Ini cerita ajaib tentang seorang suami, bapa bernama Reduan Mohd Noor, 55. Lelaki yang menetap di Padang Jawa, Shah Alam ini pernah terlantar sebulan di katil hospital akibat penyakit saraf tunjang.
Demi anak isteri yang alami masalah jantung, dia kuatkan semangat. Bangun sampai boleh berjalan perlahan. Wartawan Nazwa Selamat mengunjungi kediaman beliau bagi berkongsi kisah inspirasi untuk suami isteri yang berhadapan ujian seumpanya.
Semangat ‘Ajaib’, Reduan Kini Mampu Berjalan
Setiap insan diberi ujian yang berbeza oleh Allah SWT. Walaupun hati berkata tidak atau belum bersedia untuk hadapinya tetapi inilah kayu pengukur bagi menguji sejauh mana letaknya tahap keimanan seseorang.
Bersama tim PERKESO Klang, penulis berkesempatan berkunjung ke sebuah rumah milik Reduan Mohd Noor, 55 di Padang Jawa, Shah Alam.
Laluan masuk yang tidak rata membuatkan pemanduan terpaksa diperlahankan. Sana sini kelihatan lopak air bertakung, menandakan hujan malam tadi. Barangkali lebat.
Mata memandang ke kiri dan kanan, rumah-rumah lot kampung dibina serba sederhana. Mungkin cukup bagi melepas selesa setelah penat bekerja.
Akhirnya, kami tiba di sebuah rumah yang serba sederhana. Di beranda, kelihatan seorang lelaki sedang duduk menyandar kerusi yang kondisinya sedikit usang.
Salam disambut, namun dia tidak mampu berdiri kerana masalah kesihatan. Penulis bermonolog, mungkin inilah Reduan. Orangnya nampak bersemangat tetapi saiz badannya agak kurus.
Dikatakan, dia mampu berdiri dan berjalan tetapi tidak seligat dahulu. Masalah kesihatan yang menimpanya beberapa tahun dahulu seakan meragut kemampuan untuk bergerak.
“Saya redha dengan apa yang berlaku. Memang pada awalnya bukan mudah untuk menerima tetapi saya kuatkan hati dan percaya, Allah duga sebab dia sayangkan hambaNya. Kehidupan sekarang serba sederhana.
“Dulu, saya pernah bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan. Lama, rasanya lebih kurang 19 tahun. Alhamdulillah, ada caruman dengan PERKESO. Mungkin inilah hikmahnya bila dah terlantar sakit, ada pula bantuan yang dihulur.
Ads
Reduan Jatuh Disahkan Masalah Tulang Belakang
Suatu hari, Reduan jatuh di rumah dan dibawa ke hospital. Doktor kata ada masalah di bahagian tulang belakang (saraf tunjang).
“Disebabkan itu, saya terlantar lebih kurang satu bulan di katil hospital. Sedihnya hanya Tuhan yang tahu.
“Saya tak mampu lagi keluar mencari rezeki dan saya seolah membebankan anak dan isteri untuk datang menjaga.
“Waktu itulah saya bulatkan tekad untuk segera sihat, paling tidak pun dibenarkan keluar dari hospital. Alhamdulillah, Allah makbulkan walaupun kesihatan tidak sepenuhnya pulih,” ujarnya dengan suara yang perlahan.
Ads
Anak Kedua Dan Isteri Ada Sakit Jantung
Sayu hati penulis mendengar cerita Reduan. Seakan sudah jatuh ditimpa tangga. Dia yang sebelum ini diharap menjaga keluarga akhirnya tidak mampu melakukan banyak kerja.
“Isteri saya tu bukanlah sihat sangat. Dia ada masalah jantung dan sering berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan rutin. Ada juga penyakit kencing manis dan darah tinggi.”
Walaupun sakit, isterinya, Norli Samijan, 48, betah berdikari dan bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai 24 jam. Anak yang sulung pun sudah berkeluarga, jadi tidaklah terasa sangat.
“Anak kedua kami yang 23 tahun pun sama. Disahkan masalah jantung dan kencing manis. Waktu umurnya 13 tahun lagi, dia dah ambil insulin untuk kencing manis. Alhamdulillahlah, sebelum saya sakit lagi kami dah bawa dia untuk jalani pembedahan jantungnya.”
“Setidak-tidaknya, saya dapat jugalah tunaikan tanggungjawab sebagai bapa dengan menemankannya di hospital dahulu.
“Kasihan anak kedua saya itu. Dia ada Diploma dari Institusi Pengajian Tinggi Awam di Ipoh tetapi sanggup tak bekerja semata-mata nak menjaga saya di rumah.
“Banyak betul pengorbanannya sampaikan ada ketika saya rasa down sebab tak dapat teruskan tanggungjawab sebagai ayah dengan baik.”
Sampai hari ini, Reduan masih lagi meneruskan rawatan susulan di hospital. Dua bulan sekali, dia akan berjumpa doktor untuk lihat kembali sejarah kesihatan selain melakukan pemeriksaan rutin bagi mengelak timbulnya masalah kesihatan yang lain.
Ads
Saya Tak Mahu Bebankan Mereka
Reduan terdiam seketika. Mungkin mencari kekuatan untuk menyambung bicara. Ujarnya lagi, kalau ikutkan hati dia memang susah untuk bergerak semula tetapi disebabkan semangat yang tinggi untuk sihat demi isteri dan anak-anak maka digagahkan juga.
Bila difikir-fikirkan balik, seperti satu kisah ajaib. Seorang yang hanya mampu terbaring akibat masalah saraf tunjang kini dilihat sudah mampu berjalan meskipun perlahan.
“Saya kasihankan isteri dan anak-anak. Saya tak mahu terus bebankan mereka. Yang pasti, hanya mereka penguat semangat untuk saya terus sihat.
Kadang-kadang saya akan berjalan perlahan ke dapur. Malah ada masanya saya akan buat senaman regangan yang mudah di kerusi ini.
“Memang rasa kebas dari bahu ke kaki masih ada sebab penyakit saya ini melibatkan saraf kan tetapi saya kuatkan dan cuba untuk sihat kembali.”
Semangat Reduan datangnya dari isteri, anak-anak, saudara-mara serta rakan taulan.
“Saya berfikiran positif, yakin dan percaya pada keajaiban Allah SWT. Moga ada sinar baru buat saya dan keluarga kelak.”
Sebelum mengakhiri temubual Reduan sempat memaklumkan yang kawasan rumahnya kerap kali banjir akibat sistem saliran yang tidak sempurna.
Difahamkan juga, kira-kira tiga minggu yang lepas, rumah Reduan dan kawasan sekitar dinaiki air hingga ke paras paha. Masing-masing kelam-kabut meletakkan barang-barang penting ke tempat tinggi.
Penulis : Nazwa Selamat
Foto : Nurul Akmar Azimi
Terima kasih kepada Mohd Nazree Khalid dari PERKESO Klang
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sikapnya suka menolong orang membuatkan dia terdorong untuk menjadi seorang jururawat. Oleh itu sebaik sahaja, Norma Mamat menamatkan pengajian peringkat menengah, dia telah memohon untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejururawatan.
“Saya berkhidmat sebagai jururawat sejak tahun 2004 setelah menamatkan pengajian di Kolej Kejururawatan Taiping, Perak. Setelah tamat belajar, saya telah dihantar bertugas di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selama lebih dua tahun. Pada ketika itu saya bertugas di jabatan ortopedik.
“Selepas itu, saya berpindah ke Klinik Kesihatan Kuala Krai, Kelantan. Semuanya kerana pada ketika itu suami yang bertugas sebagai anggota polis dapat berpindah ke Kelantan. Saya berkhidmat di Jabatan Pesakit Luar di Klinik Kesihatan tersebut. Setelah setahun saya berkhidmat di sana, saya ditugaskan di Klinik Kesihatan Lundang Paku, Kota Bharu.
