Anak lelaki, tanggungjawabnya cukup besar dalam keluarga. Dialah yang jadi harapan untuk mak ayah dalam menjaga keluarga. Malah, ajarlah dia hidup susah dan bukannya memberi kemewahan atau dimanja-manja.
Tidak dinafikan, mana mak ayah yang tak sayang anak. Itulah cinta hati dan zuriat yang ditunggu-tunggu untuk penyambung keturunan. Namun, tidak semetinya diberikan segala apa yang diinginkan.
Jika dibandingkan dengan cara orang dulu-dulu, anak lelaki diajar hidup susah supaya dia tahu tangungjawab pada keluarga dan paling penting mampu berjiwa kental serta menghadapi sebarang ujian hidup.
Itulah bezanya cara nak didik anak lelaki dengan anak perempuan. Masing-masing ada cabaran tersendiri. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang yang serba moden hinggakan mak ayah sanggup beri apa sahaja pada anak.
Sebab itulah, kita sebagai mak ayah kena ajar anak lelaki hidup susah seperti yang kita lalui dulu. Mungkin cara inilah, ia dapat melahirkan anak lelaki yang berjiwa kental, tanggungjawab dan sebagainya, sepoerti apa yang dikongsikan oleh Puan Aminah Mat Yusoff.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Biasakan Anak Lelaki Buat Kerja Rumah, Bila Dewasa Tak Kekok Urus Keluarga Sendiri
Jangan Dimanja Anak Lelaki. Usah Harapkan Anak Perempuan Saja Buat KERJA RUMAH
Info Lebih Menarik DI SINI
Tip mendidik anak lelaki cara orang dulu-dulu, cabaran mendidik anak lelaki berbeza dengan anak perempuan. Saya kongsikan beberapa tips terbaik melahirkan anak lelaki yang berjiwa kental, bertanggungjawab dan dihormati masyarakat.
Inilah kehidupan. Saya menelusuri perjalanan hidup Almarhum ayahanda dan 5 bapa saudara yang dibesarkan oleh atuk dan nenek. Semuanya lelaki. Kebanyakan dari mereka menjadi insan yang sangat disegani dan ada yang dikumpulkan dalam kelompok ulama negeri kelantan. Subhanallah..Terasa kerdilnya diri ini.
Jangan terkejut jika saya nyatakan, mereka melanjutkan pengajian ke luar negara berbekalkan duit belanja dari hasil jualan telur itik dan sumbangan masyarakat kampung.
Rupanya, wang belanja dan sumber yang berkat memberi kesan yang Hebat dalam kehidupan seorang anak. Menjadi asbab kepada Allah SWT redha dengan ilmu yang dituntut sehingga mampu menjadi tunjang dalam masyarakat.
Kemewahan hanya akan melahirkan seorang anak lelaki yang pandai meminta bukan memberi.
Ajari mereka tentang kehidupan yang susah, jika hari ini suasana rumah kita tidak membantu, bawalah anak-anak ke suatu tempat yang mampu mengajar erti kesusahan yang sebenar.
Ajak mereka melakukan khidmat masyarakat, turun menziarahi keluarga yang daif dan berikan tanggungjawab sebagai ketua untuk menguruskan sesuatu misi mengikut kadar kemampuan.
Banyakkan program bersama anak lelaki, membersih kawasan masjid, tempat wuduk dan paling penting ialah tandas. Inilah cara yang paling mudah untuk menundukkan hati yang keras dan sombong. Bila hati sudah dilentur, mudahlah akhlak dibentuk.
Cuba tanya anak lelaki satu soalan nie, bila besar nanti nak jadi apa?
Kita akan mendengar jawapan yang hampir sama. “Saya nak jadi macam ayah”
Apapun pun pekerjaan seorang ayah, anak lelaki akan merasa bangga dan sentiasa memasang angan-angan untuk menjadi seperti nya.
Penting, dampingi anak-anak dengan contoh kelakuan yang terbaik
.Tabiat yang buruk tinggalkan di luar rumah atau lakukan diluar pengetahuan anak-anak lelaki. Contohnya bertengkar, ketagihan game, merokok dan sebagainya.
Seorang anak yang diajar dengan kekerasan, sifat bengis, pemarah, suka berhibur dan kemaksiatan akan cenderung menjadi seorang penjenayah, mereka melihat orang lain sebagai lawan bukannya kawan.
Bahaya membiarkan jiwa seorang anak lelaki kosong, kering dan gersang kerana banyak unsur-unsur negatif akan berebut memenuhinya.
Tidak mudah mendidik anak lelaki kerana kita hanya mampu melihat hasilnya apabila mereka menginjak remaja dan menjadi dewasa.
Cabaran yang paling besar ialah menguruskan anak lelaki remaja. Berapa ramai ibu ayah yang menumpahkan air mata kerana anak mereka tersungkur di lembah kehinaan, salah memilih haluan hidup, kuat melawan, memilih teman hidup yang salah, tercalar akidah kerana taasub dengan artis2 barat dan kpop.
Ubat kepada segala penyakit ini ialah suapkan makanan kepada rohani mereka. Wujudkan hubungan dengan Allah dan benamkan kalimah tauhid dalam jiwa, pasti dan pasti tidak ada perkara yang boleh merosakkannya.
Bekal hidup yang paling baik untuk seorang anak lelaki ialah ilmu dan pengalaman. Hantar mereka belajar di tempat jauh, lagi jauh lagi mahal pengalaman yang mereka perolehi.
Anak lelaki yang berdikari akan menjadi seorang yang bertanggungjawab dan bijak mengatur kehidupan.
Kita bukan sahaja melahirkan seorang anak lelaki, tetapi Allah amanahkan kita bakal khalifah. Besar sungguh tanggungjawab mendidik, kerana kita akan disoal tentang amanah ini.
#BicarakuKeranaAllah
MW: Jagalah amanah yang Allah berikan kepada kita sebagai mak ayah.
Sumber: Aminah Mat Yusoff
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita