalau sampai tulisan ini kepada tuan, puan yang membantu kami sekeluarga semalam, cuma Allah SWT sahajalah yang mampu membalas budi baik kalian kepada kami.
Diharapkan dengan ujian yang sedikit ini, moga moga ia menjadi satu permulaan baru untuk kami meniti usia yang tersisa. Menjadi suami dan isteri yang sentiasa menghargai kehadiran satu sama lain, menjadi ibu bapa yang penyabar, menjadi anak yang berbakti, menjadi kawan kawan yang menyenangkan dan yang paling utama menjadi hamba yang patuh pada Illahi.
Entah esok atau lusa, tidak ada lagi peluang untuk saya bernafas lagi, mungkin sudah sampai masa untuk saya benar-benar pergi tak kembali.
Izinkan saya simpan tulisan ini di sini untuk memori.
Lebuhraya KL-Karak,
KM 71.5 Arah Barat.
16 Mei, 2:07 petang.
Anak Baik-Baik Saja
Manakala di ruangan komen, Nur Diyana turut berkongsi keadaan terkini anaknya.
Alhamdulillah terima kasih semua atas kasih sayang dan doanya. Moga-moga doa kalian Allah terima.
Bagi yang bertanya tentang anak saya Maryam, alhamdulillah Maryam baik-baik saja. Waktu kejadian, Maryam baru selesai menyusu.
Khilaf saya, saya tak letakkan Maryam di car seat dan saya juga tak pakai tali pinggang. Pada percaturan saya, “kan lagi senang nak menyusu”. Selang beberapa minit selesai menyusu, kejadian ini berlaku…
Ambil Iktibar
Saya cuma sempat peluk erat kepala dan badan anak dan membongkokkan badan saya menutupi anak, pegang anak sekuatnya kerana bimbang dia terpelanting ke jalan, sebelum saya bersama anak terpelanting dan terguling dari tempat duduk kami.
Saya akui ini salah saya, saya cuai, mengabaikan car seat dan tali pinggang…
Ads
Moga ibu bapa lain sama sama ambil iktibar dari apa yang terjadi pada saya..biarlah anak saya menangis di car seat lepas ni dari saya menangis kalau apa apa terjadi pada dia.
Saya sangat yakin kalau saya tak peluk erat anak semalam, sudah tentu dia yang paling teruk terpelanting, terhantuk malah mungkin terhempap dengan badan saya sendiri atau barang barang lain dalam kereta
Pentingnya Dashcam
Dari sini selain tali pinggang dan carseat, kita dapat faham betapa pentingnya :
Saya sangat sangat sarankan semua kawan kawan untuk pasanglah dashcam. Harganya siap pasang sekitar RM 700 juga tapi percayalah memang berbaloi.
Masa kejadian, ramai juga yang datang marah-marah kepada suami dan cakap “Macam mana ko boleh langgar kereta depan???”
Eh, bila diingatkan balik, jadi sakit hati sendiri sebab dah lain pula ceritanya. Sudahlah kami sendiri pun masih terpinga-pinga dengan apa yang jadi, badan pun sakit, tiba-tiba disalahkan pulak.
Malah, ada yang cakap suami saya bawak kereta laju sedangkan saya sangat yakin kelajuan kereta kami di tahap yang selamat, beberapa km saja lagi kami sudah sampai pun ke susur keluar Bentong.
Kami bawa juga rakaman dashcam ini ke balai, biarlah ia diadili dengan sebaiknya.
Mingguan Wanita : Pantang maut sebelum ajal, alhamdulillah ketiga-tiganya selamat. Semoga keluarga kecil ini dipermudahkan urusan dan kembali pulih seperti sediakala.
Macam-macam cara dilakukan untuk menjadi terkenal dan popular dimata dunia.Seorang wanita di Pennsylvania, Amerika Syarikat mempunyai keinginan luar biasa apabila dia ingin memiliki peha terbesar di dunia. Ibu kepada 5 orang anak ini,Bobbi-Jo Westley, 43 tahun ketika ini mempunyai saiz peha 95 inci namun dia ingin memecahkan rekod pemilik peha terbesar dunia dari Los Angeles, Mikel Ruffinelli yang memiliki saiz 99 inci.
Popular Di Media Sosial
Bobbi tidak berputus asa untuk memperolehi idaman peha idaman untuk menambah sekurang-kurangnya ekstra 5 inci lagi bagi menewaskan pemilik peha terbesar tersebut sekaligus memecahkan rekod.
“Peha saya membuat saya unik dan ia memberi motivasi diri kepada saya. Saya menjadi popular kerana peha dan punggung yang besar, ia merupakan perkara pertama yang membuatkan orang perasan kehadiran saya” katanya.
