Tak ada istilah bertuah dapat anak lelaki atau perempuan, sebab cara nak mendidiknya pun lebih kurang. Nak-nak bab kerja rumah, bukan anak perempuan saja yang patut ada di dapur. Anak lelaki pun sama!
Nah, ilmu daripada seorang lelaki berstatus ayah anak empat, saudara Ahmad Affzan Abdullah. Padu dan sangat berguna untuk dijadikan rujukan.
Didik Anak Lelaki Atau Perempuan
Anak-anak aku ada 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan.
Orang kata susah jaga anak perempuan. Bagi aku jaga anak lelaki tak kurang susahnya juga, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Kena ajar anak lelaki supaya tidak dibuli dan tidak membuli orang lain, terutamanya pasangan mereka nanti.
Apa yang aku ajar pada anak lelaki?
House chores
Anak-anak lelaki aku semuanya wajib buat kerja-kerja rumah. Tak ada yang boleh melepak sesuka hati tanpa ke dapur atau ke laman
Ini asas dalam kemahiran hidup. Didik dari awal agar besar nanti tidak menyerahkan semua kerja rumah pada isteri.
Apa jenis-jenis house chores yang mereka kena buat? Ini antaranya :
Semua ini diajar serta dibiasakan. Ada yang dibuat setiap hari, ada yang ikut jadual.
Lepas makan, terus basuh pinggan. Jangan campak saja dalam sinki, harapkan orang lain yang basuh. Ini setiap kali makan harus dibuat.
Sekali atau dua kali seminggu, anak-anak akan ke dapur untuk masak. Aku dan isteri cuma pantau saja. Alhamdulillah, ada yang dah boleh masak asam pedas dan spaghetti. Hari-hari lain yang tak memasak, mereka akan bantu sediakan bahan
Basuh baju, ajar macam mana guna mesin basuh. Baju jenis apa yang boleh dibasuh sekali, baju apa yang kena asingkan. Air berapa banyak, sabun berapa banyak, nak spin berapa lama. Ajar sekali, insya-Allah lepas itu dah senang.
Ads
Sidai baju pun sama. Kadang-kadang kita rasa common sense tapi tak semua budak-budak boleh faham. Cara sidai kena ajar, nak pakai penyakut ke tidak, kain tu kena kibas sebelum sidai, susun baju dekat penyidai jangan terlalu padat.
Sidai pakaian dalam jangan sebarang. Ajar supaya pakaian dalam ini disidai tersorok sikit dari pakaian lain, itu aurat keluarga kita.
Baju yang dah kering perlu dilipat atau digosok. Maka aku dan isteri ajar mereka cara lipat yang betul, bukan main bungkus saja.
Gosok baju pun begitu juga. Kalau ada ‘steam generator iron’ jenama Philips tu senanglah, tak takut baju berlubang. Kalau tak ada, perlu ajar suhu iron yang betul untuk pelbagai jenis baju. Jangan main hentam saja gosok baju kain lycra pun kau letak suhu untuk baju kain cotton.
Basuh tandas, ini memang paling tidak digemari oleh sesiapa pun. Dan biasalah, tandas ini selalu orang pandang sepi saja. Lepas flush, terus keluar. Tapi kalau tak dibasuh, mau berkulat dibuatnya. Lantai putih pun dah jadi oren.
Ads
Jadi kena ajar celah-celah mana yang perlu disental, guna pencuci apa. Teknik menyental pun kena tahu untuk menjimatkan masa dan tenaga.
Kebetulan, aku pun minat tanam pokok. Jadi anak-anak pun turut sama diajar untuk bermain dengan tanah dan baja. Selang beberapa hari kena cabut rumput. Ajar bancuh baja macam mana, bila nak siram, bila nak buang daun-daun dari pokok, bila nak petik buah.
Anak Bandar Tak Sama Di Kampung
Kalau di kampung, senang sikit. Ada dusun dan pokok besar-besar untuk ajar anak lelaki jadi lasak, boleh mereka panjat pokok duku dan rambutan. Di bandar ini, ajar jaga pokok renek dan pokok dalam pasu pun bolehlah. Janji tahu berbakti pada tanah dan tak jadi penggeli.
Jadi, adakah anak lelaki aku terus jadi gentleman?
Belum lagi, ini kira benda asas yang perlu mereka tahu dan amalkan dalam kehidupan. Jangan berharap pada pembantu atau bibik, apatah lagi memperkulikan pasangan atau ibu bapa sendiri. Sekurang-kurangnya, beri mereka pendedahan, latihan dan pemantauan berterusan agar jadi rutin dan ‘habit’.
