Air Mata Isteri, Teguran Buat Suami

Share

Benarkah wanita dan air mata umpama tak dapat dipisahkan? Dengan menangis dapat membantu meredakan ledakan emosi yang hadir dalam diri. Murahkah air mata wanita? Apakah tangisan mereka itu bukti mereka lemah?

Ikuti kupasan yang dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam, yang juga kolumnis ruangan Keluarga Sakinah di dalam majalah Mingguan Wanita.

Rahsia Air Mata Isteri

Berapa kerapkah anda menangis dalam seminggu? Seorang wanita pernah menangis ketika solat berjemaah di masjid. Kawan di sebelah terus memeluknya dan berkata; sabarlah, suami ada wanita lain ke? Padahal wanita yang menangis itu baru saja tersentuh hati mendengar bacaan ayat Al-Quran imam yang menusuk jiwa.

Alamak, teruk sangat sangka buruk manusia bila tengok orang menangis. Atas sebab itu dia pun takut nak tunjuk sedih dan khusyuk sebab nanti orang akan salah anggap melihat air mata yang mengalir.

Sebagai seorang suami, memanglah risau melihat isteri asyik bergenang air mata. Tentu suami akan bertanya-tanya apa dosa aku? Lainlah jika suami anda jenis yang tak kisah pun walau anda dah meraung minta belas kasihan.

Bukan semua tangisan bermakna kekecewaan, mungkin ia satu cara menunjukkan keinsafan atau boleh jadi terlalu bahagia sampai tak terkata. Salahkah bila kita menangis, tangisan apa yang membawa bahana dalam rumah tangga ataupun justeru membawa rahmat bagi keluarga?

 

Petanda Hati Yang Hidup

Wanita memerlukan tangisan sebagaimana dia suka pada gurauan kerana dengan air mata, dia cuba menginsafi diri dan dengan ketawa dia menunjukkan kesyukuran. Tangisan merupakan pembersih hati dan ketawa itu penyegarnya.

Jangan sesekali lupa untuk menangis di saat-saat kebahagiaan melimpah ruah memenuhi kehidupan. Malangnya tangisan yang keluar dari mata boleh dihitung dengan jari berapa kerapnya. Ramai yang tidak risau dan berasa aman dari amaran azab walaupun hidup bermaksiat.

Apatah lagi yang merasa dirinya sudah suci dan hebat amalnya, sedangkan kesombongannya itu mempengaruhi keikhlasannya. Belum pasti lagi apakah amalnya diterima tapi sombongnya mengalahkan langit yang mengandung guruh! Ramai yang lupa bagaimana caranya menangis kerana hati dipenuhi sangka buruk kepada manusia.

Mata Isteri Redup, Hatinya Sarat Tangisan

Isteri yang membawa rahmat kepada keluarga suka menyendiri menghitung kelemahan dan dosa, tidak disibukkan dengan aib jiran dan kawan-kawan apatah lagi menaruh benci dan amarah terhadap suami dan darah daging sendiri.

Walaupun matanya redup tetapi hatinya menangis apabila mengenangkan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu, menjadi seorang pekerja dan anak yang belum sempat berbakti, mengenangkan dirinya kurang rasa takut kepada Allah SWT.

Isteri yang suka menangis bukan menunjukkan dia lemah dan tak bersemangat mengembang amanah bahkan lebih kuat kerjanya setelah faham erti rasa menderita. Bahaya jika kita jarang menangis, ia satu petanda kita susah menginsafi diri.

Syurga Atau Neraka

Air mata itu membawa rahmat kerana ramai manusia lupa, syurga neraka itu bergantung pada air mata yang ditumpahkan ketika di dunia.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Dua mata yang tidak akan disentuh apai neraka, mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan air mata yang berjaga-jaga di malam hari kerana menjaga pertahanan kaum muslimin fisabilillah.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi).

Air yang boleh memadamkan api neraka adalah air mata kita, bersyukurkah orang yang hatinya lembut dan takut kepada Allah. Tidak mudah mendapatkan hati sebegitu, kadang-kadang ia perlukan musibah supaya hati menjadi lunak mengingati Allah.

Sengaja Allah kirimkan ujian dengan pelbagai cara supaya kita kembali ke pangkal jalan dengan niat yang ikhlas. Boleh jadi awalnya ikhlas tapi di pertengahan jalan syaitan berjaya merosakkan niat kita.

Oleh itu manusia perlukan musibah supaya hati kembali ingat kepada Allah. Kita perlukan air mata takut kepada Allah bukan air mata buaya yang hanya ditumpahkan sia-sia, matanya bertaubat tapi perbuatannya tidak! Ramai orang munafik menggunakan air mata untuk kepentingan peribadi, hanya Allah Yang Maha Mengetahui rahsia hati.

Zikir Mata

Manusia perlukan ketenangan atau sakinah dalam jiwa, tak semestinya ia muncul dengan ketawa dan gurau senda bahkan air mata itu lebih ampuh melahirkan jiwa muthmainnah. Isteri yang jarang menangis menunjukkan hatinya bermasalah kerana tangisan itu keperluan bagi seorang insan yang dekat dengan Tuhan.

Ia seperti tasbih yang dilantunkan segala makhluk yang bernyawa, tangisan kita adalah cara kita bertasbih mengingati Allah. Kerana tangisan itu zikir bagi mata!

Tangisan yang dimaksudkan bukanlah tangisan kerana marah, cemburu dan benci atau kehilangan orang tersayang, bukan pula kerana terlepas rezeki yang dikejar.

Ketahuilah tangisan isteri solehah itu tidak bersyarat, dia menangisi diri ketika susah dan senang, tak kira musibah datang atau kenikmatan turun ke riba, dia tetap menangis pada sujud-sujudnya, pada lafaz doa yang tak pernah jemu dibisikkan, di akhir malam yang menyingkap tirai pagi dan di setiap lembaran ayat-ayat suci yang dibaca.

Dan tangisan bagi seorang isteri solehah membawa harapan baru semoga Allah terima amal ibadahnya dan ampunkan dosa-dosanya. Tangisan itu menjadi senjata dalam jihadnya di rumah!

Wahai suami, tangisan isteri bukan petanda kelemahan anda tapi satu teguran yang mengandungi soalan, apakah aku mampu menangis bersamanya kerana Allah?

 

Published by
Nurul Azwa