Saiz luar biasa pehanya itu membuatkan Bobbi popular di media sosial sehingga ditawarkan AS$2,000 (RM 7,915) untuk sekeping gambarnya.
Bukan itu sahaja, ramai juga yang melahirkan rasa teruja dengan potongan pehanya itu sehinggakan dia menerima banyak kiriman hadiah, bahkan ada juga yang mahu melamarnya.
Alami Kesukaran Melakukan Aktiviti Harian
Namun, disebalik kegembiraanya itu, Bobbi yang memiliki berat 245 kg dan tinggi 158 cm juga mengalami masalah akibat peha dan punggung yang besar. Iaitu kesukaran untuk melakukan aktiviti harian terutama dirumah malah dinasihatkan doktor supaya berdiet.
” Sebenarnya memiliki peha dan punggung yang besar agak meyukarkan juga. Bila saya mahu turun atau naik tangga, saya perlu lakukan secara mengiring. Saya tidak boleh duduk diatas kerusi sandar.Kali terakhir saya berjumpa doktor berat saya adalah 245kg” jelas Bobbi.
Pakar nutrisi MyTrimLine Weight Loss and Wellness Centers, Nadia Sharifi berkata, berat badan Bobbi disebabkan tiroid yang kurang aktif sejak enam tahun lalu.
“Dia berisiko sakit jantung yang boleh berpunca daripada pembuluh darah tersumbat yang boleh meragut nyawanya. Dia harus menukar gaya hidup sihat dan berdiet,” katanya.
Macam-macam hal.Apa-apapun pesanan buat wanita lain, jangan diturutkan keinginan yang pelik-pelik seperti ini demi untuk jadi popular dan terkenal. Apa yang paling penting jagalah kesihatan sebaiknya dan jalani gaya hidup yang lebih sihat, kerana diri sendiri yang akan menanggung akibatnya.
Buah Pinggang merupakan antara ‘organ berharga’ dalam tubuh badan. Tindakan menjual buah pinggang orang lain tanpa pengetahuan sangat tidak bertanggungjawab.Apatah lagi dilakukan oleh orang pasangan hidup sendiri.
Seorang wanita di Malkangiri, India terkedu selepas mengetahui satu buah pinggangnya sudah dijual suaminya, empat tahun lalu, iaitu pada tahun 2018.
Ranjita Kundu, 31, kemudiannya membuat laporan polis terhadap suaminya Prasant Kundu pada Rabu, lapor Times of India.
Didakwa Ada Ketulan Batu
Rahsia itu terbongkar selepas Ranjita mengadu sakit perut dan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Doktor yang menjalankan pemeriksaan lanjut kemudian mengesahkan satu buah pinggangnya sudah tiada.
Mengingati kembali kejadian, Ranjita memaklumkan dia dimasukkan ke sebuah hospital swasta kerana dikatakan ada ketulan batu.
“Ketika mendapatkan rawatan, suami menjual satu buah pinggang tanpa pengetahuan saya kerana dalam keadaan tidak sedar akibat dibius,” katanya.
12 Tahun Berkahwin
Ranjita memaklumkan suaminya seorang warga Bangladesh dan mereka sudah berkahwin selama 12 tahun dengan memiliki dua anak.
“Lapan bulan lalu, suami pergi ke Andhra Pradesh untuk bekerja dan bernikah dengan wanita lain di sana.
“Kakak ipar pula kerap menyeksa saya dan sentiasa menyokong segala keputusan suami,” katanya.
Dia berkata, suaminya kini tidak lagi menjenguk dia dan dua anak mereka.
“Sekarang, saya tinggal di rumah ibu bapa dan kini tampil untuk mendapat keadilan,” katanya.
Polis Malkangiri mengesahkan laporan yang dibuat wanita terbabit dan siasatan lanjut sudah dijalankan.
Mingguan Wanita: Tergamaknya suami buat macam ni pada isteri. Suka hati je jual buah pinggang isteri sedangkan isteri tak tahu menahu pun. Malah berbahagia kahwin lain dan abaikan isteri pula.
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
#kelasjahitankreatif #sewingworldgallery
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
27 Tahun Terpisah Sejak Kecil, Lembut Hati Cari Emak Semula Selepas Dipujuk Isteri. Isteri sememangnya memainkan peranan penting dalam melembutkan hati suami dalam apa juga perkara. Lebih-lebih lagi konflik di dalam hubungan kekeluargaan yang melibatkan mak ayah dan anak.
Memang bukan mudah untuk menerima ‘kesilapan’ dan ‘kesalahan’ mak ayah. Apatah lagi ditinggalkan sejak kecil tanpa sebarang penjelasan yang kukuh. Rindu pada belaian kasih ibu, beserta ego dan marah menjadi satu.
