Lumrahnya lelaki dan wanita saling melengkapi.Namun adakalanya perbezaan sifat dan corak pemikiran diantara suami isteri boleh mewujudkan salah faham dan masalah didalam rumahtangga. Seringkali perkara yang dianggap kecil buat suami, menjadi isu besar oleh isteri. Sebagai salah satu contoh mengingati tarikh-tarikh penting seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.
Untuk memperjelaskan perkara ini, jemput baca penerangan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad ini.
Mengapa Lelaki Tidak Ingat Tarikh Perkahwinan?
“Doktor ingat tarikh perkahwinan?” saya ditanya oleh petugas di kaunter pendaftaran sarjana di UTM beberapa minggu lepas.
Saya diam. Rasa malu. Tersengih.
“Errr… boleh saya minta talian hayat. Saya nak call isteri saya”
Saya bukan lelaki yang tidak peduli pada perkahwinan. Cuma saya tidak dapat mengingati tarikhnya.
Di waktu yang lain, ketika saya memeriksa seorang kanak-kanak yang demam kuat. Saya mahu memberikan ubat. Dosnya harus diberikan mengikut umur dan berat badan kanak-kanak itu.
“Berapa umur anak encik ni. Ingat tarikh lahirnya?” saya menyoal bapa yang membawa kanak-kanak ini.
Kaum bapa bukan tidak sayang anak. Tetapi nombor pada tarikh-tarikh itu agak sukar diingat. Entah mengapa.
“Mengapalah suami saya sukar mengingati tarikh lahir anak, tarikh perkahwinan dan tarikh-tarikh penting..” keluh seorang isteri.
Saya termenung panjang. Walaupun wanita ini mengeluh tentang sikap suaminya, namun ia terkena batang hidung saya. Apakah juga saya juga jenis suami yang tidak peduli?
Memahami Perbezaan Sifat Lelaki Dan Wanita
Sifat Lelaki/ Suami
Lelaki adalah makhluk Allah yang diciptakan dengan perasaan tanggungjawab untuk mencari rezeki, melindungi keluarga dan menyelesaikan masalah mereka. Untuk tujuan itu mereka dikurniakan kekuatan fizikal.
Fikiran mereka lebih fokus memastikan isteri dan anak-anak tidak kelaparan di rumah. Mereka memikirkan bagaimana isteri dan anak-anak dapat tinggal di rumah yang selamat. Mereka bertanggungjawab terhadap masalah yang diadukan dan sentiasa berfikiran ‘mahu menyelesaikan masalah’.
Ads
Mereka akan memastikan stok makanan mesti mencukupi di rumah, atau sekurang-kurangnya telah memberikan wang secukupnya untuk perbelanjaan rumah pada isteri. Namun mereka tidak bersedia untuk memikirkan bagaimana makanan itu akan dihidangkan di meja makan.
Oleh itu, jangan tanyakan perkara yang terperinci hal di dalam rumah. Jangan kecil hati jika mereka tidak mengetahuinya, termasuk menu masakan pada hari ini.
“Abang nak makan apa hari ini?”
“Masaklah apa-apa…”
Otak lelaki tidak mampu memikir secara terperinci hal-hal di dalam rumah. Fokus mereka hanya untuk memastikan hal di dalam rumah dalam keadaan selamat dan anak isteri mereka tidak kelaparan.
Sifat Wanita/ Isteri
Sementara itu, wanita atau isteri pula, Allah jadikan dengan struktur fizikal dan emosi yang berbeza. Mereka berfungsi sebagai pengasuh anak dan menjaga hal-hal di dalam rumah tangga. Fokus mereka memastikan rumah sentiasa bersih dan kebajikan anak-anak terbela.
Mereka akan memastikan setiap perkara dalam rumah disimpan dan dijaga dengan selamat. Wanita akan tahu di mana diletakkan stokin suami yang dicampak oleh suami ketika sampai di rumah semalam. Wanita boleh menghidu bau rokok pada baju suami, hanya kerana suami duduk bersembang bersama-sama teman yang merokok.