Malas, culas, bagi alasan, itu biasa. Kita pun dulu waktu kecil selalu mengelat juga. Namun sebagai ibu bapa, perlulah bijak memberi galakan dan motivasi pada anak-anak agar tugas-tugas di rumah ini jadi satu kebiasaan dan bukan sesuatu yang janggal di mata mereka.
Ayuh, sama-sama kita didik anak lelaki agar jadi bertanggungjawab, ada sifat ‘chivalry’ dan ‘gentleman’ pada orang perempuan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramadhan datang lagi. Hadirnya memberi 1001 erti. Kedatangan bulan seribu rahmat ini hadirnya bersama limpahan pahala dan syafaat. Pastinya insan bernama ibu, antara sosok terpaling sibuk terutamanya waktu sahur dan juga sebelum iftar.
Pengalaman berpuasa dengan anak-anak pastinya menjadi memori manis yang sukar dilupakan. Mendidik mereka memahami dan mempraktikkan amalan berpuasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam ketiga yang wajib diamalkan.
Buat si kecil yang tergolong dalam kelompok mumaiyiz (yang boleh membezakan perkara baik dan buruk) mereka juga sudah boleh belajar berpuasa. Berikut adalah langkah mudah yang boleh dilakukan dalam mendidik anak-anak ini belajar berpuasa.
1. Puasa dan tak boleh makan
Mereka mungkin menganggap puasa itu maknanya ‘tak boleh makan apa-apa pun’. Ada juga si kecil yang memahami, puasa tak boleh makan, tapi boleh minum susu atau air sahaja. Ada juga yang puasa hanya separuh hari dan berbuka puasa apabila tiba waktu Zohor.
Dalam situasi tertentu, ada anak kecil yang menyatakan puasa itu hanya pada waktu siang, dan boleh makan pada waktu malamnya sepanjang bulan puasa.
Buat ibu bapa jelaskan kepada anak-anak dengan bahasa yang mudah. Puasa itu wajib bagi orang Islam. Tetapi untuk kanak-kanak yang baru belajar, ibu bapa digalakkan untuk bertolak ansur, tidak terlalu berkeras malah memberi mereka waktu untuk berpuasa mengikut kemampuan anak-anak.
2. Berpuasa dan solat itu wajib
Terangkan kepada anak kecil, solat itu wajib. Apa guna berpuasa, menahan lapar dan dahaga tetapi tidak menunaikan solat. Maka sia-sia sajalah perbuatan berpuasa itu tanpa solat. Untuk menjadi seorang Muslim dan Muslimah yang baik, jadikan anda sebagai contoh kepada anak-anak. Caranya dengan solat secara berjemaah dan sama-sama mengajar mereka berpuasa.
3. Fahami mereka yang susah
Mungkin mereka masih kecil, tetapi mereka juga sudah mula memahami perkara kecil yang bakal menjadi jati diri mereka suatu hari nanti. Maklumkan kepada mereka, di luar sana masih ada anak-anak yang sebaya mereka, tidak makan dalam tempoh tertentu. Kerana kemiskinan dan peperangan, anak-anak ini jarang menikmati makanan yang enak. Ada masanya mereka terpaksa tidur sambil menahan kelaparan.
Ajar anak anda mensyukuri dan menghargai makanan yang ada. Jangan membiasakan anak dengan sifat terlalu cerewet ataupun memilih makanan. Jelaskan kepada mereka, pastinya anak-anak yang kelaparan di luar sana akan menghargai apa yang mereka makan…sekalipun diberikan separuh epal. Pendek kata, ajar mereka mensyukuri tiap rezeki yang ada.
4. Jangan membazir
Elakkan menjadikan Ramadhan sebagai bulan pembaziran. Sebaiknya rancang menu yang mudah, berkhasiat dan tidak menggunakan bahan yang terlalu banyak. Kurangkan kekerapan ke bazar Ramadhan kerana biasanya kita akan membeli tanpa berfikir panjang terutamanya ketika perut lapar. Inilah masanya anda boleh mengasah skil masakan dengan mengajak anak anda sama-sama menyediakan menu ringkas untuk dinikmati ketika iftar.
5. Sediakan juadah kegemaran anak-anak
Bagi membuatkan mereka rasa dihargai, sesekali hargai usaha mereka belajar berpuasa dengan menyediakan juadah kegemaran mereka. Pastinya mereka akan teruja dan kurang merungut.
6. Waktu puasa ikut kemampuan anak-anak
Jangan terlalu memaksa dan berkeras dengan anak-anak terutamanya yang baru belajar berpuasa. Mulakan dengan puasa separuh hari, kemudian tambahkan masa kepada beberapa jam lagi dan seterusnya berpuasa sehingga waktu iftar.
Lazimnya dalam keadaan tidak bertenaga, anak-anak ini akan merengek dan merayu untuk berbuka puasa lebih awal. Beri mereka ruang untuk berehat ataupun menonton televisyen bagi melekakan mereka seketika. Pesan juga kepada anak-anak,ketika berbuka puasa makanlah dengan tertib. Jangan gelojoh dan makan ikut kemampuan.
7. Jangan skip sahur
Buat permulaan, mungkin ada diantara anak-anak yang akan kembali tidur ataupun merungut apabila dikejutkan untuk bersahur. Maklumkan kepada mereka apa akibatnya jika mereka tidak bersahur. Puasa mereka tidak akan diterima sekiranya tidak disertai dengan niat berpuasa. Bersahur juga merupakan ruang waktu untuk mereka makan bagi membekalkan mereka tenaga sepanjang tempoh berpuasa. Sediakan makanan yang tinggi kandungan karbohidrat bagi memastikan anak-anak ini kekal bertenaga.
8. Puji anak
Sekiranya mereka mampu bertahan dan menyempurnakan puasa sebaiknya. Jangan lokek untuk menghargai usaha anak-anak ini dengan pujian. Ada anak-anak yang walaupun baru berusia enam tahun, sudah mampu berpuasa penuh dalam tempoh sebulan berpuasa.
Nyatakan kepada mereka perasaan bangga anda terhadap usaha mereka. Ingatkan kepada mereka, pentingnya melaksanakan ibadah berpuasa ini sebagai seorang Muslim dan Muslimah. Ada anak-anak yang mengharapkan imbuhan berupa wang raya sebagai saguhati kerana berjaya berpuasa selama 30 hari. Sesekali apa salahnya. Tetapi elakkan menggunakan pendekatan serupa dalam hal lain bagi mengelakkan anak tidak ikhlas melakukannya.
9. Didik mereka ringan tulang
Berpuasa bukan bermakna hanya tidur dan berehat. Sebaiknya didik mereka untuk ringan tulang sejak kecil. Libatkan mereka dengan aktiviti penyediaan memasak. Jika tidak, libatkan mereka ketika sesi menghidangkan makanan. Ajak mereka membantu ibu dan ayah sama-sama menyediakan pinggan, sudu, garfu dan juga cawan sebelum berbuka.
Memang keadaan akan jadi sedikit kusut, tetapi percayalah usaha ini akan membuatkan mereka lebih sabar, teratur dan terbiasa dengan rutin ini. Makanlah bersama-sama dengan dimulakan dengan doa berbuka puasa. Usai makan, ajar anak-anak untuk sama-sama membersihkan meja makan. Jangan jadikan alasan mereka kecil lagi, kerana sejak dari kecillah mereka perlu dididik sebaiknya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
‘Bahasa hanyalah alat perantara.’ Jangan remehkan usaha mak ayah ajar yang anak mereka bahasa Inggeris. Itu usaha mereka untuk menjadikan anak-anak berkebolehan mempelajari Bahasa lain.
Tidak menjadi kesalahan jika maknya tidak pandai berbahasa Inggeris tetapi ingin anaknya belajar Bahasa Inggeris dengan baik. Jadi jangan dicaci dan diperli usaha orang lain.
Ikuti perkongsian Azizul Zairi ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Bahasa Hanyalah Alat Perantara
Ibu bapa salah sebab cuba ajar anak bahasa inggeris?
Bahasa hanyalah alat perantara. Merupakan ‘tools’ penterjemahan sesuatu mesej. Bukan pengukur intelek seseorang itu cerdik atau kurang pandai.
Bukan bermaksud kita tolak terus bahasa ibunda kita. Saya akui, Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.
Masalah utama masyarakat kita mengenakan syarat yang ketat untuk orang menggunakan Bahasa Inggeris. Ramai nak jadi ‘Nazi Grammar’.
Sebutan dan grammar mestilah betul dan tepat.
Lihat sahaja hari ini orang kita yang telah belajar Bahasa Inggeris selama lebih 10 tahun di sekolah langsung tapi tidak boleh berbahasa Inggeris. Bukan kerana tak boleh tetapi kerana ketakutan salah cakap. Malah takut disindir terlebih ‘Mat Salleh’.
Usaha Mak Ayah
Berbalik isu asal, salahkah cuba berbahasa selain bahasa Melayu? Hanya kerana jati diri kita kuat sebagai Melayu.
Kemahiran berbahasa itu satu perkara lain. Kerja swasta mahupun kerajaan tetap akan berhadapan situasi untuk menggunakan bahasa selain bahasa Melayu.
Saya sendiri suka belajar banyak bahasa. Walaupun cuma pandai sepatah-sepatah. Jumpa pekerja dari Nepal, Myamnar, Vietnam, kena belajar sikit-sikit bahasa mereka kot mereka tengah membahan kita, dapatlah kita counter balik.
Waktu kerja pun sama, selalu deal dengan supplier, customer, ataupun delegasi dari luar negara tetap kita gunakan bahasa Inggeris.
Kalau kerja kilang lagi biasa, kadang-kadang bos dari German hendak datang, supplier machine dari Japan dan macam-macam situasi kena hadap yang mana kemahiran berbahasa selain bahasa Melayu sangat diperlukan.
Tak perlu sampai perfect pronounce atau grammar segala bagai, cukup ada kemahiran komunikasi. Orang cakap guna broken English pun jadilah janji lepas interview. Sebab ada orang jenis ” bad English but good speech “.
Bagus jika ada kemahiran Bahasa Inggeris. Tetapi wajibkah semua daripada kita perlu fluent dalam bahasa ini?
Ada antara kita tiada keperluan pun. Andai kata tak faham pun bukan menjadi dosa mahupun kesalahan. Jika cakap rojak pun bukanlah menjadi cacat.
Bila kita ke negara lain, Bahasa Inggeris mereka berterabur tetapi mereka tetap yakin sebab mereka gunakan Bahasa Inggeris sekadar bahasa bukan alat pengukur intelektual ataupun status.
Saya teringat pengalaman menghadiri sesi interview dengan Bradken Australia, saya cakap berterabur grammar. Salah seorang panel interview tetap puji kemahiran pembentangan saya walaupun saya cuma guna ‘ broken English’.
Kesimpulannya, janganlah remehkan usaha ibu bapa yang cuba ajar anak mereka belajar bahasa Inggeris. Kadang terpaksa sebab jenis hantar anak di taska swasta yang gunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara mereka.
Sekurang-kurangnya mereka cuba mendidik dengan cara mereka.
Nota picisan : Saya dan anak-anak bercakap dan berbual menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di rumah.
Mingguan Wanita : Bercakap bahasa apa sekali pun tidak salah, asalkan anak faham dan menggunakan bahasa dengan betul. Jika anda rasa bercakap bahasa Inggeris itu berlagak dan tak beradab itu salah. Renung-renungkan.
Sakitnya bila terpaksa menanggung emosi perpisahan dengan insan yang pernah isteri sayang. Lagi-lagi bila penceraian paksa rela itu melibatkan gangguan pihak ketiga.
Wahai isteri yang baru memegang status ‘ibu tunggal’, perit macam mana pun hidup perlu diteruskan. Kena bangkit demi anak-anak. Ini 19 tip yang dikongsikan Hazirah Hj Hamzah selamatkan ibu tunggal dari terus bersedih.
“Seperti yang dijanjikan. Bagaimana cara nak move on dan apakah yang perlu kita tuntut dan lakukan selepas penceraian/ once lafaz talaq dilepaskan?”
Ini 19 Cara Bijak Untuk Ibu Tunggal Cepat Move On
1) Menangis. Ini normal untuk mereka yang diuji. Menangislah. Jangan tahan. Lagi bagus menangis waktu solat, waktu berdoa, sepertiga malam. Mengadu merintih sunguh-sungguh padaNYA.
2) Jodoh kita setakat itu sahaja. Positiflah. Mungkin jika kita makin lama dengannya masa hadapan kita akan makin kelam dan gelap. Mungkin juga kita akan menjadi isteri yang derhaka.
3) Bersyukurlah jika belum ada anak. Jadi anak tidak menjadi mangsa penceraian.
4) Bersyukurlah jika punya anak. Anak tidak lagi melihat pergaduhan ibu bapanya ataupun perangai buruk bapanya (jika si bapa yang bermasalah).
