Adab Belanja Mak Ayah Uzur Pergi Umrah, Anak Jangan Lepas Tangan

Share

Jangan macam ini ya wahai anak-anak yang belanja bawa mak ayah uzur tunaikan umrah. Tak boleh lepas tangan, semata harapkan mutawwif jaga mak ayah kalian, atau mak ayah uzur pandai-pandai jaga diri sendiri. Itu namanya tidak bertanggungjawab.

Pesanan ini dikongsikan Ustaz Khairul Anuar Basri. Ada dua perkara penting yang anak perlu lakukan bila mana sudah berniat dan tuhan tunaikan niat itu bawa mak ayah kalian pergi umrah.

Jagalah 2 Perkara Ini Bila Bawa Mak Ayah Uzur Tunai Umrah

Aduhai anak, jagalah 2 perkara penting berkaitan umrah ini :

Pertama : Kalau belanja mak ayah yang dah uzur pergi umrah, janganlah biar diorang pergi tanpa ada anak-anak yang menemani.

Saya jumpa ada anak-anak yang macam ni. Maybe diorang harap mutawwif yang uruskan makan, pakai, mandi, berak, kencing, sakit, pening, tolak wheel chair pergi masjid dan lergi ziarah.

Tak boleh la macam tu. Itu tak baik tu. Tak bertanggungjawab namanya.

Belanja mak ayah pergi umrah tu besar pahala dia. Itu benda terpuji.

Tapi kalau biarkan diorang pergi sendiri, itu memang masalah besar. Kalau jadi apa-apa, siapa yang nak bertanggungajawab? Siapa yang akan dipersalahkan?

Mutawwif atau group leader, dia bukan nak saja mak bapak kita saja. Dia nak kena jaga semua ahli jemaah umrah dalam kumpulah tersebut.

Bayangkan ke semua antara 20 ke 40 orang dalam group tu yang nak dijaga. Kalau dia kena bagi special attention hanya pada mak ayah kita, apa halnya dengan orang lain kalau ada apa-apa masalah berlaku?

Jangan Biar Mak Ayah Bersendirian..

So, anak-anak kena bertanggungjawab. Kalau mak ayah kondisi mereka uzur, maka anak kena ambil tanggungjawab temankan mak ayah ke Tanah Suci. Apatah lagi kalau terlampau uzur, maka lebih lagilah tanggungjawab itu.

Kalau ayah uzur, sebaiknya anak lelaki temankan. Dan kalau mak uzur, sebaiknya anak perempuan yang temankan.

Kalau mak mentua yang uzur, sebaiknya anak perempuan atau menantu perempuannya yang temankan. Dan kalau bapak mertua yang uzur, sebaiknya anak lelaki atau menantu lelakinya yang temankan.

Jangan biarkan mak ayah kita bersendirian.

Orang lain pasti akan menolong. Tapi sejauh mana keikhlasan mereka? Setakat mana mereka mampu menolong, sedangkan mereka datang ke Mekah dan Madinah untuk fokus pada ibadah?

Baca Sini : Lelaki ini terang panduan umrah mudah untuk jemaah kali pertama

Kedua : Kalau anak ikut sekali mak ayah yang dah uzur pergi umrah, jangan sesekali tinggalkan mereka bersendirian ke mana sahaja.

Saya pernah jumpa anak yang jenis macam ni. Bukan main lagi belanja mak ayah pergi umrah. Bukan main lagi datang sekali dengan mak ayah macam nak teman dan jaga mereka, tapi akhirnya hampeh belaka.

Mak ayah ditinggal terkontang-kanting mengharapkan belas ehsan orang lain untuk ditolong.

Tolong teman pergi masjid. Anak tolonglah tolak kerusi rida buat tawaf sunat. Tolong bawak pergi tandas masjid. Semua anak orang lain yang tolong buatkan.

Anak sendiri pergi mana?

Anak sendiri hanyut dengan pasangan masing-masing. Kalau anak yang bujang pun hanyut juga entah ke mana.

Sudahlah Tak Endahkan, Lagi Mak Ayah Dimarah-marah

Lebih teruk lagi, bukan mak ayah tak diendahkan, dimarah-marah pula. Ditinggikan suara, ditengking-tengking orang tua tu.

Menyusahkan katanya!

Anak jenis apa ni? Nak belanja mak ayah pergi umrah, nak bawak mereka sama-sama dengan kita, jagalah mereka betul-betul.

Silap-silap, kita jaga saja makan pakai dan ibadah mereka sepanjang tempoh di Tanah Suci, kita tak buat apa-apa ibadah khusus yang lain pun.

Pahala yang kita dapat sangat besar.

Malah pahala memuliakan orang tua dapat. Pahala mak ayah buat ibadah juga kita dapat sebab kita yang tolong mereka untuk sempurnakan.

So, jangan ambil ringan. Ambil juga perhatian yang sewajarnya.

Semoga amal ibadah sepanjang berada di Mekah dan Madinah nanti diberi ganjaran pahala yang sempurna asbab kita berbakti kepada kedua-dua orang tua kita.

MW : Macam mana sukar pun nak uruskan mak ayah uzur, ingatlah waktu kita kecil, ragam ‘tantrum’ kita mak ayah hadap dengan sabar.

Sumber/Foto : Khairul Anuar Basri
– ibu bapa adalah keutamaan, tidak layak berkata tidak kepada mereka –

Published by
NETTY AH HIYER