Namanya Mamat. Semestinya bukan nama sebenar. Lelaki yang sememangnya Islam,tapi sekadar Islam pada nama dan kad pengenalan. Perwatakan gila-gilanya cukup membuatkan dia antara yang popular di kawasan kejiranan kediamannya. Sedari kecil kenakalan Mamat sudah diketahui ramai. Perangainya itu terbawa-bawa hingga ke dewasa. Nakalnya dia kerana dia membesar sendiri, tanpa pemantauan orang tua.

Dia anak tunggal kepada pasangan Daud dan Rahimah. Kerana kekangan hidup, ibu bapanya terpaksa melakukan dua kerja dalam satu hari demi menampung keperluan mereka sekeluarga. Mamat mula ditinggalkan sendirian sejak usianya menginjak 13 tahun. Sepeninggalan ibu bapanya bekerja, Mamat mencari teman-teman sebagai pengisi kesunyian. Kadang-kadang rumahnya menjadi ‘port’ berkumpul.

Tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya, Mamat sudah pandai ponteng sekolah, mencuri, merokok dan mula berjinak-jinak dengan kawan-kawan yang berperangai negatif. Bukan tidak ditegur mahupun diperingatkan oleh orangtuanya, sebaliknya Mamat menempelak ibu bapanya dan menyalahkan kurangnya perhatian daripada mereka menyebabkan dia menjadi nakal sebegitu.

Culas solat

Sedari kecil sebaiknya ibu bapanya membentuknya dan mengasuhnya. Selain mencuba sebaik mungkin memberi ilmu akademik, dikesempatan waktu yang ada…mereka juga mengajar Mamat tentang solat dan kewajipan menunaikannya. Sebaliknya, sejak meningkat remaja…Mamat sudah pandai mengelak dari melakukan kewajipan itu. Ada-ada sahaja alasan yang diberikan. Apa yang menyedihkan Mamat asyik menggunakan alasan tak boleh solat kerana ‘aku period’. Sambil ketawa terbahak-bahak, Mamat seakan bangga apabila alasan yang terpacul dari mulutnya apabila dia diajak menunaikan solat. Hal ini terbawa-bawa hingga dia dewasa.

IKLAN

Setelah hampir 10 tahun meninggalkan alam persekolahan, Mamat masih selesa berpeleseran tanpa hala tuju. Ibunya juga sudah lama berhenti kerja dari sebuah kilang yang letaknya di bandar. Faktor usia menjadikan ibunya tak sekuat dulu untuk berdiri lama dan juga bekerja lebih masa. Hanya ayahnya yang masih menggagahkan diri mengerah keringat tua yang ada untuk menyara keluarga. Mamat pula, bak mencurah air di daun keladi. Apa sahaja nasihat dan teguran yang disuarakan ibunya dibalas hamburan kata-kata caci maki. Dia juga sudah berani menggugut ibunya.

Bimbang dicederakan, ibunya memilih untuk diam. Dia juga berpesan kepada Mamat, carilah kerja yang bersesuaian dan jangan meninggalkan solat. Jangan bermain-main dengan alasan datang haid. Kerana dibimbangi, kata-kata itu berbalik semula kepadanya. Mamat sebaliknya menghempas pintu biliknya sekuat mungkin, tanda marah dan tidak boleh menerima nasihat ibunya.

Pendarahan tak berhenti

IKLAN

Malam itu, sekembalinya dari berjumpa teman-teman sejatinya…Mamat asyik keluar masuk dari tandas. Entah apa yang dimakan menyebabkan perutnya asyik memulas. Ketidakselesaan itu membawa ke beberapa hari. Setelah dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran, doktor mengesahkan ada jangkitan kuman berpunca daripada makanan.

Sebaik memakan ubat yang diberikan doktor, kesihatan Mamat beransur pulih. Tak lama kemudian, ada peristiwa aneh berlaku ke atasnya. Entah mengapa dan apa puncanya, tiba-tiba darah mengalir keluar dari kemaluannya tanpa henti. Pada mulanya sedikit demi sedikit, lama-lama darah itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti.

IKLAN

Pelik dengan masalah aneh yang dihadapinya, pada mulanya Mamat cuba merahsiakan hal ini daripada pengetahuan ibu bapanya. Tetapi apabila melihat wajahnya yang makin pucat dan kekerapan Mamat menukar kain dan tuala yang dipakainya berdarah, menyebabkan ibunya yakin ada yang tak kena dengan Mamat. Mereka kemudian sekali lagi bertemu doktor dan doktor sendiri tidak pasti mengapa darah mengalir dari kemaluannya tanpa sebab yang kukuh.

Bimbang keadaan lebih serius, beberapa pek darah ditambah kepada Mamat. Walau bagaimanapun keadaan Mamat masih berterusan dan tiada perubahan. Enggan menjadi bahan ujikaji di hospital, Mamat memilih untuk balik ke rumahnya. Wajahnya kelihatan sungguh pucat, tiada lagi lawak jenaka dan maki hamun yang keluar dari mulutnya. Mamat mula menyedari adakah darah ini asbab dari dia mempersendakan suruhan solat yang sering menjadi ucapan wajib di bibirnya selama ini.

Dia kemudian memohon maaf kepada orang tuanya atas semua kesilapan yang dilakukan selama ini. Daa juga mahu kisahnya ‘period’ ini menjadi panduan semua. Kisah tumpah dari dari kemaluannya berlaku hampir sebulan lamanya. Sehinggalah pada satu subuh, satu bunyi berdentum datang dari biliknya. Ketika itu ibunya sedang menunaikan solat subuh. Mamat akhirnya meninggal dunia dengan kain pelekat yang dipakai lencun dengan darah merah pekat. Tiada lagi satu-satunya zuriat Rahimah dan Daud. Perginya dalam keadaan yang hiba, dan kerana mulut…benarlah badan binasa.

Kisah ini benar-benar berlaku, atas faktor tertentu nama dan situasi terpaksa diolah. Jangan sesekali mempersendakan agama, kerana Allah itu tidak pernah lupa dan maha mendengar. Hidup ini bukan berlama-lama di dunia. Perbaiki tiap perbuatan dan amalan kita. Kerana kita semua akhirnya akan ke alam sana juga nanti.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI