Baharu minggu pertama berlangsung, sudah ada penyingkiran dalam Akademi Qurra 2024. Tilmiz Arif menjadi peserta pertama tersingkir apabila mengambil Keputusan menarik diri atas faktor peribadi.
Tilmiz Arif menjadi peserta pertama tersingkir di Akademi Qurra 2024
Menurut Pemangku Pengurus Kanan Program Akademi Qurra’ 2024, Zulkarnaen Mokhtar, keputusan Tilmiz Arif menarik diri berlaku pada saat-saat akhir berikutan isterinya sedang sarat hamil dan atas beberapa faktor peribadi yang tidak dapat dielakkan.
Penyingkiran peserta dari Kota Bharu Kelantan itu bagaimanapun digantikan apabila pihak produksi membawa masuk seorang peserta baharu iaitu Tilmizah Athiyyah.
Tilmizah Athiyyah dibawa masuk ke program Akademi Qurra 2024 menggantikan Tilmiz Arif
“Jika diikutkan minggu pertama tiada penyingkiran, namun atas permintaan peserta untuk menarik diri, kami terpaksa akur dan tempatnya digantikan dengan kemasukan Tilmizah Athiyyah di mana dia merupakan peserta ke-13 terbaik daripada senarai finalis,” katanya kepada media sejurus selepas usai episod pertama Akademi Qurra 2024 sabtu lalu.
Ads
Tilmiz Luqman dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Alunan Terindah yang membawa pulang wang tunai RM500 dan sebuah rehal dari Million Bucks.
Terdahulu, kedudukan tertinggi pada minggu pertama disandang oleh Tilmiz Amnan dan Tilmizah Firza yang masing-masing memperoleh markah 92 peratus. Manakala Tilmiz Dr Adlee menduduki tangga terbawah dengan markah 84 peratus.
Tilmiz Luqman pula dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Alunan Terindah yang membawa pulang wang tunai RM500 dan sebuah rehal dari Million Bucks.
Ads
Penjurian markah diadili daripada Taranum, Alunan Suara, Tajwid dan Fasohah yang masing-masing membawa 25 peratus.
Akademi Qurra’ 2024 diadili oleh Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman selaku juri tetap dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim. Seramai 12 peserta bakal berentap bagi merebut gelaran juara Akademi Qurra’ 2024 sekali gus membawa pulang hadiah utama. Akademi Qurra’ 2024 bersiaran secara langsung menerusi saluran TV AlHijrah, setiap Sabtu, jam 9 malam.
Pendirian Para Sahabat Berdasarkan HADIS Nabi, Menolak Lantikan ANAK BERANAK. Dalam menentukan pemimpin, seharusnya ia dipilih dikalangan mereka yang berkelayakan dan benar-benar berkemampuan berkebolehan untuk memimpin serta bukan atas ‘tiket’ ahli keluarga terdekat.
Ini kerana tugas memimpin satu tanggungjawab dan amanah yang sangat berat. Ia bagi mengelakkan sebarang permasalahan salah faham, berat sebelah, konflik berkepentingan dan sebagainya dalam kepimpinanan kelak.
Fahamkan penjelasan dan perkongsian hadis daripada Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia ini sebagai rujukan.
Menolak Lantikan Anak-Beranak
1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah mengingatkan kita tentang satu prinsip yang sangat penting dalam kepimpinan iaitu pemilihan kepimpinan mestilah dari kalangan mereka yang benar-benar berkelayakan. Pemilihan bukanlah disebabkan kerana seseorang itu rapat dengan kita atau kerana dia adalah ahli keluarga kita tetapi kerana seseorang itu benar-benar berkemampuan dan berkebolehan memimpin.
Maksudnya: Daripada Ibn Abbas RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang melantik lelaki dari kaumya sedangkan ada yang lebih diredhai Allah (yang lebih layak dari lelaki tadi), maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin.
(Mustadrak al-Hakim, no: 7023 – al-Hakim menilai hadis ini sebagai Sahih al-Isnad, manakala al-Albani menilai hadis ini sebagai daif).
Pendirian Besar Sebahagian Para Sahabat
2. Inilah pendirian yang biasa diambil oleh sebahagian besar para sahabat. Perhatikan bagaimana sebahagian sahabat melihat anak kepada Saidina Umar iaitu Abdullah bin Umar adalah seorang yang dikatakan layak untuk jadi pemimpin, tetapi Umar sendiri membantahnya. Beliau tidak mahu ada dikalangan anak-beranaknya sendiri menggalas tanggungjawab yang sangat berat ini.