“Saya suka bekerja di klinik kesihatan kerana dapat berkhidmat dengan masyarakat terutamanya orang kampung. Sudah hampir dua tahun saya berkhidmat di klinik kesihatan ini,” katanya yang berasal dari Kelantan.
Jadi Bidan
Pada tahun 2008, Norma telah menyambung pengajian dalam kursus kebidanan. Setelah berjaya memperolehi sijil, Norma bukan sahaja bergelar jururawat kesihatan awam. Dia juga adalah seorang bidan.
“Apabila bekerja dengan komuniti ini, saya boleh melakukan tugas menyambut kelahiran bayi di rumah. Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan agak banyak. Banyak kes yang saya jumpa. Ada satu kes itu, ada ibu yang menghubungi kita apabila dia sudah bersalin. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1.00 pagi.
“Disebabkan saya on call, saya perlu bertugas. Saya terpaksa meninggalkan anak di rumah. Mujur suami dapat menjaga anak, walaupun anak menangis dan merengek. Kasihan pada anak, tetapi demi tugas yang telah diberikan saya perlu melaksanakannya.
“Ada juga kes itu, ibu yang telah bersalin di rumah mengalami pendarahan sewaktu melahirkan anak sehinggakan satu selimut penuh dengan darah. Memang mencabar keadaan waktu itu. Kejadian itu berlaku pada waktu pagi juga. Pada ketika itu saya sedang tidur tetapi disebabkan saya seorang staff nurse dan dalam keadaan on call, maka saya perlu menjalankan tugas.
“Jururawat masyarakat bila mengalami kes berisiko begitu dia terpaksa memanggil kita. Kalau kita boleh menguruskan kes tersebut, kita akan cuba sedaya upaya membantu. Tetapi jika tidak boleh, kita akan memanggil doktor untuk menguruskan kes tersebut,” terang Norma tentang tugasnya.
Akui Norma, menjadi bidan agak mencabar. Terpaksa menghantar ibu mengandung yang tidak sedarkan diri dalam ambulans sepanjang perjalanan menuju ke hospital adalah pengalaman paling mencabar pernah dihadapinya sepanjang bertugas.
Tempat Rujukan Keluarga
Anak-anak dan suami sering ditinggalkan jika Norma On Call
Sebagai seorang bidan, pertama kali menyambut bayi memang tidak dapat dilupakan. Ini adalah kerana di tangan seorang bidan itulah nyawa seorang ibu dan bayi yang bakal dilahirkan itu.
“Dua nyawa kita perlu jaga. Tetapi setiap kali kita pergi menguruskan kes ibu bersalin di rumah terutamanya yang ada kes pendarahan, saya tawakal sahaja. Alhamdulillah, setakat ini saya dapat membantu ibu melahirkan anak dengan selamat.
“Pada saya kalau dapat menyambut bayi dengan selamat, saya rasa bersyukur. Apabila melihat ibu itu selamat, lagi bertambah seronok. Rasa berdebar dan takut bercampur tterutamanya jika ada sebarang komplikasi berlaku,” kata Norma menceritakan pengalaman itu.
Setakat ini Norma berjaya membantu menyambut 30 kes ibu melahirkan anak di hospital. Dia juga pernah menyambut lebih kurang 10 kes melahirkan anak di rumah.
“Sekarang ini jarang wanita melahirkan bayi di rumah. Saya sering menasihatkan pada pesakit, kalau boleh jika ada tanda hendak bersalin perlulah mereka pergi ke hospital. Kami tidak menggalakkan ibu melahirkan bayi di rumah kerana dikhuatiri akan ada komplikasi,” sarannya.
Norma mengakui dia amat berani ketika membantu ibu hamil melahirkan bayi. Namun dia tidak menafikan setiap kali tiba masa untuk dirinya bersalin, perasaan takut tetap ada dalam diri.
“Saya telah mempunyai tiga orang anak dan kini sedang hamil anak keempat. Setiap kali mahu melahirkan anak, saya akan rasa takut tetapi perasaan itu tidak perlu ditunjukkan terutamanya kepada ibu-ibu hamil lain,” katanya dengan wajah berseri-seri.