Setiap perincian diingati. Tarikh bila anak harus menaghadiri appoinment doktor, tarikh bila anak harus mendaftarkan diri ke sekolah dan pelbagai tarikh lagi. Ini kelebihan yang Allah berikan, agar wanita dapat menjaga kebajikan rumah tangga dengan baik.
Sayangnya perbezaan sifat antara lelaki dan wanita, suami dan isteri tidak dapat difahami dengan baik. Oleh itu wujudlah salah faham di antara suami dan isteri. Di sinilah bermulanya masalah salah faham dalam perkahwinan.
Ads
“Doktor, semasa suami mengurat saya dulu, semua yang saya suka diingat. Sampai nombor kad pengenalan saya dia ingat. Cuba tanya dia sekarang. Tarikh lahir saya pun dia sudah lupa..”
Lelaki mungkin tidak dapat mengingati tarikh lahir isterinya, tidak bermakna dia sudah tidak menyayangi isterinya. Lelaki harus memberikan fokus kepada perkara yang ‘lebih penting’ dan ‘lebih besar’.
Apabila lelaki sedang memikat seorang wanita, dia semestinya cuba membuktikan bahawa dia adalah lelaki yang boleh diharapkan menjadi ketua keluarga.
Oleh itu, apa sahaja prasyarat bagi sebuah perkenalan akan ditunaikan bagi membuktikan bahawa dia adalah lelaki yang mampu membuatkan wanita itu bahagia. Lelaki akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada wanita yang dihajati. Fokus diberikan kepada usaha untuk memiliki.
Namun setelah bernikah, lelaki yang telah bergelar suami mempunyai set pemikiran yang berlainan. Dia harus memastikan isteri dan keluarga yang telah dibina berada dalam keadaan selamat dan bahagia.
Lelaki bergelar suami akan memberikan fokus bagaimana isterinya tidak kelaparan di rumah, berada dalam rumah yang selamat dan terus berfikir bagaimana memberikan kebahagian fizikal dan material pada isterinya.
Lelaki yang tidak mendapat tauladan dari ibubapanya, tentu sahaja menganggap bahawa memberikan kebahagian fizikal dan material telah mencukupi bagi sebuah keluarga. Mereka tidak terfikir bahawa sebuah keluarga harus juga diberikan nilai emosi dan spiritual.
“Apa yang awak mahu lagi? Tak cukup ke saya berikan duit setiap bulan?” itu adalah dialog yang sering diberikan.
Ads
Itulah naluri seorang lelaki. Ramai suami yang beranggapan bahawa tugas mereka hanya di luar rumah dan akan berakhir apabila mereka memasuki pintu rumah. Di rumah, segalanya diserahkan kepada isteri.
“Doktor, saya bukan tak suka menyambut hari harijadi isteri saya. Ini bukan ulang tahun yang ke sepuluh, tapi dah masuk ke 50. Saya rasa kalau saya bekerja lagi berfaedah” alasan seorang suami yang lupa tarikh lahir isterinya.
Ramai isteri yang kecewa dan memendam rasa. Bukan kerana suami tidak hadir jamuan pada tarikh yang bersejarah, tapi mereka kesal dan kecewa dengan sikap suami yang seolah-olah tidak memperdulikan mereka lagi.
Jadi di mana penyelesaiannya? Perlukan isteri bersabar dan memendam rasa sehingga suatu hari ada seorang lelaki lain yang mengambil berat terhadap dirinya lalu jatuh hati?
Sekali lagi jika kita memeriksa sikap lelaki yang bergelar suami, kebanyakannya ‘terlepas pandang’ terhadap perkara-perkara yang mereka anggap kecil, tetapi ia adalah suatu isu yang besar bagi isteri.
Fokus Pada Perkara Lebih Penting
Mereka bukan tidak peduli pada keluarga tetapi mereka lebih fokus kepada perkara yang mereka anggap lebih penting. Jadi jika ada perkara-perkara yang ’kecil tetapi penting’ harus diberi perhatian, beritahulah suami berulang-ulang kali.
Jangan rasa jemu memberitahu suami kerana mempunyai masalah sikap yang sama. Jika perlu, letakkan notis di papan kenyataan, kirimkan sms atau mengingatkan beliau setiap kali mahu ke tempat kerja.
Beritahu suami bahawa perkara itu penting dan sebagai isteri mahu perkara itu diingati.
Jadi jangan memendam rasa dan merasakan suami tdak menyayangi. Bantu para suami mengingati hal-hal itu. Ia lebih baik berbanding memendam rasa dan berburuk sangka pada suami.
Wallahu a’lam.
#sedangkanlidahlagitergigitdrzubaidi
Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (080312)
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat setiap pasangan suami isteri dalam meraikan setiap perbezaan fikiran dan sifat.
Usianya sudah hampir mencecah tiga tahun. Namun begitu Muhamad Rais Haziq bin Meidi Erfen tidak mampu berjalan laju seperti kanak-kanak seusianya. Pergerakannya agak lambat. Dia hanya mampu duduk dan mengengsot. Muhamad Rais juga tidak boleh bercakap. Jika dia mahukan sesuatu, Muhamad Rais akan menangis.
Apa masalah yang berlaku pada Muhamad Rais? Sebenarnya Muhamad Rais mengalami masalah kepala besar atau hidrosefalus. Saluran pernafasannya sempit. Paru-paru sebelah kanan besar sebelah. Ibunya, Zuraini Sulaiman masih ingat lagi pesanan doktor kepadanya.
“ Saya perlu terima hakikat sekiranya anak saya tidak lama kerana doktor memberitahu anak saya ini turut menghidap Megalencephaly dan capillary malformation syndrome. Mereka tidak boleh jamin berapa lama umur anak keempat saya ini.”
Zuraini korbankan kerja demi menjaga Muhamad Rais
Mengimbas semula kisah kehamilannya, Zuraini , 42, berkata apabila melakukan pemeriksaan pada bulan keempat kehamilannya di klinik kesihatan, doktor mendapati kepala anaknya lebih besar daripada badan.
“ Terkejut saya mendengarnya. Doktor kemudian memberitahu dia akan melakukan semula imbasan pada bulan hadapan. Kali ini doktor itu akan membawa seorang lagi doktor pakar untuk melihat keputusan imbasan tersebut.
” Saya datang semula pada bulan hadapan. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor pakar turut memberikan keputusan yang sama. Saya kemudiannya diminta merujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.
” Di sana, sewaktu doktor pakar melakukan imbasan, memang jelas kepala anak saya besar dari badan. Ketika itu usia kandungan adalah 5 bulan. Doktor kemudiannya memberitahu pada usia kandungan 7 atau 8 bulan, mereka mahu mengambil sedikit air ketuban. Mereka mahu memeriksa simptom apa yang berlaku pada anak saya.
” Doktor memberitahu saya perlu membayar RM600 kerana air ketuban saya itu perlu dihantar ke Amerika Syarikat untuk diuji. Saya beritahu doktor saya tidak ada duit sebanyak itu. Ditambah pula pada ketika itu saya ada tiga orang lagi anak-anak yang sedang bersekolah.
” Ketika kandungan berusia 7 hingga 8 bulan, pemeriksaan yang dilakukan mendapati bacaan kepala anak saya itu terlebih dari carta yang ada pada doktor. Doktor mahu juga mengambil air ketuban, tetapi dia kata saya perlu bayar.
” Saya menolak kerana tidak ada duit. Doktor memberitahu jika saya tidak beri, risikonya anak akan cacat dan sebagainya. Saya beritahu pada doktor, saya terima anak saya seadanya.”
Ketika kandungannya 35 minggu, doktor memberitahu Zuraini perlu bersalin dan pembedahan perlu dilakukan. Pada 2 Mac 2016, Muhamad Rais telah dilahirkan secara pembedahan.