Kata Saidina Umar: من استعمل رجلا لمودة او لقرابة لا يستعمله الا لذلك فقد خان الله ورسوله والمؤمنين
“Barangsiapa yang melantik seorang lelaki menjadi pemimpin disebabkan kerana dia suka kepada lelaki tersebut atau kerana lelaki tersebut adalah ahli kerabatnya, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin. (Ibn Kathir, Musnad al-Faruq, 2/537)
3. Malah Saidina Umar dikatakan sangat berhati-hati dalam urusan perkara yang melibatkan keluarganya. Pernah suatu hari beliau turun meninjau di pasar dan mendapati seekor unta yang sihat dan cantik. Lalu Umar bertanya: Milik siapakah unta ini? Orang awam menjawab: Ini adalah unta Abdullah bin Umar (iaitu anak Saidina Umar).
3.1 Umar segera memanggil anaknya Abdullah bin Umar dan meminta agar unta ini segera dijual. Alasannya adalah Umar tidak mahu dilihat anaknya mendapat kelebihan memiliki unta yang sihat dan cantik kerana hubungannya dengan ayahnya sebagai seorang pemimpin negara.
“(Wahai anakku), nanti orang ramai akan berkata: Jagalah elok-elok unta anak Amirul Mukminin, berilah minum unta anak Amirul Mukminin (ia sebagai satu bentuk rasuah bahawa sekiranya untanya dijaga dengan elok maka yang menjaga/memberi minum unta tersebut akan dapat syafaat tertentu daripada pemerintah (favoritisme) kerana jasa mereka menjaga unta milik anak VVIP)” (Sunan al-Kabir al-Bayhaqi, Tarikh Ibn Asakir)
4. Malah Ibn Khayyat pernah merekodkan kisah Saidina Muawiyyah yang berhasrat untuk melantik anaknya sebagai pemimpin dan meminta para sahabat yang ada ketika itu untuk berbaiah (melafazkan janji taat setia) kepada anaknya. Lalu beberapa orang sahabat yang masih ada ketika itu membantah lantikan yang bersifat sebegini.
Antara yang membantahnya ialah: Abdullah bin Umar, Abdullah bin al-Zubair, Abdullah bin Abbas dan Abd al-Rahman bin Abu Bakar. Abd al-Rahman dikatakan antara yang paling tegas membantah lantikan ini.
Beliau menyelar tindakan Muawiyah dengan berkata: وَالله لَوَدِدْت أَنا وكلناك فِي أَمر ابْنك إِلَى اللَّه وَإِنَّا وَالله لانفعل وَالله لتردن هَذَا الْأَمر شُورَى فِي الْمُسلمين
“Demi Allah, aku lebih suka jika kami membiarkanmu sendirian dalam isu pelantikan anakmu ini di hadapan Allah, dan demi Allah kami tidak akan masuk campur! Demi Allah, engkau mesti kembalikan isu ini kepada syura kalangan muslimin.” (Tarikh Khalifah Ibn Khayyat).
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan rujukan buat kita dalam memilih pemimpin.Pilih yang benar-benar berkelayakan, berkebolehan dan paling penting sebaiknya elakkan lantikan anak beranak mahupun keluarga terdekat bagi mengelakkan sebarang permasalahan dan konflik berkepentingan yang mungkin akan timbul kelak.
Bila mak ayah tiada, hanya kenangan dan doa-doa dari anak yang soleh dan solehah. Inilah bekalan untuk mereka ‘di sana’.
Salah satu cara lain untuk mengingatkan kenangan dengan mak ayah tiada adalah gambar dan pakaian yang digunakan mereka selama ini. Kain pelekat, kain sarung, baju dan sebagainya. Kenangan yang cukup indah.
Sebagai anak, tentu ada ahli keluarga yang bersepakat untuk membahagi-bahagikan pakaian pada anak-anak, sebagai salah satu kenangan dan ingatan. Tapi, jangan hanya disimpan. Gunalah sebagai pahala untuk mak ayah ‘di sana’.
Ramai antara kita berfikir bagaimana lagi mahu teruskan membalas jasa mereka. Tiada kesempatan lagi.
Bagaimana pula mahu memastikan adanya pahala kebaikan yang sampai kepada mereka berdua. Berpanjangan sampai akhir hayat kita pula sebagai warisnya.
Dulu, beberapa minggu setelah pemergian abah pada tahun 2012. Waktu ni ziarah emak. Seperti biasa emak tenang-tenang sahaja sedang mengemas pakaian lama abah.
Emak pelawa, ambil kain pelekat yang mana saya nak. Saya pun ambil sahaja mana-mana yang boleh pakai. Kemudian emak belek baju Melayu abah.
“Ni baju abah pernah pakai. Tapi sesekali je. Sebab besar saiznya. Kau ambil la ni pakai dari terbiar saja.” Pesan emak kepada saya.
Anak Jawa, memang biasa ganti nama diri ‘aku’ ‘kau’. Jadi jangan pelik kalau dengar budak kecil yang ‘pure’ Jawa bahasakan diri aku dengan orang lebih dewasa.
Saya pun ambil baju Melayu abah.
Bila fikir balik. Inilah salah satu cara saya nak panjangkan pahala yang sedikit untuk disampaikan kepada abah.