27 Tahun Terpisah
Selepas 27 tahun terpisah, Saufi Marwan Muhammad Hariri bertemu semula dengan ibu kandungnya, Jeh-An Adsanee dalam satu pertemuan di Satun, Thailand, baru-baru ini.
Penyatuan semula dua beranak itu mendapat perhatian netizen selepas Saufi Marwan, 32, memuat naik video pertemuan dengan ibunya di TikTok.
Menerusi video itu, jelas kerinduan pada wajah Saufi Marwan dan Jeh-An Adsanee, 55, terhadap satu sama lain malah mereka terus berpelukan dan menangis sebaik bertentang mata.
Saufi Marwan tidak datang berseorangan tetapi ditemani isteri, Najla Zakaria, 32, dan dua anak mereka.
3 Dekad Terpisah
Berkongsi kisah sebenar, Saufi Marwan berkata, dia dan ibunya bertemu semula pada Ramadan tahun lalu.
Guru Sains Sukan, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra, Kedah itu berkata, ia adalah pertemuan pertama mereka selepas hampir tiga dekad terpisah tanpa khabar berita.
“Saya dan emak terpisah ketika berumur empat tahun dan difahamkan, puncanya adalah kerana ada konflik ketika itu.
“Oleh kerana ayah ada masalah kesihatan mental dan tidak bekerja, saya dibesarkan datuk dan nenek.
“Jadi, saya dapat kasih sayang daripada mereka yang membesarkan saya sehingga masuk ke universiti,” katanya.
Lembut Hati Terima Pujukan Isteri Cari Emak
Menurutnya, individu terdekat dan rakan sejak di bangku sekolah hingga ke universiti sebelum ini kerap menasihatkannya untuk mencari ibu kandung.
Bagaimanapun Saufi Marwan enggan kerana beranggapan ibunya bersalah kerana meninggalkannya ketika kecil.
“Saya tak nak cari sebab ego, marah dan ada dendam dengan emak kerana dahulu, saya tak tahu cerita sebenar.
“Pernah juga nak cari ibu sebelum kahwin dahulu tetapi niat itu terbantut namun terbuka hati selepas dipujuk isteri pada awal Ramadan tahun lalu.
“Lagipun isteri nak sangat jumpa ibu mentuanya dan hidup saya pula berasa kosong selepas kematian ayah dua tahun lalu.
“Oleh kerana itu, saya jadi lembut hati dan nekad untuk cari emak,” katanya.
Saufi Marwan berkata, dia ada bertanya dengan adik beradik lain mengenai ibunya namun tidak dapat maklumat diperlukan.
Jejak Di Facebook
Menyedari tiada cara lain, Saufi Marwan memuat naik hantaran di Facebook (Fb) sebagai usaha untuk menjejak ibunya.
“Saya tak tahu banyak mengenai emak. Apa yang saya tahu emak tinggal di Satun. Jadi saya kongsi maklumat yang ada di Fb.
“Tiga hari kemudian, saya dihubungi seorang wanita menerusi kiriman mesej di Fb menyatakan dia kenal dan sedia bantu dapatkan nombor telefon daripada keluarga emak di Satun.
“Hasil pertolongan wanita itu, saya dapat berhubung semula dengan emak menerusi panggilan video dan dia sudah ceritakan kisah sebenar sebelum kami bersua muka.
“Pada waktu itu, baru saya tahu kisah sebenar malah emak pernah beberapa kali datang ke Malaysia untuk cari saya namun tiada rezeki kami berjumpa sebelum ini disebabkan ada halangan,” katanya.
Syukur Bertemu Kembali Emak
Berhubung kisahnya yang tular, Saufi Marwan berkata, niatnya memuat naik video di TiKTok sekadar untuk berkongsi kegembiraannya dan simpanan peribadi di platform berkenaan.
“Tak sangka pula boleh tular namun kebanyakan komen positif tetapi ada juga yang kecam dengan mempersoalkan mengapa baru cari emak selepas sekian lama terpisah.
“Betul juga apa yang dikatakan itu, cuma dahulu saya terlalu ikutkan perasaan dendam dan amarah serta terlalu ego walaupun sedih sebenarnya apabila tengok orang lain ada ibu.
“Apa pun itu kisah lama dan kini, saya bersyukur kerana emak sudah kembali. Buat masa ini, emak masih tinggal di Satun dan saya akan pulang ke sana sekali sebulan.
“Memang ada perancangan untuk bawa emak tinggal bersama di sini dan mudah-mudahan ia jadi kenyataan nanti,” katanya.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah dapat bertemu lagi dengan mak. Walau apa pun konflik yang berlaku, tetaplah memaafkan mak kerana dia merupakan insan yang melahirkan kita di dunia dan pastinya setiap mak inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya.