Adil Dalam Poligami, Bukan Sama Rata Tapi Munasabah Berdasarkan Situasi Ikut Syariat

Share

Adil tak semudah dilafazkan. Poligami adalah isu yang sentiasa panas dan menarik perhatian. Ramai lelaki akan suka dan kebanyakan wanita akan bermasam muka. Suka atau masam muka, amanah besar untuk suami yang berpoligami adalah berlaku adil.

Kena Yakin Adil Sebelum Poligami

Adil dalam poligami adalah KETETAPAN dan KEWAJIPAN, BUKAN PILIHAN ATAU PERCUBAAN. Kemampuan untuk berlaku adil perlu diyakini oleh si lelaki sebelum berkahwin lagi dengan bakal isteri kedua atau ketiga atau keempat.

Si wanita yang bakal masuk ke dalam rumah tangga seorang lelaki yang telah beristeri juga perlu yakin dengan kemampuan bakal suaminya. Kemampuan berlaku adil inilah yang terkandung dalam syarat kelayakan berpoligami yang ada dalam peruntukan undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia.

Tak Layak Poligami Jika Tak Mampu Adil

Isu besar hari ini ialah banyak kes poligami yang tidak melalui penapisan kelayakan yang ditetapkan oleh undang-undang ini lantaran perkahwinan berlaku tanpa kebenaran undang-undang sama ada berkahwin di sempadan atau nikah sindiket.

Biar tidak ditapis, kewajipan berlaku adil adalah perlu dan jika ketidakadilan berlaku, para isteri yang terlibat mempunyai hak untuk mengadu ke Mahkamah Syariah dan si suami boleh dikenakan denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Foto: 123rf

Adil Itu Munasabah

Adil yang dikehendaki dalam perkahwinan poligami bukan bermaksud sama rata atau sama banyak sebaliknya adalah sesuai dan munasabah kepada situasi berdasarkan syariat, bukan emosi, bukan juga pendapat masyarakat.

Adil yang dituntut agar dilaksanakan oleh para suami yang berpoligami adalah memadai tidak ada seorang pun daripada isteri-isterinya yang berasa diPINGGIRKAN.

Isteri Rasa Terpinggir Emosi

Mmenepati maksud ayat 129 surah an-Nisa’: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri- isterimu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkapai-kapai. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Rasa dipinggirkan pula bukan berasaskan emosi wanita sahaja sebaliknya pelaksanaan tanggungjawab khususnya NAFKAH dan GILIRAN. Pembiayaan nafkah adalah tertakluk kepada keperluan dan kemampuan suami.

Lagi artikel menarik di sini:

Suami Minta Izin Kahwin Lain, Isteri Tolak Diri Dimadukan!

Dimadukan Suami Dengan Bibik, Puncanya Isteri Tak Cakna Rumah Tangga Sebab Sibuk!

Ikuti kami di sini:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Tak Wajar Persoalkan

Buat wanita dengan status isteri kedua atau ketiga atau keempat yang telah maklum dengan situasi kewangan suami sejak sebelum berkahwin lagi, anda tidak wajar mempersoalkan ketidakmampuan suami membiayai segala keperluan anda.

Kenapa tidak wajar? Kerana anda telah membuat pilihan untuk tetap menerima lelaki yang tidak mampu dalam kewangan sebagai suami anda. Namun, anda tetap BERHAK MENUNTUT bahagian yang sesuai dengan kemampuan suami. PASTIKAN TUNTUT biar sekadar seringgit! Agar suami sedar beban tanggungjawab yang sedang dipikul hasil keputusannya menikahi anda.

Terus Berusaha

Buat si suami, anda tetap perlu berusaha memberikan perbelanjaan yang sesuai dengan kemampuan anda biarpun sikit kerana tatkala anda berani menerima qabul dari akad untuk mengahwini seorang wanita bererti anda juga perlu berani untuk berusaha menjaga kebajikan wanita tersebut termasuk membiayai keperluannya.

Pastikan anda terus berusaha dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan rezeki dan pembiayaan – tanpa menganiayai diri sendiri seperti tidak cukup rehat hingga menjejaskan kesihatan – dengan niat untuk ikhtiar melaksanakan tanggungjawab anda terutama apabila perkahwinan dikurniakan cahayamata. Anak atau anak-anak ini adalah tanggungjawab anda sepenuhnya sebagai seorang bapa!

Sistem Giliran

Berkaitan giliran – bukan bermaksud perlu selang sehari atau ditetapkan setiap dua hari atau ditentukan perlu genap 24 jam tanpa kurang seminit atau sesaat. Giliran perlulah sesuai dan munasabah termasuk mengambil kira rutin harian suami dan perkahwinan yang sedia ada. Giliran bukan sahaja hak isteri-isteri tetapi hak anak-anak.

Paling penting GILIRAN BUKAN SEKADAR BALIK KE RUMAH tetapi tidak dipedulilan. Giliran mestilah BERLAKU LUANG MASA DAN WUJUD KOMUNIKASI POSITIF ANTARA SUAMI, ISTERI dan ANAK/ANAK-ANAK, jika ada.

Jangan Lupa Berkomunikasi

Sebagai contoh, suami dan isteri pertama menetap di Kuala Lumpur dan isteri kedua pula menetap di Alor Setar – tidak adil jika suami perlu ulang alik saban hari atau setiap hujung minggu. Luang masa waktu rehat hujung minggu tetap perlu mengambil kira hak isteri dan anak-anak yang sedia ada.

Dalam kes dinyatakan, giliran yang adil ialah si suami MASIH BERKOMUNIKASI dengan isteri kedua PADA HARI-HARI BIASA – BERTANYA KHABAR, MENGAMBIL BERAT DAN MEMBERIKAN PERHATIAN SEWAJARNYA tanpa mengabaikan isteri sedia ada dan balik ke rumah isteri kedua selang hujung minggu.

Giliran juga berkait dengan cuti raya, cuti sekolah atau percutian keluarga. Jika isu nafkah dan giliran ini ditangani sebaiknya, keadilan akan wujud dalam poligami!

 

 

Published by
Nurul Azwa