Buang Shunt Lama Ganti Shunt Baru
Kehidupan Muhamad Rais selepas dilahirkan tidak semudah yang disangka. Selepas dilahirkan anaknya itu terus dimasukkan ke dalam ICU kerana mengalami masalah pernafasan. Selama seminggu Muhamad Rais berada dalam ICU. Doktor mendapati saluran pernafasan Muhamad Rais sempit dan pembedahan perlu dilakukan.
“ Dua minggu kemudian pembedahan memotong saluran pernafasan dilakukan. Satu alat diletakkan bagi merenggangkan sedikit saluran pernafasan yang sempit itu. Selepas itu anak saya duduk di hospital selama 3 bulan.”
Keluar hospital tidak bermakna masalah telah selesai. Muhamad Rais perlu kerap kali dibawa berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan susulan.
“ Ketika berusia 10 bulan, doktor mendapati lilitan kepala anak saya itu berukuran 68 cm. Kepala anak saya lebih besar dari badan. Doktor melakukan x-ray dan mendapati air bertakung di dalam kepala. Terus anak saya ditahan di wad.
” Selepas itu pembedahan membuang air dan memasang satu alat iaitu VT Shunt di dalam kepala. VT Shunt akan bertindak sebagai penyedut air. Doktor kata anak saya tidak ada saluran air dalam kepala. Seumur hidup dia perlu pakai VT Shunt itu untuk membuang cecair berlebihan daripada kepalanya.”
Selama 3 tahun, Muhamad Rais telah dibawa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Dia aktif seperti biasa. Bersyukur Zuraini dengan keadaan anaknya itu.
Namun pada 29 Disember 2018, Muhamad Rais mula muntah-muntah dan tidak aktif. Dia terus dibawa ke hospital.
“ Doktor pakar memberitahu VT Shunt yang ada tidak boleh lagi berfungsi. Ia perlu dicabut. Sementara itu Shunt baru perlu dimasukkan. Pada 4 Januari 2019 lalu, Muhamad Rais telah dimasukkan ke wad.
” VT Shunt yang digunakannya itu telah dibuang dan diganti dengan Shunt yang baru. Shunt bermagnetik ini berharga RM3500.Doktor memberitahu Shunt ini boleh tahan sehingga Muhamad Rais besar. Sekali lagi saya dan suami mengumpul duit untuk membayar kos pembedahan tersebut.”
Banyak perubahan Muhamad Rais setelah Shunt bermagnetik ini dipasang. Lilitan ukuran kepalanya telah semakin berkurangan. Kini Zuraini dan keluarganya mampu bernafas lega seketika. Namun dalam pada itu melihatkan anak semakin membesar, Zuraini semakin risau kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada anaknya kelak.
Berhenti Kerja Demi Jaga Anak
Dahulu apabila mengetahui anaknya tidak sama seperti anak-anaknya yang lain, Zuraini sedikit kecewa. Tetapi kini Zuraini sudah dapat menerima hakikat keadaan kesihatan anaknya ini. Namun dia sedar di luar sana ada juga ibu bapa yang turut memiliki anak dalam keadaan yang sama seperti anaknya. Apa yang mampu Zuraini katakan kepada ibu bapa ini adalah bersabar.
“ Suami menasihatkan saya agar redha dengan apa yang Tuhan berikan kepada kami. Saya terima seadanya apa yang berlaku pada anak saya ini. Nasihat saya kepada ibu bapa yang dapat anak sebegini kena tumpukan perhatian kepada anak mereka kerana anak ini masih kecil mereka tidak boleh bercakap. Jadi kita faham anak ini agar mudah kita tahu dia sakit atau tidak.
” Tidur ibu bapa anak sebegini tidak cukup lama kerana banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku pada anak. Anak sebegini mudah tersedak. Dan kalau secara tiba-tiba air bertakung di kepala, muka anak akan berubah jadi biru. Ibu bapa jangan tidur lena. Mereka kena berkorban demi anak.
