Adab Mandikan Bayi Baru Lahir Dengan Betul, Semaklah & Amalkan Sebelum Anak Terkena Selesema!

Share

Jangan tak tahu, nak mandikan bayi pun ada caranya. Kalau ikutkan, ramai orang terlepas pandang dan ramai yang suka gunakan kapas lembab untuk lap najis bayi tanpa mencuci dengan air.

Itu belum lagi cerita bab sesetengah orang yang main belasah mandikan anak dengan air sejuk!

Tolonglah ibu ayah, apabila memandikan bayi janganlah terus masukkan badan bayi ke dalam tab. Cuci dahulu kemaluan bayi depan dan belakang menggunakan air mengalir supaya bersih. Tujuannya apabila memasukkan bayi dalam tab, air mandian tidak menjadi air najis, yang mana kesan kemaluan bayi yang beristinjak tidak dicuci dengan air. Nak tahu cara mandikan bayi lebih tepat, ikut tip ini…

Cara Dan Adab Memandikan Bayi Baru Lahir

Antara yang mungkin kita semua tidak beri perhatian adalah tatacara memandikan bayi baru lahir iaitu dari usia sehari hingga 40 hari. Dalam tempoh ini, kaedah mandian memainkan peranan penting dalam membentuk aliran darah dan pembentukan tulang yang baik.

1. Waktu Dhuha

Seeloknya mandikan bayi pada waktu Dhuha, kerana pada waktu tersebut fisiologi kitaran darah dan degupan jantung bayi dalam keadaan tenang. Gunakan air yang suam.

2. Siram ikut peringkat

Siraman pertama perlu dimulakan ke atas belakangnya secara perlahan-lahan, kemudian baru disiramkan ke kaki, seterusnya naik ke bahagian punggungnya.

3. Cara gosok dan bahan cucian yang betul

Belaian dan gosokan lembut memainkan peranan penting semasa memandikan bayi. Ini akan membuatkan pengaliran darah bayi lancar dan baik. Siraman disertakan dengan sapuan sabun yang sesuai untuk bayi.

4. Pastikan ikut cara siraman ini

Seterusnya siram dari belakang hingga ke kepala. Siraman di kepala dilakukan secara perlahan, supaya air tidak mengalir masuk ke dalam lubang telinga. Semasa menyiramkan air di belakang kepala ke bahagian hadapan dahi, tangan digunakan untuk menggosok dahi.

5. Patutnya ayah yang buat

Mungkin anda rasa ibulah yang terbaik mandikan anak tetapi sebenarnya eloklah tugas memandikan bayi ini dilakukan golongan ayah. Jangan lupa, sambil memandikan anak, hati kena berzikir Ya Latif, Ya Hadi.

6. Elak siram muka

Pastikan siraman tidak dilakukan pada muka bayi kerana ini boleh melemaskan bayi serta menyebabkan lubang hidungnya lembap seterusnya mudah selesema atau jangkitan kuman.

7. Akhir dengan siraman ke bawah

Siraman yang terakhir, dilakukan ke atas dada seterusnya hingga ke bawah. Tidak digalakkan menyapu sabun pada bahagian hadapan tubuh bayi usia ini kerana risau air dan sabun menyebabkan bahagian pusatnya lembap dan seterusnya melambatkan proses ‘gugur’ tali pusat.

8. Jangan lupa lap!

Selepas selesai mandi, lapkan seluruh badan bayi dengan tuala yang bersih. Cara mengelap dimulakan dari kepala kerana kelewatan mengelap bahagian kepala boleh menyebabkan kepala dan ubun-ubun bayi basah serta membawa masalah paru-paru lemah. Selepas itu, balutkan bayi dengan tuala kering atau selimutkannya sekali lagi dan peluk dia selama 10 minit untuk memanaskan badannya. Apabila dia sudah memakai baju, balutkan dia dalam selimut yang kering dan suam.

Haaa… jangan terlalu ‘confident’ rasa anda dah mampu mandikan anak dengan cara yang betul, seeloknya semak dan amalkan info ini untuk jaga kesihatan anak. Moga bermanfaat buat ibu-ibu muda!

Published by
Nadia