Kata jururawat berusia 37 tahun ini lagi, dia sering menjadi tempat rujukan keluarga berkaitan masalah kesihatan yang dialami oleh ahli keluarga.
“Dalam keluarga saya, tidak ada yang menjadi jururawat. Masa keciL, saya ada niat hendak menolong keluarga yang sakit kalau saya dapat jadi jururawat. Setelah saya berjaya jadi jururawat niat saya itu tercapai. Semasa ibu mentua sakit, sayalah yang menjaganya. Pernah suami saya berkata untung dia kahwin dengan jururawat,” kata Norma sambil tersenyum.
Aktif Aktiviti Sihat
Sibuk bekerja juga tidak pernah membataskan Norma untuk bergiat aktif terutamanya dalam aktiviti-aktiviti berkaitan penjagaan kesihatan.
“Saya aktif terutamanya dalam aktiviti senaman seperti zumba, tarian Bollywood, tarian Arab dan banyak lagi. Setiap kali ada Hari Jururawat, saya akan menawarkan diri untuk mengajar senaman tersebut. Malah, jika ada program untuk menurunkan berat badan oleh jururawat, saya jugalah jurulatihnya. Dalam program Go Fit Don’t Quit anjuran Kementerian Kesihatan pada tahun lepas, saya telah mencari jururawat yang mengalami masalah obesiti. Saya akan mengajar mereka cara menjaga pemakanan dan senaman yang sesuai untuk menurunkan berat badan.
“Sebagai jururawat kita perlu bertenaga dan sihat. Tambahan pula, jika semasa bertugas kita perlu menasihatkan pesakit itu menjaga kesihatan dan pemakanan. Pesakit akan percaya kata-kata kita jika kita berada dalam keadaan yang sesuai untuk menasihati mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak nafikan bila berlakunya kematian dikalangan ahli keluarga terdekat, baik mak, ayah, adik beradik, anak mahupun suami isteri, ramai yang buntu dengan sumber kewangan yang boleh diperolehi segera. Ini kerana kos perbelanjaan urusan jenazah boleh tahan juga harganya.
Terdapat 11 jenis khairat kematian yang boleh dituntut, namun ramai waris yang sering terlepas pandang.Khairat kematian merupakan sedekah, derma atau sumbangan ikhlas, pada kadar tertentu yang diberikan kepada waris seseorang yang meninggal dunia apabila berlakunya kematian. Dengan sumbangan ini ia sedikit sebanyak boleh membantu waris meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi jika kematian secara tiba-tiba.
Berikut perkongsian oleh Dr Khairul Faizie sebagai rujukan;
“Ada sahabat FB saya yang baru diuji kehilangan suaminya yang tercinta bulan lepas. Beliau dalam proses buat tuntutan yang patut seperti KWSP, Perkeso, insurans, etc.”
“Selain tuntutan tersebut, ada lagi perkara yang ramai terlepas pandang. Ianya hak kita, maka tuntutlah bila berlaku kematian. Saya cakna akan hal ini pun lepas mak ayah tolong uruskan hal berkaitan selepas kematian almarhum adik saya pada 2017 dulu.”
KHAIRAT Kematian.
Ada beberapa khairat kematian yang boleh kita tuntut:
Khairat Kematian ASB
Jika ada buat simpanan ASB, boleh tuntut. Kadar bayaran nya ialah antara RM200 ke RM2000, bergantung kepada baki pelaburan kita yang terakhir.
2. Khairat Kematian Pencen
Jika kita atau mak ayah pesara Kerajaan, boleh tuntut khairat ini. Bernilai RM3000.
3. Khairat Kematian Takaful
Jika ada mencarum dalam skim takaful, boleh tuntut. Bayaran antara RM 2000 ke RM5000, bergantung skim yang disertai. Boleh rujuk agen takaful anda,
4. Khairat Kematian Bank Rakyat
Kalau ada akaun Bank Rakyat, nilai khairat kematian nya ialah RM3000.
5. Khairat Kematian KWSP
Buat pencarum KWSP, khairat kematian ialah RM2500.
