Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah mencemar duli menuruni kenderaan rasmi bertanyakan mangsa kemalangan yang berlaku di jalan susur dari pintu utama Istana Negara ke Jalan Tuanku Abdul Halim.
Dalam video yang dikongsikan instagram Istana Negara kelihatan baginda meninjau keadaan kemalangan. Bertanyakan situasi dengan pemandu wanita terbabit.
Ketika itu, baginda dalam perjalanan ke Program Pameran Raja Kita di Muzium Diraja. Selesai meninjau langsung baginda meneruskan perjalanan ke Muzium Diraja untuk merasmikan Pameran Raja Kita.
Dalam video yang disertakan itu juga mendapat komen positif daripada kalangan netizen. Malah ada yang menyedari ketika berbual dengan mangsa kemalangan itu, di tangan kiri baginda sedang memegang tasbih.
Komen ilmu_penyuluh_hidup, “Allah hu tuanku pegang tasbih. Segan pulak. Kita bagaimana
.”
Ya.. ini bukan kali pertama baginda bertindak menuruni kenderaan rasmi untuk membantu mangsa kemalangan jalan raya. Sebelum ini portal Berita Harian, pernah melaporkan baginda turun dari kenderaan rasminya untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan di lorong kiri susur Persiaran Barat/Lebuh Sentosa.
Bantuan terdahulu yang juga viral di media sosial memperlihatkan baginda yang berpakaian sut hitam bertanyakan sesuatu kepada pemandu kereta jenis Perodua Alza, Jasliza Jamil, 38 yang dilihat tidak mengalami kecederaan serius namun masih dalam keadaan terkejut.
Ketika itu baginda dalam perjalanan untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Kabinet dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati.
MW : Inilah raja berjiwa rakyat. Semoga tuanku dalam lindungan dan rahmat Allah selalu. Daulat tuanku!
Sumber/Foto : Istana Negara, Berita Harian