Akhirnya, Tuhan Makbul Doa Shuib Untuk Siti Sarah..

Share

Ketika sesi fotografi sebagai penghias muka depan Mingguan Wanita dijalankan Siti Sarah Raisuddin baru saja tampil berhijab.

MW bertuah kerana walau sibuk dengan rangka promosi single terbaru dan mengendalikan perniagaan, pasangan Siti Sarah dan Shuib masih sempat meluangkan masa untuk MW melakukan penggambaran bersama keluarga kecil mereka. Riuh-rendah kediaman pasangan suami-isteri ini yang terletak di Puchong sepanjang sesi penggambaran berlangsung.

Tetap Sama

Apabila Siti Sarah Raisuddin tekad bertudung sebaik selesai mengerjakan umrah, perubahan itu mengejutkan masyarakat. Namun keputusannya itu tidak pernah mengejutkan suaminya Shuib. Sebagai seorang suami, perubahan itu amat dihargai olehnya.

Bertudung tidak pernah mengubah diri Siti Sarah. Bahkan bertudung itu sebenarnya telah menambah baik penampilan dan kehidupannya. Jelas Sarah, dia masih Siti Sarah yang sama seperti mana kemunculannya di persada seni ketika remaja dahulu.

“Sarah masih diri yang sama. Cuma yang bezanya Sarah menutup kepala. Sarah cuba secara perlahan-lahan dengan apa yang Sarah mampu. Sarah masih belajar. Setiap hari Sarah belajar sesuatu yang baru.

“Shuib sangat menggalakkan terutamanya jika Sarah beritahu yang Sarah hendak membeli tudung. Beli banyak pun tidak mengapa. Dia sangat menyokong. Niat untuk berhijab itu sudah lama. Cuma selepas kembali daripada mengerjakan umrah barulah Sarah berpeluang tunaikan niat itu. Ketika menunaikan umrah banyak sungguh pengalaman dan terlalu peribadi untuk dikongsi. Tetapi apa yang boleh dikatakan hanyalah syukur Alhamdulillah. Selain daripada tahu menunaikan ibadah, lebih cantik kalau kita tahu sejarah Rasulullah S.A.W. Jadi bila kita pergi itu akan jadi lebih bersyukur,” ujar Sarah membuka bicara.

Bagi Sarah apabila berhijab tidak ada halangan baginya untuk meneruskan kerjaya seni seperti biasa.

“ Sarah tidak buat keputusan bila hendak bertudung. Just follow the flow. Apabila orang tanya, Sarah tidak tahu bagaimana untuk memberi jawapan. Sarah tidak buat apa-apa keputusan. Sarah lebih merasakan semuanya atas izin Allah. Baik atau buruk berlaku atas izin Allah.

“ Sarah ini manusia biasa yang sama seperti orang lain yang ada sifat lalai. Sifat kemanusiaan itu Sarah ada. Sarah tahu saya tidak sempurna, jadi apa yang Sarah harap adalah doa dan sokongan daripada semua. Suami menyokong padu keputusan Sarah. Dia gembira. Setiap kali Sarah mengenakan tudung, dia akan berkata ‘you look beautiful’. Setiap masa dia akan kata begitu. Malah setiap kali bila Sarah kata hendak beli tudung, dia tidak mempersoalkannya. Malah dia lagi suruh Sarah beli tudung,” tambah penyanyi cantik ini lagi.

Berkaitan fesyen tudung, Sarah berkata dia lebih menyukai gaya tudung yang mudah dan tidak memerlukan penggunaan pin yang banyak.

Diimpikan Sejak Dulu

Bila ditanya kepada Shuib perubahan penampilan isteri tersayang kini, Shuib melahirkan rasa amat bersyukur dengan penampilan terbaru isterinya itu. Sebenarnya keputusan Sarah bertudung itu adalah salah satu apa yang diimpikannya.

“Dalam perkahwinan, perubahan-perubahan menuju ke arah kebaikan amat saya syukuri. Lagipun kita bukannya orang baik dan pandai sangat dalam bab agama ini. Saya bersyukur sangat,” ujar Shuib pula.

Dia juga tidak pernah memaksa isterinya bertudung. Tetapi hasrat itu sudah pasti pernah disuarakan.

“Menutup aurat itu lain. Berhijab itu lain. Langkah-langkah untuk melakukannya adalah berlainan sekali. Kita didik isteri secara perlahan-lahan sebab hanya kita yang mengenali orang yang kita sayang dan rapat dengan kita jadi kita tahu cara yang bagaimana mahu kita serapkan pada orang itu. Kalau kita tekan sekali gus dan kalau kerana terpaksa sudah pasti tidak menyeronokkan.

“Jadi kita suruh secara perlahan-lahan. Tetapi dalam perlahan-lahan itu doa sebab yang menggerakkan itu bukannya kita. Yang menggerakkannya adalah dia. Jadi apabila dia ikhlas itu saya bersyukur kerana apa usaha kita itu adalah usaha dia. Saya berharap apabila dia sudah pada tahap sekarang ini adalah perlunya istiqamah daripada pihak dia.

“Sebenarnya kedua-dua pihak perlu istiqamah untuk menuju ke arah yang lebih bagus. Bukannya dahulu tidak bagus. Saya tidak mahu cakap lebih sebab andaian orang itu berbeza-beza. Benda itu sangat subjektif dan saya tidak mahu menyentuh benda itu secara keras sebab macam-macam andaian akan diberikan oleh orang. Ditambah pula apabila bergelar artis ini semua benda tidak kena di mata orang ramai,” jelas Shuib lagi.

Lahir Pada Bulan Sama

Siti Sarah dan suaminya Shuib lahir pada bulan yang sama. Cuma tarikh sahaja yang berbeza. Tidak hairanlah pasangan suami-isteri ini seperti serasi bersama. Tetapi bagi Sarah, agak membosankan berada dalam situasi seperti itu.

“Bagi saya ia agak membosankan kalau disambut bersama. Bila birthday sendiri, Sarah mahu ia jadi special. Semuanya berkenaan diri Sarah. Kami akan meraikannya secara berasingan. Tidak ada ‘birthday kita’. Its your birthday dan Its my birthday. Jika ditanya pasal hadiah, kadang-kadang ia bukannya pasal hadiah pun. Memiliki masa bersama adalah hadiah berharga buat kami berdua.

“Kami tidak ada special day untuk pergi ke mana-mana dalam menyambut hari lahir. Semuanya kerana kekangan masa. Semasa pergi umrah itu pun bukannya sebab kami mahu meraikan sesuatu. Tujuan kami mengerjakan umrah adalah untuk beribadah.

“Shuib is workaholic. Kalau tidak ada apa-apa kerja, dia akan cari juga. Macam kalau hendak pergi bercuti kami perlu ada perancangan sekarang. Dahulu kami boleh juga pergi bercuti pada bila-bila masa. Sekarang ini semuanya perlu mengikut jadual.

“ Sekarang ini jadual kami berdua agak penuh sebab sesi promosi. Macam Sarah sendiri perlu menunaikan permintaan melakukan persembahan. Kadang-kadang tarikh Sarah lapang, Shuib pula tak free. Sebab itu bila ada show biasanya kami akan bawa satu keluarga sekali. Mereka pergi bercuti terlebih dahulu. Habis show barulah Sarah ikut mereka. Masa itulah kami menghabiskan masa bersama,” luah Sarah.

Sarah Tegas, Shuib Hargai Pertolongan Isterinya

Mendidik dan membesarkan anak itu adalah tanggungjawab ibu bapa. Ia tidak boleh dipandang ringan. Bagi Sarah dan Shuib, kedua mereka mempunyai cara tersendiri dalam memastikan anak-anak terdidik dan dibesarkan dengan sebaik mungkin.
Sarah mengakui dia agak tegas dalam mendidik anak-anak. Ibu kepada Uwais Al Qarni, Dzakira Talita Zahra dan Ariq Matin ini menjelaskan sikap itu berbeza dengan suaminya.

