Allahu.. inilah yang jadi pada jenazah seorang wanita usia pertengahan 40-an. Yang terlalu taksub nak kelihatan cantik semasa hayatnya. Sanggup buat apa saja termasuklah ubah wajah dengan pembedahan.
Wartawan Mingguan Wanita menemuramah Ustazah Halimah, yang kami rahsiakan identiti nama sebenarnya demi menjaga kerahsiaan antara kami. Kisah yang dikongsikan ustazah berlaku ketika beliau diminta menguruskan jenazah seorang wanita tak lama dulu.
Dan pengakuan tentang kehidupan semasa hayat ibunya dimaklumkan oleh anak wanita ini. Perkongsian ini tak lain tak bukan semata-mata untuk memberi pedoman pada mereka yang masih hidup.
Ustazah Halimah sudah lama melibatkan diri sebagai tukang mandi jenazah. Kerja amal yang diceburi secara tidak sengaja ini sudah menemukan dirinya dengan pelbagai kisah pelik yang boleh memberi pengajaran kepada umat Islam yang lain.
“Sebagai seorang tukang mandi jenazah, kerja kami ini boleh dikatakan tidak mengira masa sebab mati itu tidak ada yang dapat menyangkanya. Ajal maut itu semuanya di tangan Tuhan dan sebagai hamba-Nya, apa yang boleh kita buat adalah mengisi masa hidup yang ada dengan amalan yang baik dan meninggalkan amalan yang mungkar.
“Kembali semula kerja saya sebagai tukang mandi jenazah, saya boleh kongsikan satu cerita mengenai seorang wanita yang pernah saya uruskan pemandian dan pengkafanannya. Saya tidak mengenali wanita tersebut. Namun disebabkan arwah tinggal di dalam kawasan kariah masjid tempat saya menabur bakti, saya perlu menunaikan amanah dengan sebaik mungkin.
“Saya masih ingat, wanita itu meninggal dunia pada waktu petang. Dia meninggal dunia di rumah. Punca dia meninggal saya kurang pasti. Tidak pula saya bertanya lebih lanjut pada waris yang menelefon masjid pada hari itu.
“Sebaik saya sampai di rumah arwah, tidak ramai yang ada di sana. Hanya waris yang terdiri daripada anak dan menantunya. Suami arwah telah meninggal dunia beberapa tahun sebelum ini. Sampai sahaja di sana, saya terus menuju ke bilik yang menempatkan jenazah arwah. Saya memang tidak pernah bertemu dengan arwah dan sebab itu jugalah saya tidak pernah tahu bagaimana rupa arwah.
“Sebab tidak mahu melengahkan masa saya terus membuka kain yang menutup wajah jenazah. Terkejut saya melihat wajah arwah yang berkedut dengan teruknya. Sudah tua sangat arwah ini. Fikir saya dalam hati. Saya tidak bertanya kepada waris apa-apa. Sebaliknya saya meminta bantuan waris untuk mengangkat jenazah untuk diletakkan pada tempat yang luas dan tertutup agar mudah untuk dimandikan.
“Tanpa berlengah, saya uruskan jenazah sama seperti jenazah yang pernah saya uruskan sebelum ini. Anak perempuan arwah turut membantu. Kami diam sahaja sewaktu memandikan jenazah. Hanya sedikit rasa sedih terlihat pada wajah anak arwah apabila tangannya menyentuh wajah arwah ibunya.
“Selesai memandikan jenazah kami terus mengkafankan dengan sempurna sebelum disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan yang berdekatan. Selesai urusan memandikan jenazah saya tidak terus tidak bertemu dengan anak arwah.
“Hanya beberapa hari selepas itu anak arwah telah bertemu saya. Sebenarnya saya hampir lupa pada dirinya. Hanya setelah dia memperkenalkan diri barulah saya ingat semula. Katanya tujuannya bertemu saya adalah untuk memberitahu saya mengapa wajah ibunya berkedut dengan agak teruk.
“Saya hairan kenapa pula dia mesti terangkan keadaan arwah ibunya. Bukankah setelah berusia wajah wanita akan berkedut sebegitu. Fikir saya dalam hati. Anak arwah menerangkan ibunya memang sudah berusia tetapi sepatutnya wajah tidak berkedut teruk sehingga seperti tidak dikenali sebegitu. Ibunya baru berusia 45 tahun. Wajah ibunya jadi begitu kerana sewaktu hidupnya arwah agak taksub dengan penampilan wajahnya.
“Arwah sanggup buat apa sahaja asalkan wajahnya sentiasa cantik. Setiap kali ada kedut yang muncul, dia akan risau. Pelbagai krim telah digunakan. Rawatan wajah usah cakap. Apa sahaja yang dia tahu akan dicuba sehinggakan suntikan botox sudah menjadi satu rutin bagi ibunya. Anaknya cuba menasihatkan ibunya untuk menghentikan rawatan botox tetapi tidak dihiraukan. Apabila ibunya meninggal dunia barulah kesan pengambilan botox itu jelas kelihatan. Ibunya juga pernah melakukan pembedahan kosmetik bagi mencantikkan lagi wajahnya.
“Terkejut sungguh saya mendengar penjelasan anak wanita tersebut. Daripada cerita itu saya dapat simpulkan adalah jangan mengubah kejadian yang diberikan oleh Tuhan. Di dunia kita mampu mengubah tetapi sebaik menghadap Ilahi, segala-galanya tidak akan kekal sebaliknya mampu memberi aib pada diri dan waris yang masih ada.
“Si anak tidak berhajat mengaibkan ibunya tetapi dia berharap wanita mahu pun lelaki sebelum mengambil keputusan mengubah kejadian Tuhan untuk berfikir kesan buruk di kemudian hari,” akhiri ustazah Halimah.