5) Terus ke mahkamah untuk melaporkan penceraian yang berlaku di luar mahkamah. Lelaki atau perempuan boleh lapor. Tak kiralah lafaz taklik ataupun lafaz talaq yang jelas. Jika dah rujuk kembali pun sila lapor kepada mahkamah supaya hakim dapat sahkan penceraian dan rujuk itu berlaku ataupun tidak.
6) Jika lafaz itu dalam sms, wasap, surat.. simpan bukti dan bawa ke mahkamah. Jika dilafazkan, tulis di dalam borang bagaimana ayat talaq itu dilafazkan.
Kredit foto : iburose.com
Hak Penjagaan Anak
7) Selepas pengesahan lafaz cerai, terus mohon untuk hak hadhanah (hak penjagaan anak). Ini sangat penting walaupun si bekas suami cakap tak perlu buat. Kita perlu ingat hati dan perangai manusia ini berubah. Sekarang ok. Mana tahu nanti dia berubah mengambil anak sesuka hati.
8 ) Wajib mohon segala nafkah yang berhak. Nafkah eddah, nafkah mutaah, nafkah tertunggak dan paling penting adalah nafkah anak ( jika ada anak). Untuk bekas suami yang kakitangan kerajaan, anda mohon supaya mahkamah potong gaji bulanan si bapa. Jangan deal untuk dia bayar sendiri. Selalunya dia tak bayar ataupun bayar tak ikut perintah mahkamah.
9) Simpan segala bukti resit dan apa sahaja yang membuktikan bahawa anda yang menangung nafkah keluarga. Nafkah anak dan nafkah diri sendiri. Ini sangat berguna jika nak tuntut nafkah tertunggak ataupun jika belum bercerai dan si suami mahu poligami.. boleh dibawa ke mahkamah.
10) Jika ada berlaku kekasaran fizikal, sila ke hospital untuk check up, ambil laporan, dan buat laporan di balai polis. simpan semua ini sebagai bukti jika bukti diperluka atas apa-apa urusan mahkamah.
Bekas Isteri Berhak Tuntut Hak Harta Sepencarian
11) Rumah atas nama suami ataupun isteri. Bekas isteri berhak tuntut hak harta sepencarian. Pergi ke pejabat tanah dan mohon untuk buat kaveat. Jadi si suami/ bekas suami tak boleh jual rumah itu sesuka hati sebab isteri ada hak atas rumah itu. Tuntutan kaveat ini boleh dibuat semasa masih suami isteri ataupun baru bercerai.
12) Jika buat perniagaan bersama dan akaun bersama, cepat-cepat separate kan bila nampak si suami dah lain macam ataupun bila dah berlaku lafaz cerai. Jangan tanya saya bagaimana nak separate. Saya tak tahu.
13) Kebanyakkan wanita bukan bersedih kerana berlaku penceraian. Mungkin juga gembira kerana dah terlepas dari sengsara. Tapi sebenarnya wanita bersedih kerana tak tahu bagaimana nak menghadapi masyarakat.
Malu berhadapan dengan keluarga dan masyarakat. Status janda yang di anggap hina oleh orang Melayu. Tuntut hak pun di kata perempuan mata duitan. Tak tuntut hak pula dikatakan bodoh. Jadi tuntut je hak. Abaikan mulut bawang. Tak berdosa menuntut hak nafkah yang diabaikan.
14) Jika anda bekerja, jangan berhenti kerja kerana sedih bercerai. Teruskan kerja. Berhenti bila dah dapat kerja baru. Jangan jadi wanita lemah!. Siapa lagi nak tanggung hidup anda jika bukan diri sendiri?.
Kena Siap Jadi Wanita Kental Jiwa
15) Bersedia untuk jadi wanita setabah mungkin dengan segala mulut makcik bawang.
16) Sebaiknya dalam tempoh eddah, anda sorokkan dulu status perkahwinan. Kerana tempoh itu boleh rujuk kembali. Selepas tamat eddah, bergantung kepada diri anda untuk sorokkan atau inform saudara, rakan akan status anda.
17) Bila orang dah tak sayang kita, kita sayanglah diri sendiri. Kita buatlah apa yang kita suka. Kejarlah kembali cita-cita dahulu yang tertangguh.
18) Jauhkan diri anda dari orang yang suka judge dan lable anda. Nanti lagi bertambah stress.
19) Akhir sekali, Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang ia nampak buruk bagi kita. Tapi sangat baik di sisi-NYA. Yakinlah akan ada bahagia yang menanti untuk anda walaupun masih samar-samar.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...