“Shuib suka mengacau anak tetapi dia tidak suka mendengar anak-anak menangis. Kalau anak banyak buat salah biasanya Sarah yang akan menghukum mereka. Tetapi kalau ‘lemak dia tidak mahu pecah’ saya akan panggil bapak mereka. Bapak mereka yang akan menguruskan.

“Sebenarnya anak-anak lebih takut pada Shuib walaupun Sarah yang tegas. Memang biasa begitu. Anak-anak akan sentiasa takut pada bapa mereka sebab bapa adalah ketua keluarga. Lagipun sebagai seorang isteri kita perlu hormat pada seorang suami. Kalau kita tidak hormat pada suami, sudah pasti anak-anak tidak akan hormat pada bapa mereka. Jadi untuk mendapatkan kuasa itu bermula daripada isteri.

“Kami banyak berbincang dalam sebarang keputusan mendidik anak-anak. Setakat ini cara mendidik anak itu kami buat sendiri. Dahulu kami pernah pergi ikut kursus keibubapaan. Jadi di sana mereka ada ajar sedikit sebanyak tentang pemakanan. Mereka juga ajar jika anak-anak buat perangai, apa yang boleh kami lakukan. Syukur ada juga berguna kursus itu.”

“Tetapi sebagai manusia, semua orang buat kesalahan. Ada yang kami ikut dan ada yang tidak. Tetapi bila ada orang lain yang jaga, sebagai contoh pembantu rumah, mereka ikut kehendak anak-anak. Ia menyebabkan anak-anak a bit spoil. Anak-anak akan anggap kehendak mereka, pembantu rumah kena berikan. Sebagai ibu, saya perlu betulkan semula. Jika saya kata tidak boleh, anak-anak perlu tahu ia tidak boleh,” tegas Sarah, berkaitan didikan pada anak-anak.

Shuib pula amat terhutang budi pada isterinya dalam hal mendidik anak-anak. Katanya pertolongan itu banyak datang daripada isterinya sendiri.

“Itu antara perkara yang saya pentingkan apabila buat pertimbangan untuk berkahwin. Saya nampak dia sebagai ibu kepada anak-anak saya. Itu perkara penting yang buat saya ambil keputusan untuk berkahwin dengan dia.

“Sekarang ini memang nampak saya melakukan keputusan yang betul. Dia banyak mendidik anak-anak. Dia banyak beri ilmu pada saya bagaimana untuk mendidik anak. Saya ini anak tunggal dan saya tidak adik-beradik lain. Dia ada adik-beradik lain. Maknanya dia ada sedikit pengalaman daripada saya.”

“Pendekatan mendidik anak-anak itu tidak sama dengan pendekatan dahulu. Orang dahulu didik cara lain. Pendidikan dia lebih kepada psikologi. Saya suka cara itu kerana saya Nampak ia berkesan pada anak-anak saya. Jadi dia banyak membantu tetapi pada masa yang sama kita saling bantu-membantu. Kadang-kadang dia silap saya tegur begitu juga sebaliknya.

“Tetapi sasaran kami adalah sama iaitu mahukan anak-anak menjadi anak paling baik, mengenang jasa ibu bapa dan anak yang tahu apa itu agama, masa depan dan apa itu kekeluargaan. Kami perlukan satu sama lain dan perlu tolong satu sama lain. Kami perlu saling lengkap-melengkapi,” celah Shuib.

Apa Di IG Tidak Sama Seperti Hidup Sebenar

Berkongsi cerita dan video seharian ahli keluarga dengan masyarakat adalah perkara biasa yang dilakukan oleh selebriti yang aktif dalam media sosial. Siti Sarah dan suaminya Shuib tidak terkecuali. Jika mahu mengikuti kisah mereka sekeluarga bolehlah mengikut atau follow akaun Instagram mereka berdua.
Ditanya setakat mana had cerita dan video itu boleh dipertontonkan kepada umum, Sarah berkata segala-galanya atas pertimbangan diri sendiri.

“Kita perlu tahu rumah tangga bagaimana. Apa yang kita tengok di Instagram itu sebenarnya tidak sama seperti kehidupan sebenar. Seperti video hukuman anak yang Sarah keluarkan hari itu. Itu pun banyak telah dipotong. Sarah hanya keluarkan apa yang boleh ditengok sahaja sebab kami tahu sensiviti orang lain juga.

“Tetapi apa yang kami telah tapis itu masih tidak boleh diterima, lebih baik jangan komen. Lagipun rumah kita lain. Ini bermakna cara didikan kita pun lain. Jangan mempertikaikan hak kita sebagai ibu bapa ke atas anak kita sendiri.

“Bagi Sarah kalau anda tidak mahu hukum anak sendiri, itu adalah urusan anda sendiri. Kalau anda mahu tunggu sehingga anak besar baru mahu mengajar mereka, itu urusan anda sendiri,” jelas Sarah.

Komen Negatif Netizen

Menghadapi netizen yang lebih banyak memberi komen negatif bukanlah perkara baru dalam hidup artis seperti Siti Sarah dan Shuib.

“Biasanya yang komen negatif adalah budak-budak. Kami tahu apabila kami tengok akaun mereka. Sarah rasa ini adalah tanggungjawab ibu bapa untuk melihat anak mereka. Walaupun ibu bapa bekerja, mereka perlu tahu anak-anak itu masih dalam tanggungjawab mereka. Maksudnya apa guna kita bekerja tetapi anak dibiarkan.

Ibu bapa perlu ambil tahu Instagram dan Facebook anak. Kadang-kadang ibu bapa perlu cipta akaun palsu untuk mengikut aktiviti anak. Kita kena tahu pergerakan anak-anak. Mungkin banyak ibu bapa tidak faham betapa bahayanya telefon ini. Macam-macam perkara boleh berlaku tanpa disangka.

“Bagi Sarah sendiri, Sarah bagi juga anak-anak menggunakan telefon. Kita tidak boleh menentang arus. Apa yang ada sekarang ini kita ikut. Tetapi bukan sampai kita hidup dalam dunia siber. Kita perlu kawal apa yang anak tengok atau tidak,” ulasnya.

Berkaitan dengan isu berkongsi cerita di media sosial, Shuib menjelaskan dia memulakan akaun di laman media sosial adalah untuk berkongsi perkara positif sahaja.

“Saya suka menggunakan platform media sosial dengan memberikan content yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. Saya tidak suka jadikan media sosial ini sebagai tempat untuk marah orang atau burukkan orang. Saya cuba mengehadkan benda-benda sebegitu.

“Media sosial seperti Instagram adalah platform terbaik untuk menyampaikan sesuatu. Kita perlu guna sebaik mungkin. Saya boleh berkongsi banyak benda baik dan bisnes saya. Saya juga suka berkongsi sikit real life kami sekeluarga. Itu pun sedikit sahaja,” terang Shuib.

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Siti Sarah & Shuib dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru Isu September, Volume 2 ini. Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!

Teks: Julie Roshana Akma Binti Shafee
Foto: Tuan Azman dibantu oleh Bella
Solekan: Epie Temerloh
Penata gaya tudung: Anizon Hussin @anizon.hussin
Pakaian Siti Sarah : Ted Baker, Bangsar Village 2, Bangsar, KL. (Blaus pink) / Zara, Mid Valley, KL. (Blaus biru)
Pakaian Shuib : Ted Baker, Bangsar Village 2, Bangsar, KL. (Kemeja Pink) / Koleksi peribadi (Kemeja Biru)
Pakaian kanak-kanak : Zara Kids, Mid Valley KL.
Tudung: Naelofar Hijab, TTDI.

Published by
Suhaidah Abd Wahab