Rezeki YouTuber Sugu Pavithra Jumpa PM, Punyalah Tergamam Sampai Tersekat Kata-kata

Share

Sebelum ini, YouTuber Sugu Pavithra cuma ber’video call’ saja dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sudah menjadi rezekinya, akhirnya dalam majlis Pelancaran Rukun Negara ke-50 Pavithra dan suaminya, Sugu bertemu empat mata dengan PM.

Sampai hilang kata-kata bila Perdana Menteri (PM) tanya , “Pavithra tak masak ke?”

Punyalah terlalu gementar, bila PM tanya lagi, ‘Tak makan ke?’ Cuma jawapan ‘ah.. ah.. ya..” saja yang keluar dari bibir YouTuber popular ini.

Ramai sedia maklum, betapa bersopan dan lemah lembutnya Pavithra ini. Tentunya pertemuan itu memberi kenangan manis buat Pavithra dan suami. Biar pun jawapan yang diberikan itu sedikit tersekat-sekat, namun ketulusan Pavithra tiada siapa dapat mempertikaikannya.

Sesuai dengan aura perpaduan yang dipupuk dalam setiap video masakannya di YouTube, Pavithra biar pun dilimpahi populariti yang menyinar, dia tetap kekal merendah diri.

Sebelum ini pun, PM pernah hadiahkan Sugu Pavithra tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak. Tak lama selepas itulah dia dapat membuat panggilan video dengan PM.

Biarpun dilimpahi populariti, tumpuan Pavithra tetap pada suami dan anak-anak.

YouTuber Sugu Pavithra Semangat Lafazkan Rukun Negara

Dalam majlis berkenaan, Pavithra cantik mengenakan pakaian punjabi hijau, malah Sugu pun segak memakai pakaian serba hitam. Malah keduanya, begitu bersemangat melafazkan Rukun Negara ketika ikrar itu dibacakan Perdana Menteri.

Kata Pavithra dan Sugu, Rukun Negara inilah dasar yang mengeratkan perpaduan negara. Sebab itulah, mereka berazam menanamkan semangat Rukun Negara kepada anak yang masih kecil.

Ikrar Pavithra sendiri, biarpun anaknya belajar Rukun Negara di sekolah, dia tetap akan menerapkan prinsip itu pada anak-anaknya ketika di rumah.

Malah, Pavithra sendiri fasih dan lancar berbahasa Melayu. Katanya, dia banyak belajar dari drama-drama Melayu terutama dengan melihat lakonan Fasha Sandha. Punyalah seronok Pavithra bila dia akhirnya berpeluang berbual dalam telefon dengan pelakon kegemarannya itu tak lama dulu.

Manis kisah hidup suri rumah bernama Pavithra yang menjadi inspirasi rakyat Malaysia.

Sebab Susah, Pavithra Terpaksa Berhenti Sekolah

Untuk makluman, waktu bersekolah rendah Pavithra pernah mendapat keputusan 5A untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), namun terpaksa berhenti sekolah semasa di tingkatan empat.

Kerana dia perlu membantu bapanya yang merupakan seorang buruh binaan. Berhentilah sekolah dan bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang. Kesusahan itulah yang membentuk jatidiri dalam diri Pavithra sehingga hari ini.

MW : Sememangnya kisah Pavithra ini banyak menyuntik semangat kejayaan untuk para suri yang lainnya.

Sumber/Foto : Bernama, Amazing Nara

Published by
NETTY AH HIYER