Ternyata perpisahan cukup menyakitkan. Kehilangan anakanda tercinta secara tiba-tiba adalah dugaan terbesar dalam hidup ibu ini. Bayangkan selama ini kasih sayang tidak pernah berbelah bahagi dicurahkan kepada sang anak.
Namun kini, kematian memisahkan terus Nor Fairuz Sarjit Abdullah, 55, dengan anaknya. Biar pun perit ibu ini redha dengan takdir Allah dan sedar buah hatinya, Nur Ain Atikah Ahmad Junaidi, 28, sudah tiada lagi.
Bukan mudah sebagai ibu untuk mengiyakan takdir Allah. Biar pun berkali-kali memujuk diri bahawa anak hanyalah pinjaman buat sementara dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa. Tetapi hatinya tetap sayu. Pemergian anaknya secara tiba-tiba amat meruntun hatinya sebagai seorang ibu.
Apatah lagi Nur Ain Atikah atau mesra dipanggil Ain tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum pemergiannya. Malahan ketika dia pergi, mereka sekeluarga sedang bergembira dengan berita kehamilan Ain. Sudah tentu sebagai ibu, apabila anak sulungnya mengandung, Nor Fairuz menjadi orang paling teruja.
Ain dan suaminya, Azmel Haji Mohd Zain,30, berkahwin pada 1 Disember tahun lalu. Menurut Nor Fairuz, Ain iaitu anaknya amat menantikan kehadiran cahaya mata. Setelah berkahwin, Ain yang dahulunya seorang jururawat mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengikut suaminya berpindah ke Masai mengikut suaminya bertugas di sana.
Setelah lapan bulan menanti, akhirnya tiba jua berita gembira apabila Ain disahkan hamil lapan minggu pada Ogos yang lalu. Sudah tentu dia sangat terharu dan kami sekeluarga amat gembira dan sering kali bertanya khabar biar pun berjauhan.
“Dia memang seronok ketika beritahu yang dia sudah mengandung sebab dia memang nak cepat dapat anak. Dalam masa yang sama dia dapat tawaran kerja di klinik, saya nasihatkan dia untuk tangguhkan dulu kerana masih baru mengandung.
“Dia akur dengan cakap saya dan katanya mungkin bila kandungan dah cukup empat bulan baru dia start kerja. Masa mula-mula dia buat ujian kehamilan di rumah sahaja dan saya minta dia ke klinik untuk sahkan. Dia pergi ke tiga klinik untuk scan dan doktor cakap kandungan tiada masalah.
“Ain pun teruskan kehidupan macam biasa. Ada kala saya ada call dia, kalau tak sempat saya akan Whatapps dia. Setiap hari kami akan bertanya khabar. Ain memang anak yang baik, dia jenis yang tidak banyak merungut. Sekali pun dia tidak pernah melawan cakap saya dan abahnya,” ungkap Nor Fairuz mulai sebak mengenangkan anak sulungnya yang pergi dijemput Ilahi pada 4 Oktober yang lalu.
Jelas di ingatan Nor Fairuz, ketika hari kejadian dirinya yang mulai sibuk menyiapkan tempahan biskut sempena sambutan Hari Deepavali dipagut rasa resah yang tidak berpenghujung.
Naluri keibuannya diserang rasa kurang enak dan hatinya jadi gelisah tidak tentu arah. Ditinggalkan adunan biskut, lalu Nor Fairuz mula menghubungi anaknya Ain. Tidak berjawab.
Lalu dia tinggalkan pesanan di group Whatapps keluarga, masih tiada respon daripada Ain. Resah ibu ini akhirnya terluah tatkala menyantap menu tengahari.
Diluahkan pada suami bahawa anaknya tidak menjawab panggilan dan membalas Whatapps. Dalam masa yang sama dia cuba menghubungi anaknya dan akhirnya panggilannya di jawab orang tidak dikenali yang mengakui dia jiran kepada Ain.
Kala itu seperti ada batu besar menghempap kepalanya apabila jiran anaknya beritahu yang Ain tidak sedarkan diri dan Ain akan dibawa ke klinik. Keadaan yang kritikal membuatkan Ain dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
“Saya cuba hubungi Azmel, (menantu) untuk ketahui perkembangan Ain tetapi dia pun tidak tahu kerana dia tidak dibenarkan masuk. Ain ditahan di zon merah kerana keadaannya kritikal. Saya jadi tidak tentu arah dan akhirnya ambil keputusan untuk hubungi hospital terus.
“Saya meraung dan hampir rebah apabila saya hubungi hospital dan mereka beritahu anak saya telah meninggal dunia. Rasa dunia saya gelap serta-merta. Suami pula tiada ketika itu, keluar ambil anak balik dari kerja. Saya seorang di rumah, saya menangis dan meraung sekuat hati. Tidak sangka begitu teruk keadaan anak saya dan dia pergi sekelip mata,” ujar Nor Fairuz yang masih terasa kehilangan Ain.
