Baharu minggu pertama berlangsung, sudah ada penyingkiran dalam Akademi Qurra 2024. Tilmiz Arif menjadi peserta pertama tersingkir apabila mengambil Keputusan menarik diri atas faktor peribadi.
Menurut Pemangku Pengurus Kanan Program Akademi Qurra’ 2024, Zulkarnaen Mokhtar, keputusan Tilmiz Arif menarik diri berlaku pada saat-saat akhir berikutan isterinya sedang sarat hamil dan atas beberapa faktor peribadi yang tidak dapat dielakkan.
Penyingkiran peserta dari Kota Bharu Kelantan itu bagaimanapun digantikan apabila pihak produksi membawa masuk seorang peserta baharu iaitu Tilmizah Athiyyah.
“Jika diikutkan minggu pertama tiada penyingkiran, namun atas permintaan peserta untuk menarik diri, kami terpaksa akur dan tempatnya digantikan dengan kemasukan Tilmizah Athiyyah di mana dia merupakan peserta ke-13 terbaik daripada senarai finalis,” katanya kepada media sejurus selepas usai episod pertama Akademi Qurra 2024 sabtu lalu.
Terdahulu, kedudukan tertinggi pada minggu pertama disandang oleh Tilmiz Amnan dan Tilmizah Firza yang masing-masing memperoleh markah 92 peratus. Manakala Tilmiz Dr Adlee menduduki tangga terbawah dengan markah 84 peratus.
Tilmiz Luqman pula dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Alunan Terindah yang membawa pulang wang tunai RM500 dan sebuah rehal dari Million Bucks.
Penjurian markah diadili daripada Taranum, Alunan Suara, Tajwid dan Fasohah yang masing-masing membawa 25 peratus.
Akademi Qurra’ 2024 diadili oleh Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman selaku juri tetap dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim. Seramai 12 peserta bakal berentap bagi merebut gelaran juara Akademi Qurra’ 2024 sekali gus membawa pulang hadiah utama. Akademi Qurra’ 2024 bersiaran secara langsung menerusi saluran TV AlHijrah, setiap Sabtu, jam 9 malam.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.