Setiap orang tidak pernah tahu apakah ada rezeki yang akan menantinya untuk hari itu. Banyakkah atau sedikit, tetapi janganlah pernah membataskan diri untuk membantu orang lain yang dalam keadaan terdesak.
Kerana, kita tidak tahu siapa sangka dengan bantuan itu akan memudahkan urusan mereka untuk membantu orang lain pula. Perkongsian kisah Puan Zuryati Isa ini benar-benar menjentik rasa.
Betapa setiap orang itu diuji dengan kejadian yang tidak disangka-sangka yang benar-benar berlaku depan mata.
Pagi itu, saya ke bank. Ada dua urusan.
Ketika sedang beratur, lelaki di mesin CDM sebelah saya nampak resah. Beberapa kali saya dengar suara dia mengeluh.
“Miss, ada RM10.00 tak? Tukar dengan saya,” katanya kepada seorang wanita yang sedang beratur di belakangnya.
“Sorry, Sir. Tak ada,” jawab wanita itu.
Saya keluarkan RM10.00 daripada dompet dan menyerahkannya kepada lelaki itu.
“Cuba duit saya.”
Lelaki itu senyum menyambut dan terus memasukkannya ke dalam mesin. Tak boleh juga. Dicuba lagi beberapa kali, tetap tak boleh.
Wanita di belakangnya tadi dah mula mencuka. Macam-macam bunyi keluhan terdengar, menambahkan lagi kalut lelaki tadi. Mesin-mesin lain di situ semuanya Out Of Service.
Lelaki itu pun keluar daripada barisan dan membuat panggilan. Suaranya agak kuat. Kami semua yang ada di situ mendengar jelas setiap butir perbualannya.
“Hello! Adik, abang minta maaf. Abang tak dapat masukkan duit. Mesin rosak. Adik nak guna urgent ke? Pinjam duit kawan dulu, boleh? Itu je duit abang ada. Hmm… Ok. Ok. Abang usahakan. Nanti abang call balik.”
Selesai urusan pertama, automatik, saya menghampirinya dan mulut saya bertanya. “Ada masalah ke, bang
?”Dia senyum lemah. “Adik nak guna duit. Saya ada RM10.00 je. Tak boleh masuk pula tu. Kesian adik…” Dia termenung sekejap.
Saya keluarkan sekeping duit dengan amaun lebih besar sikit dari tadi. “Agaknya mesin tu tak boleh terima RM10.00 kot. Nah, cuba duit ni.” Dia nampak tergamam.
Wanita di mesin tadi sudah selesai urusan. Mukanya dah tak mencuka dan turut menyertai kami.
“Sorry, I nak cepat sangat tadi. Sorry,” katanya meminta maaf. Sambil menghulurkan sekeping duit lagi. “Nah, cuba masukkan. Sorry again, ya. I got to go.”
Wanita itu terus berlalu. Lelaki itu tambah tergamam. Tak sempat berkata apa. Ada dua keping wang kertas di tangannya sekarang. Tanpa berlengah, dia terus memasukkan duit tadi. Saya pula terus menyambung urusan kedua.
Baca sini : Nak murah rezeki, kena buat perkara ini, tapi ingat rezeki bukanlah duit semata
Saya tersenyum lebar apabila mendengar lelaki itu bercakap di telefon ketika saya sedang melangkah keluar daripada bank.
“Adik, abang dah masukkan duit. RM100.00. Alhamdulillah…”
Saya terus menuju ke kereta. Suami saya sedang menunggu. Daripada dalam kereta, saya melihat lelaki itu sedang tersenyum ke arah saya di dalam bank.
Mungkin hatinya sedang berkata, “Terima kasih.”
Lalu hati saya menjawab, “Sama-sama.”
Mingguan Wanita : Rezeki setiap orang telah tuhan tentukan. Tidak cepat, tidak lambat. Sesuai dengan apa yang diperlukan hambaNya.
Sumber/Foto : Zuriyati Isa, theatmmachine.blogspot (gambar hiasan)