Ain pergi di hari jumaat yang mulia dan dia pergi bersama bayi yang dikandungnya. Tatkala menatap wajahnya di bilik mayat HSI, wajah Ain kelihatan tenang dan tersenyum. Matanya juga sedikit terbuka seolah-olah menanti kehadiran ibunya dan keluarga.
Jelas Nor Fairuz, jenazah Ain akhirnya dikebumikan di Banting setelah berbincang dengan ahli keluarga dan menantunya, Azmel. Walaupun pada mulanya Nor Fairuz tidak mahu allahyarhamah anaknya melalui proses “post mortem”, tetapi bagi merungkai punca sebenar kematian, doktor sarankan agar Ain menjalani.
Hasil bedah siasat, Ain rupanya mengandung luar rahim dan kandungannya yang pecah telah meragut nyawanya. Disebabkan Ain pengsan, jadi tidak berlaku tumpah darah.
Rupa-rupanya pada hari kejadian, Ain masih keadaan sihat dan jalani rutin seperti biasa. Seawal pagi menyiapkan sarapan buat suaminya, kemudian setelah selesai tugas-tugas di dapur dia meminta izin suaminya untuk mandi. Ketika mandi, dia muntah-muntah. Dia mula rasa tidak selesa dan mual setelah dua kali muntahkan segala isi perut.
Setelah diurut, Ain tertidur dan menjelang tengahari apabila dia bangun dia mula mengadu sesak nafas. Melihat keadaan isteri yang tidak keruan, Azmel ambil keputusan untuk membawa isterinya ke klinik. Belum sempat ke kereta, Ain jatuh pengsan. Kemudiannya dengan bantuan jiran, Azmel membawa isterinya ke hospital. Siapa sangka, saat itu Ain tengah bertarung nyawa.
Tambah Nor Fairuz, kali terakhir dia berjumpa dengan Ain adalah pada bulan Ogos yang lalu ketika cuti Hari Merdeka. Dia berdua bersama anak bongsunya menziarahi Ain di Johor. Saat itu Ain belum mengetahui yang dirinya mengandung. Ain sekadar berbahasa-basi yang dia sudah lapan hari lewat datang bulan.
“Kebetulan anak bongsu saya ingin ke Johor Bahru untuk jumpa kawan-kawan dia, jadi saya ikut sekali. Ketika itu Ain tidak banyak bercakap dan memang perangai dia begitu. Jadi saya tidak pelik dengan situasi itu.
“Ketika di sana, dia minta saya buatkan biskut Makmur untuknya katanya dia teringin. Jadi saya ajak dia buat sama-sama dan dapatlah dia makan biskut Makmur. Sebelum balik ke sini, dia salam dan peluk saya. Kemudian dia menangis. Saya pelik sebab sebelum ini dia tak pernah menangis.
“Dia katakan dia sedih saya dah nak balik dan tinggalkan dia. Terus saya tanya dia, dia ada masalah atau tak gembira ke. Dia kata dia baik-baik sahaja dan sedih bila tengok saya nak tinggalkan dia. Saya pujuk dan tak nak dia sedih-sedih,” rupa-rupanya itulah kali terakhir pertemuan Nor Fairuz dan anaknya.
Tenyata belajar untuk menerima kenyataan dan redha dengan takdir Allah bukan sesuatu yang mudah buat Nor Fairuz. Setiap kali terkenangkan kenangan bersama Ain, pasti air matanya berjuraian. Biar pun berkali-kali mencuba menghapus kesedihan, berjuta-juta kali perasaan hiba itu hadir.
Bacaan surah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas sentiasa menjadi peneman Nor Fairuz setiap kali memori bersama Ain menggamit memorinya. Setiap hari, ibu ini juga sentiasa berdoa pada Allah agar kurniakan kesabaran, keikhlasan dan ketenangan dalam menerima kehilangan penghuni pertama rahimnya.
“Setiap kali sedih, saya pujuk hati bahawa anak adalah pinjaman Allah. Terima atau tidak saya perlu redha. Tetapi sebagai manusia biasa, hati saya sentiasa berbolak balik. Setiap kali hiba, anak bongsu saya akan memujuk, suami saya banyak menyokong saya. Kita sebagai perempuan mudah, bila sedih terus menangis.
“Saya tak tahu bagaimana perasaan sebenar suami dan menantu saya, mereka cuba sembunyikan perasaan sedih. Saya harap kami sekeluarga dapat terima ketiadaan Ain selepas ini. Saya juga berharap berjumpa seorang ustazah atau ustaz yang dapat menunjuk jalan terbaik untuk saya lupakan rasa sedih ini,” ujarnya yang masih kematian hiba dengan anaknya, Nur Ain Atikah.