Pesan saya, kalau dapat anak sebegini, ibu kalau boleh jangan bekerja. Saya sendiri terpaksa berhenti kerja dan mengorbankan kerana perlu menjaga anak. Sejak tiga tahun lalu keluarga kami ini hanya bergantung pada suami untuk mencari rezeki.”
Zuraini bersyukur anak-anak sanggup bantunya menjaga Muhamad Rais
Sumbangan Seikhlas Mungkin
Ingin bantu keluarga ini, bolehlah memberi sumbangan pada akaun CIMB 7010743104 Zuraini Sulaiman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan calang-calang suami rela melepaskan isteri yang baru dikahwini, malah sanggup pula menyatukannya dengan kekasih yang dicintai. Sungguh ‘pengorbanan’ luar biasa. Kejadian terbaru yang berlaku di India, seorang suami yang menyedari wanita dikahwininya tiga bulan lalu sebenarnya mencintai lelaki lain bertindak mengaturkan satu majlis untuk menyatukan pasangan terbabit.
Times Of India melaporkan, kisah umpama filem Bollywood itu berlaku di kampung Sanigwan apabila lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Sujit mengaturkan satu majlis pada Rabu lalu untuk mengahwinkan isterinya, Shanti dengan kekasih wanita itu, Ravi.Sujit, tinggal di Sanigwan berkahwin dengan Shanti yang berasal dari Shyam Nagar pada 19 Februari lalu.
Sering Lihat Isteri Bersedih
Sejak berkahwin Sujit sering melihat isterinya bersedih. Pada satu hari Shanti menangis dan memberitahu suaminya bahawa dia sebenarnya mempunyai kekasih serta dipaksa berkahwin dengannya. Biarpun Sujit terkejut dengan pengakuan isterinya, dia berjanji dengan Shanti untuk mengahwinkannya dengan Ravi.
Beberapa hari kemudian, Sujit bertemu Ravi yang turut mengaku dia adalah kekasih Shanti. Selepas mendengar pengakuan pasangan berkenaan, Sujit bertemu keluarga kedua-dua pihak untuk meyakinkan mereka mengenai rancangannya dan meminta polis untuk membantu.
Akhirnya pada Rabu lalu, ratusan penduduk berkumpul di sebuah kuil di kampung itu untuk menyaksikan perkahwinan Shanti dan Ravi.
“Pada mulanya banyak perkara buruk bermain di fikiran saya. Namun selepas berbincang dengan orang tua dalam keluarga kami dan di kampung saya akhirnya mencapai satu penyelesaian bahawa kami bertiga boleh hidup gembira,” kata Sujit.
Macam-macam hal. Murni sungguh hati lelaki ini dan sangat bersikap positif. Bagi sesetengah orang, jika perkara ini berlaku pada diri sendiri, sampai sanggup berbunuh-bunuhan tetapi tidak bagi lelaki ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Betul, jadi suri rumah ini banyak berperang dengan emosi. Kalau dulu pernah bekerja, lagilah rasa nak banding-bandingkan kehidupan sebelum ini.
Apa lagi tengok gambar mak-mak lain yang posing sakan di pejabat dengan baju-baju cantik. Antara perasaan lain yang muncul, mungkin macam Puan Nurul Kasmadillawati alami, yang mana dia sendiri juga pernah bekerja.
Nah, jemput renungkan dan muhasabah diri kejap.
Setelah 6 tahun berhenti kerja untuk jaga anak dan bekerja dari rumah, ini apa yang saya rasa:
1. Jadi suri rumah jaga anak memang 200% ganda penat dan stres daripada bekerja.
2. Jadi suri rumah, susah nak dapat Me Time. Time mandi pun ada penonton. Kalau tutup pintu. Ada yang ketuk pintu non stop sampai telinga kita bingit dan terpaksa buka pintu. Bila buang air, ada orang kat sebelah tolong flush kan adalah perkara biasa. Sebab? Anak yang 24 jam duduk dengan mak ni manje dia lain macam. Melekat tak boleh berenggang. Takpe dah besar nanti ok lah. Tak lama dah.