Saya pakai bajunya bila nak solat. Biasa hari Jumaat. Pergi surau (kadang je) pun saya pakai baju Melayu yang sama.
Kadang tu ada kenduri kendara majlis tahlil pun saya pakai baju sama.
Sampaikan Cik Puan Isteri tegur. Punya banyak baju Melayu dalam almari. Baju itu juga yang saya pakai. Saya jelaskan juga kenapa. Cuma majlis tertentu saya pakailah baju Melayu yang lain.
Baju Melayu abah ini. Saya pakai tujuannya nak sedekahkan pahala kebaikan yang ada saat saya memakainya buat abah di alam sana.
Sebagai anak, selain doa (walau kita bukan anak soleh sebenarnya). Inilah salah satu cara saya buat. Diam tak diam baju yang sama hampir 10 tahun masih saya pakai hingga ke hari ini.
Tidak banyak yang boleh disedekahkan.
Sedikit pun jadilah.
Insya Allah.
Mingguan Wanita : Mudah-mudahan mak ayah ‘di sana’ dilapangkan kuburnya dan bersama orang-orang yang beriman. Doa seorang anak. Aamiin.
Viral sebuah video di media sosial seorang jurunikah atau tok kadi menggunakan kanta untuk mengetahui tulen atau tidak cincin yang dijadikan mas kahwin dalam sebuah majlis nikah baru-baru ini.
Video itu mendapat perhatian dan ramai memuji sikap tok kadi tersebut. Tok kadi yang dikatakan siap bawa kanta, tiada niat lain dan mengakui perkara ini telah menjadi rutin baginya kerana sudah menjadi amanah buatnya memikul tanggungjawab ini.
Tindakannya bukanlah untuk mencuri tumpuan atau menarik perhatian orang lain. Apatah untuk memalukan keluarga pengantin, tetapi ianya dilakukan semata-mata kerana amanah.
Tiada Niat Lain, Telah Jadi Rutin Sebab Ini Amanah
“Niat saya membuat pemeriksaan secara teliti (ketulenan cincin emas sebagai mas kahwin) bukanlah untuk memalukan pengantin mahupun keluarga mereka, ia hanyalah tanggungjawab dan amanah,” kata jurunikah, Ustaz Harudin Mohd Mydin.
Harudin memberi reaksi itu selepas rakaman video menunjukkan dia menggunakan kanta khas meneliti ketulenan cincin yang dijadikan mas kahwin bagi pernikahan Azizul Abdul Rashid, 34, dan Siti Nurshakirah Shamsudin, 30, tular di media sosial.
Detik itu dirakam jurugambar perkahwinan sebelum dimuat naik di Facebook dan ia membuatkan rata-rata warganet memuji ketelitian jurunikah itu yang dianggap unik.
Tok Kadi Siap Bawa Kanta
Harudin berkata, tindakannya meneliti ketulenan emas pada majlis pernikahan itu bukannya untuk mencuri perhatian orang ramai, sebaliknya ia sudah menjadi ‘rutin’ baginya setiap kali menjadi jurunikah.
Menurutnya, sepanjang bertugas sebagai jurunikah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, rata-rata pengantin jujur dalam memberitahu kandungan pemberian yang diberikan mereka kepada pasangan masing-masing.
“Pengamalan duhulu, ada pengantin yang berterus terang cincin yang dibeli itu (tidak tulen) bukanlah di kedai emas tetapi di pasar raya. “Saya hanya menjalankan tugas dengan tanggungjawab dan amanah,” katanya.
Pengantin Tak Sangka Tok Kadi Begitu Teliti
Sementara itu, Siti Nurshakirah berkata, dia dan keluarganya juga tidak menyangka Harudin membuat pemeriksaan yang begitu teliti pada majlis pernikahannya. “Mujur suami bersedia dengan situasi itu, lagipun kami masing-masing yakin emas yang dibeli adalah tulen.
“Resit pembelian juga dibawa ketika majlis itu tetapi tak sangka tok kadi ambil langkah tambahan dengan memeriksa (cincin) menggunakan kanta,” katanya.
Perlu Jujur Dengan Tok Kadi
Katanya, majlis pernikahan ringkas itu hanya dihadiri keluarga terdekat yang diadakan di Surau Pematang Rawa MK7, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 26 Disember lalu.
“Bagi majlis persandingan, masih lagi belum ada tarikh yang sesuai memandangkan penularan pandemik Covid-19 belum reda.
“Saya juga tidak menyangka gambar itu tular di media sosial dan berharap ia menjadi pengajaran kepada bakal pengantin di luar sana supaya jujur dalam memberikan butiran kepada jurunikah,” katanya.
MW: Tok kadi hanya menjalankan amanah dan tanggungjawabnya. Tindakan ini seharusnya dipuji kerana tidak semua bakal pengantin di luar sana berlaku jujur. Padahal bab mas kahwin ini bukanlah perkara yang boleh diambil ringan dan dibuat main-main.