Akidah Anak Perlu Dipasak Dari Awal, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!

Share

Akidah bererti ‘kepercayaan’, ‘keyakinan’ atau keimanan yang mantap dan tidak mudah terurai oleh pengaruh mana pun sama ada dari dalam atau dari luar diri seseorang.

Ujian kesihatan merupakan salah satu nikmat yang Nabi s.a.w minta kita syukuri. Antara lain, kata Baginda yang mulia: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” – (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Masih Bergelut Dengan Wabak

Hadis ini sesuai direnungkan pada waktu kita sedang bergelut dengan wabak yang belum lagi nampak titik hujungnya. Berbuatlah sehabis baik dalam skala kita sebagai hamba Allah SWT untuk mencegah daripada dijangkiti. Usaha ini juga mrupakan salah satu daripada tanda syukur kita kepada Allah atas nikmat sihat yang diberikan.

Baca lagi di sini:

Berkat Belanja RM1, Suami Tumpang Rezeki Isteri Dan Anak

Kesihatan Beransur Baik, Aishah Mohon Doa Terus Sihat “Bermimpi Dikelilingi Anak-Anak Kucing”

Mintalah Doa, Restu Dan Muliakan Mak, Inilah RAHSIA Sebenar Kejayaan Seorang Anak

Cara Pandang Yang Diajar Agama

Rakan penjaga yang dihormati, cara pandang terhadap wabak yang cuba saya bawakan menerusi artikel ini adalah sebuah cara pandang yang diajarkan oleh Islam yang seharusnya dipegang kemas. Daripada mana sumbernya, sudah tentu daripada al-Quran dan Sunnah yang sudah pun rapi disusun dan sarat dengan panduan.

Mana mungkin kejelasannya dapat kita nampak dan hikmahnya dapat kita rasai jika isi kandungannya hanya dipandang sepi. Begitu jugalah dalam hal mendidik dan menguruskan hal ehwal anak-anak kita.

Pangkat yang dianugerahkan Allah sebagai ibu bapa tidak memberikan tiket kepada kita untuk mencorakkan mereka mengikut rasa dan pertimbangan akal semata tanpa petunjuk al-Quran dan Sunnah.

Bahkan, adalah dituntut untuk kita menekuni konsep yang diberikan Allah menerusi kalamnya dan cara dan metode pendidikannya menerusi teladan Baginda s.a.w. Oleh yang demikian, dua sumber ini seharusnya benar-benar dijadikan panduan dalam  kehidupan kita.

Bangunkan Akidah

Dalam mendidik anak-anak, perkara utama yang harus ditekankan adalah semaian akidahnya. Ia harus kukuh berakar dalam sanubari anak-anak kita. Sejajar dengan plot dakwah Nabi s.a.w yang memulakan dakwahnya di Mekah dengan pemasakan akidah sehingga mengambil masa 13 tahun.

Kejayaan Baginda s.a.w dalam usaha baginda ini kemudiannya dapat dilihat dengan tamadun yang dapat dibina dengan utuh di kota Madinah. Bukan sahaja secara material malah lebih-lebih lagi keutuhan peribadi mukmin dalam diri para sahabat Baginda. Nama Islam disegani dan benar-benar dijulang dek kerana hati-hati yang tawaduk kepada Ilahi.

Serangan Akidah Secara Diam-Diam

Beginilah peribadi anak-anak yang ingin kita bangunkan. Anak-anak kita mungkin tidak berdepan dengan serangan akidah secara fizikal namun serangan yang mereka hadapi adalah secara halus dan tidak nampak zahirnya. Tanpa pengukuhan akidah yang mapan dalam jiwa mereka sudah tentu banteng akidah mereka senang tercalar. Kesannya dapat dilihat daripada cara mereka berfikir, berhujah dan berperilaku. Maka teladan yang Nabi s.a.w tunjukkan haruslah diikuti agar anak-anak tidak terperangkap dengan serangan ini.

Rakan penjaga yang dihormati, kepercayaan adalah titik mula kepada pembinaan karektor dan tingkahlaku yang baik. Kepercayaan yang ditunjangi dengan akidah yang murni bersumberkan al-Quran dan Sunnah pasti membuahkan sebuah karektor mukmin yang soleh lalu membuahkan tingkah laku penuh adab yang mengetahui letak duduknya setiap perkara dalam sistem kehidupan. Maka benarlah teladan Baginda s.a.w yang memasakkan akidah kepada bangsa arab jahiliyyah sehingga berjaya menghasilkan sebuah tamadun yang disegani.

Mak Ayah Kena Sepakat

Dalam bingkai kehidupan keluarga yang kita miliki, ibu dan ayah harus sepakat dalam soal ini demi mewujudkan sebuah persekitaran yang selari dan harmoni. Kejayaan membina tamadun dalam rumah adalah hasil kesefahaman dua pihak iaitu ibu dan ayah yang sentiasa memastikan ketunggalan Allah dalam setiap gerak geri perlakuannya.

Bagaimana untuk mendapatkan persefahaman itu ialah dengan berlaku ihsan dalam setiap pergerakan. Kedua-dua ibu dan ayah harus bertindak demi menyampai dan membenarkan ketunggalan Allah SWT. Maka insyaAllah perselisihan akan dapat dikurangkan dan persekitaran harmoni dapat diwujudkan  dalam usaha menyemai akidah dalam diri anak-anak.

Walau bagaimanapun, dalam memperkenalkan keagungan Allah, tiadalah yang lebih layak dan tepat melakukannya melainkan Allah SWT sendiri. Maka mintalah dan seringlah bermunajat kepada-Nya sesuai dengan martabat hamba yang kita miliki. Wallahuallam.

Artikel: Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad (USIM) 

 

Published by
webadmin