Ajar Anak Masak, Soal Risau Dia Mula Pegang Pisau Patut Tolak Tepi

Share

Assalamualaikum, kali ini saya terpanggil untuk bercerita tentang sesekali ajar anak masak di dapur. Mungkin ramai yang tahu bukannya mudah untuk ibu yang bekerjaya seperti saya dapat meluangkan masa bersama anak-anak. Sebelum pergi kerja anak-anak akan sibuk bersiap ke sekolah, bila saya pulang kadang kala sudah malam dan mereka sedang menyiapkan kerja sekolah dan kemudian masuk tidur.

Pada hujung minggu dan hari cuti umum saja masa untuk saya dan anak-anak dapat luangkan masa lebih lama. Bukannya mudah untuk mengisi masa berkualiti bersama anak-anak. Apatah lagi anak saya yang sulung merupakan kembar perempuan jadi kedua-dua mereka sememangnya sangat rapat dengan saya. Bak kata orang ada ketika mereka mahu saya membawa mereka berjalan-jalan dan melakukan aktiviti bersama. Cuma ada masanya memang sempatlah kami lakukan aktiviti outdoor seperti berjogging, shopping dan menonton wayang. Tapi ada ketikanya dek kerana terlalu penat saya lebih suka berehat di rumah.

Masa di rumah mereka suka berborak-borak, tanya pelbagai soalan. Dan paling penting mereka suka bertanya tentang keseronokan saya bekerja sebagai seorang wartawan. Malah saya lihat ada ciri-ciri seorang wartawan pada anak kembar saya kerana mereka ni jenis yang banyak tanya. Dan kadangkala saya pula pening sebab banyak soalan yang dilontarkan kepada saya.

Ajar Anak Masak

Baru-baru ini mereka ke rumah kakak saya dan belajar memasak. Sejak dari itu, mereka cukup teruja setiap kali saya ke dapur. Mereka mahu tolong lakukan kerja-kerja dapur. Memandangkan anak saya baru masuk usia 10 tahun, jadi saya agak takut untuk suruh mereka ke dapur. Banyak perkara yang tidak elok saya bayangkan akan berlaku. Tapi disebabkan mereka cukup teruja saya pun bagilah seorang potong bawang dan sorang lagi gunting sayur kacang panjang. Punyalah mereka teruja dan masing-masing buat kerja dengan tekun. Dalam hati saya tuhan saja yang tahu, janganlah benda yang tak elok berlaku.

Lega hati saya, cantik saja si kakak potong bawang dan adik dengan sayur kacang panjang. Si kakak pula sempat beritahu “mama nanti nak tolong gorerng ayam ya”, saya cakap perlahan-lahan kakak nanti mama ajar ya. Pada hari minggu lalu jadi siaplah Nasi Tomato, Ayam Masak Merah, Kari Dal Ayam dan juga Acar Nenas sebagai menu tengahari kami sekeluarga.

Sambil makan sempat lagi si kakak dan adik beritahu pada papa dan adik lelaki mereka yang mereka pun membantu mama di dapur. Pengajaran yang dapat saya pelajari pada hari tersebut, dek kerana terlalu risau, sebenarnya anak-anak perempuan saya sudah boleh diharap dan saya sebagai ibu perlu mengajar mereka ke dapur. Mungkin disebabkan perasaan yang risau saya tidak pernah terlintas menyuruh anak-anak membantu saya terutama di dapur.

Bila difikirkan semula, saya sendiri sejak usia 8 tahun saya sudah membantu ibu di dapur, malah sudah pandai menggoreng telur. Selepas ini saya mahu buang rasa sangsi dan perlu mengajar anak-anak perempuan di usia muda cara-cara mereka berkemas rumah dan memasak. Bila anak kembar perempuan sibuk membuat kerja, adik lelaki mereka pun terikut-ikut sama suka berkemas. Bila masing-masing dalam rumah sudah tahu peranan dan tugas mereka, alhamdulillah mudah kerja saya. Sekarang ni lepas pulang ke rumah, sinki bersih, pinggan dan mangkuk semua sudah dicuci. Malah rumah juga sangat kemas. Syukur kerana anak-anak perempuan saya banyak menolong saya.

Jadi kepada golongan ibu di luar sana jangan risau untuk menyuruh anak membantu di rumah, dengan cara ini membantu mereka menguruskan kebersihan dan juga membentuk peribadi mereka yang lebih ke arah seorang yang pembersih. Di sini saya ingin kongsikan resipi Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah kami.

Nasi Tomato Mama Yatt

1 cawan beras basmathi
1 cawan air
2 helai daun pandan
4 sudu besar susu cair
1 biji tomato
4 sudu besar sos tomato
Garam
2 sudu besar minyak sapi untuk menumis

Bahan Tumis

5 biji bawang merah kecil
1 ulas bawang putih
1 inci halia
Kayu manis, buah pelaga, bunga lawang

Cara-Cara Memasak:

Mula-mua tumiskan bahan-bahan untuk menumis, masukkan tomato, sos tomato, susu cair, daun pandan dan garam. Bila sudah didih masukkan beras kacau rata. Pindahkan ke periuk nasi dan masukkan air dan biarkan hingga masak. Hidangkan.

Ayam Masak Merah

Bahan-bahan:

Setengah ekor ayam (basuh, kunyitkan dan kemudian goreng)
Cili kisar
Bawang merah (kisar)
Hali (kisar)
Bawang putih (kisar)
Sos cili
Sos tomato

Cara-Cara Memasak:

1. Tumiskan cili kisar, kemudian masukkan bahan-bahan kisar tumis hingga garing.

2. Masukkan sos cili, sos tomato dan biarkan sebati kemudian masukkan ayam goreng.

3. Sedia untuk dihidangkan.

Published by
Norhayati Suboh