6. Khairat Kematian PERKESO
Kalau pernah mencarum Perkeso, nilai khairat kematian nya RM 2000.
7. Khairat Kematian Penjawat Awam ( JPA)
Kalau pesara Kerajaan / staff kerajaan…nilai khairatnya RM3000.
Edited:
Untuk Pesara Kerajaan dan Penjawat Awam (Meninggal Dalam Perkhidmatan) kita sebut sebagai BANTUAN MENGURUS JENAZAH , jumlahnya betul, RM3,000.00. Boleh tuntut melalui jabatan akhir gemulah (Penjawat Awam), dan melalui KWAP untuk Pesara yang meninggal dunia (Borang mohon melalui KWAP).
8. Khairat Kematian Masjid
Mencarum dalam skim khairat kematian masjid kariah kita. Jumlahnya bergantung pada masjid masing masing.
9. Khairat Kematian BSH
Sekiranya dulu menerima BR1M ( sekarang BSH), ada khairat kematiannya. Jumlah saya tak pasti.
10. Khairat Kematian Pembayar Zakat
Yang ini info baharu saya terima. Saya tak pasti mekanismenya. Boleh rujuk pusat zakat negeri masing masing.
11. Khairat Kematian Ahli RELA
Untuk yang pernah jadi ahli RELA, ada peruntukan khairat kematian RM2500. Boleh rujuk kepada pejabat RELA berkenaan.
Info Tambahan:
Untuk proses tuntutan bawa sijil kematian, sijil nikah dan kad pengenalan diri. Seeloknya mohon sebaik sahaja berlaku kematian. Jangan tangguh!
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat terutamanya buat para waris agar dapat menggunakan sebaiknya untuk keperluan si mati, selepas meninggal dunia.Jadi jangan terlepas pandang, rebutlah peluang dan tuntut jenis-jenis khairat kematian ini.
Isteri Ajak Shiro terharu sikap pemurah suami, hadiahkan TV buat mangsa banjir. Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro merupakan antara selebriti yang turun padang membantu mangsa banjir.
Bukan sekadar membantu mangsa-mangsa banjir, malah Ajak Shiro juga telah menghadiahkan TV yang ada di rumahnya buat mangsa banjir.
Isteri Ajak Shiro Terharu Sikap Pemurah Suami
Sebelum ini Ajak telah turun padang mengagihkan sumbangan daripada orang ramai dan sempat berborak dengan seorang warga emas yang telah menceritakan mengenai keadaan rumahnya yang musnah ditenggelami air termasuklah TV yang hilang kerana dihanyutkan ketika banjir.
Dek kerana simpati dengan keluarga tersebut, Ajak telah berjanji untuk membawa televisyen kepada mereka.
Pulang ke rumah Ajak telah mencabut TV di kediamannya, kemudian kembali ke rumah mangsa banjir tersebut untuk disumbangkan kepada keluarga tersebut.
Mulia sungguh hati Ajak yang telah mengotakan janjinya apabila dia memberi TV miliknya kepada sebuah keluarga yang menjadi mangsa banjir di Jelebu, Negeri Sembilan.
Hadiahkan TV Buat Seorang Warga Emas Di Jelebu
Begitulah tulus dan ikhlasnya hati Ajak Shiro dan diakui oleh isteri tercinta, Nur Afifah Amin menerusi perkongsian di akaun rasmi Instagram suaminya.
“Kalau hati dia terjentik.
“Dia buat apa jerk.
“Kita bini nie supportlah,
“Asalkan hati dia senang.
“Sebab dia macam nie lah, ibu tumpang rezeki Baba atas doa orang kat Baba. Terima kasih Baba..
“Tahniah makcik dapat TV baru,” luah isteri Ajak yang begitu bangga dengan sikap suaminya yang gemar menolong orang susah.
Mingguan Wanita: Prihatin sungguh rakyat Malaysia, semoga mereka yang menghulur sumbangan dan tenaga akan dibalas dengan limpahan rezeki oleh Yang Maha Esa.
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...