3. Jadi suri rumah, kadang-kadang akan rasa bosan sebab tiap hari rutin yang sama. Bangun. Kemas rumah. Masak. Mendobi. Rumah selerak, kemas semula. Lipat baju. Rumah selerak, kemas semula. Kadang-kadang tak sempat makan. Nak pulak kalau buat bisnes macam saya, terkejar-kejar antara kerja rumah dan bisnes. Paling boring ialah kemas rumah. Berkali-kali sehari sebab saya jenis tak boleh rumah selerak. Paling penting, time suami nak sampai dari pejabat, rumah wajib spotless clean. Anak-anak pun dah tau… kalau saya kata papa dah nak sampai, dorang takkan selerakkan rumah lagi. Papa dah sampai, baru boleh sambung projek selerak rumah.
4. Jadi suri rumah, kita akan rasa lonely. Takde kawan. Time kerja dulu masuk kerja jumpa orang. Sembang, makan sama-sama. Jadi suri rumah sembang dgn anak, sembang dgn tv, sembang kat wasap. Makan sorang sambil layan fb. Itu aje. Antara benda yang paling rasa missing bila dah tak kerja ialah kurang bersosial. Time ambik anak balik sekolah dapat la jumpa mak-mak atau nenek yang ambik anak. Dapatlah sembang dalam 10 minit. Bila suami cerita makan-makan dengan ofismate kadang-kadang rasa jealous.
5. Jadi suri rumah tak de cuti sakit atau cuti rehat. Time kerja dulu, kalau sakit boleh ambik mc. Hantar anak kat taska dan rehat kat rumah. Sekarang? Time sakit pun kena layan anak buat sarkas. Tak ada nya nak dapat rehat tidur dengan tenang dan bahagia.
6. Jadi suri rumah,dah bertahun tak berdating dengan suami. Dulu time kerja kami ambik cuti sehari, pergi jalan-jalan tengok wayang. Anak kat taska. Sekarang… dah tak merasa. Rindu moment tu. Takpe… anak2 dah sekolah nanti boleh repeat semula.
7. Jadi suri rumah, orang akan pandang rendah kat kita. “Belajar tinggi-tinggi tapi jaga anak kat rumah je” “dulu lepas spm tak dapat offer masuk u ke?” “Tak kerja tak takut ke kalau suami buat hal? Nanti terkontang-kanting kena tinggal” “syoklah dapat duduk rumah tak payah kerja. Relax-relax je main dengan anak”. Malah mertua saya pernah kantoi, taknak sebut saya suri rumah jaga anak. Saya senyum je. Pasal suami buat hal tu…. apa yang kita fikir dan sebut itulah yang akan jadi. Kalau takut nak berhenti kerja sebab takut suami buat hal, nah… nanti betul-betul jadi. Fikir benda baik, sebut benda baik, doa yang baik-baik, buat yang terbaik, dan tawakal. Percaya kepada Kun fayakun.
8. Jadi suri rumah, kadang-kadang syaitan akan datang dan bisik: kalau tak resign dulu… sekarang gaji mesti dah beribu bilion…bla..bla..bla.. berbaloi ke berhenti kerja jaga anak? Syaitan tu memang akan datang menjengah. Especially bila tengok kawan-kawan seangkatan naik pangkat, pakai baju cantik bergaya posing dalam bilik kat pejabat. Just shake it off. Jangan dilayan. Halau syaitan tu supaya pergi jauh-jauh.
Sebab tu ada ustaz yang kata suri rumah adalah pekerjaan paling mulia bagi seorang wanita. Sebab memang tak mudah. Pengorbanan paling besar ialah tinggalkan kerjaya dengan jawatan dan gaji kita semata-mata untuk anak dan suami. Allah juga yang akan memberi balasan untuk saya di syurga nanti. Insya Allah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...