Aku Terima Nikahnya..

Aku Terima Nikahnya..

Ketika isteri masih cinta, hatinya akan diserahkan sepenuh jiwa raga buat suami yang dinikahinya. Tapi, suami jangan sampai hati wanita ini pecah.. sebab untuk mencantumkan kembali retaknya akan ambil masa bertahun malah hampir tiada.

Luahan jujur Nur Mayani yang baru melalui episod perpisahan dalam hidupnya begitu dekat sekali. Pesannya ahar lelak lebih menghargai wanita dan ini alasannya.

Saat Kau Menikahi Seorang Wanita

Wahai Sang Suami…

Saat kau memiliki seorang wanita. Itu saat paling indah yang kau rasa. Indahnya, bukan hanya kerana dalam ramai-ramai lelaki, dia memilih kau sebagai suami. Indah yang sebenarnya kerana Allah mengizinkan kau, memberikan kau, memilih kau, menganugerahkan kau satu peluang yang sangat-sangat berharga. Peluang yang tak semua lelaki dapat rasa. Peluang yang sukar untuk kau bayangkan hingga terlaksananya penyatuan dua jiwa manusia.

Wahai Sang Suami…

Debar dan susahnya melalui saat akad nikah, itu sebenarnya debar dan cabaran kecil yang bermula. Selepas itu, sekeping jiwa milik seorang wanita kau perlu teroka. Lebih dan lebih lagi. Hingga satu saat kau rasa, wanita ini barulah aku betul-betul kenal dia setelah bertahun-tahun kau makan, tidur, makan dan mandi bersama.. Iya, setelah kau lalui hari-hari kau bersama dia.

Wahai Sang Suami…

Wanita ini makhluk pelik yang mudah. Makhluk unik yang istimewa. Makhluk kuat yang kadangnya lemah. Makhluk lemah yang kadang jiwanya lebih kental dari kau. Sepanjang hidup dengan dia. Kau perlu belajar banyak perkara.

Kau perlu belajar mengucapkan TERIMA KASIH, walaupun perut kau yang lapar hanya dihidangkan dengan telur goreng kicap dengan nasi panas. Ucapan terima kasih itu, akan menjadikan dia wanita terhebat di dapur. Saban hari, kau akan merasa satu usaha untuk dia menyampurnakan masakannnya.

Wahai Sang Suami…

Walaupun wanita itu terlalu berdikari. Boleh drive kereta manual ke sana ke mari. Sesekali, kau jadilah driver dia. Tanyalah ke mana dia mahu kau bawak dia ‘lari’. Genggamlah tangan dia. Jalan dan melewati suasana tenang yang akan membuatkan dia tersenyum dan hilang semua rasa sunyi.

Wahai Sang Suami…

Wanita ini budinya tak pernah dia minta untuk dibalas dengan duit berguni-guni. Cukuplah kau sebut apa yang telah dia korbankan dan cium dahi dia sebagai tanda kau menghargai. Sudah cukup untuk dia terus berada di sisi kau sampai mati.

Ucapkan, sebutkan setiap apa yang telah dia lalui dengan payah bersama kau dan iktirafkan dia sebagai teman sehidup semati yang paling kau kagumi. Kuat dan tabahnya dia memberikan kau inspirasi untuk menjadi suami yang paling dia sayangi. Paling dia cintai.

Wahai Sang Suami…

Walau penat kau melayan segala peel pelik dan jengkel sorang wanita, kau perlu belajar untuk mengambil sekecil-kecil benda hingga sebesar-besar rahsia yang dia ada. Walaupun dia hanya menunjukkan handbag murah berharga RM 35 di Shopee. Dia takkan meminta dibelikan. Layani dia. Cukuplah kau kata handbag itu lawa jika dia yang bawa. Cukuplah kau kata; “Nanti kalau abang ada duit, abang belikan eh?” Itupun sudah buat dia tidur tak lena.

Wahai Sang Suami…

Jangan lupa untuk memuji-muji. Kecantikan dia, kenakalan dia, kecomelan dia, kegarangan dia, kepolosan dia, ketabahan dia, bakat dia, hanya kau sorang yang tahu dan rasa. Pujilah dia lawa dia antara semua wanita di dunia, walaupun dia ada jerawat penuh dia muka. Pujilah dia wanita terseksi walaupun dah beranak lima. Lemak-lemak degil penuh dipaha. Strech mark berselirat di merata-rata. Siapa lagi yang paling lawa untuk kau kalau bukan dia?

Wahai Sang Suami…

Jiwa sorang wanita Allah jadikan cukup kuat. Kental. Tabah. Tapi, percayalah, hanya kau yang tahu saat bila dia rebah. Saat bila dia lemah. Saat bila dia perlukan pelukan hangat dan kata-kata semangat. Cukuplah kau hanya dakap dia dan kata; “Syutttt…Syuttt…Dah jangan sedih. Abang ada dengan sayang.” Segala rabak, segala luka, segala apa yang menoreh hatinya, akan segera sembuh. Akan segera tercharge tenaganya.

Wahai Sang Suami…

Walau macam manapun kau busy. Cari dan curilah masa untuk kau jadi boyfriend yang selalu merindui. Selalu menemani. Walaupun hanya sempat whatsapp kata, “Abang rindu sayang sangat-sangat”. Itu memadai dari kau bertahun-tahun membiarkan dia sepi. Sunyi.

Wahai Sang Suami…

Aman manapun sebuah hubungan. Dia wanita akan banyak melakukan kesilapan. Dia takkan terlepas melukakan kau. Menyakiti kau. Tapi, kau adalah Imam yang mengimamkan dia dalam semua benda. Bermula dari solat hinggalah bagaimana untuk membahagiakan. Jika kau selalu menunjukkan ego. Jika kau paling kedekut untuk mengucap maaf. Kau juga akan kehilangan seorang wanita yang lembut hatinya. Kau juga akan melahirkan seorang wanita degil yang hilang hormatnya.

Wahai Sang Suami…

Betapa seorang wanita itu memerlukan kau untuk menjadi pelindung. Sekecil-kecil aduan yang dia luah hingga sebenar-besar perkara yang dia adukan. Dia perlukan pembelaan. Kau perlu jadi peguam bela yang adil dan bijak.

Supaya hati kecilnya takkan merasa betapa suaminya mengabaikan perasaan kecil hati yang dia rasa dan membiarkan dia menelan segala pedih keseorangan. Kerana kau lelaki sering mengabaikan aduan yang melibatkan keluarga kau yang tercinta.

Kau akan pekakkan telinga, butakan mata dan kau fikir isteri kau kebal untuk berdepan dengan segala luka. Kau lupa, lupa untuk belajar menjadi seorang pembela. Sedangkan kau yang paling kenal dia.

Wahai Sang Suami…

Kegagalan seorang lelaki, bukan bila dia gagal untuk menjadi seorang lelaki yang berjaya dari segi kerjaya, cita-cita, gagal untuk sediakan rumah mewah untuk isteri tercinta, gagal untuk beli kereta besar selesa, gagal untuk bawa isteri kau melancong satu dunia.

Kegagalan kau yang paling nyata. Bila, bertahun-tahun kau hidup bersama dia. Tetapi kau tak pernah berjaya menyelami ke ruang paling indah di dalam jiwanya.

Sumber/Foto : Nur Mayani