Apa nak masak hari ni ye? Jengok ke dalam peti ais, stok sotong masih ada. Selalunya masak resepi sotong celup tepung, sotong goreng kunyit je…apa kata kali ini cuba resipi sotong sumbat pulut Kuah Percik dan ketupat sotong ala Kelantan?
Anak-anak kecil pun boleh makan, sebab tak pedas pun. Ada orang jadikan lauk untuk dimakan dengan nasi tapi ada juga yang makan macam tu saja, umpama manisan.
Nak cuba? Masak resipi di bawah ni…
Masak Resepi Sotong Sumbat Pulut Kuah Percik
Bahan-bahan:
600-700 gram sotong putih
2 cawan beras pulut | Rendam 1 jam
1 ½ cawan santan kelapa
Garam secukup rasa
Bahan-bahan sos percik:
10 gram bawang putih
30 gram bawang merah
30 gram halia
5 batang serai
5 tangkai cili merah
20 gram kunyit hidup
10 gram lengkuas
2 keping asam gelugur
40 gram gula Melaka
100ml santan
100ml minyak
Garam secukup rasa
Lidi secukupnya
CARA MEMASAK:
- Kukus beras pulut hingga setengah masak, kemudian angkat dan gaulkan bersama santan yang telah dicampur dengan garam dan kukus lagi sekali hingga masak.
- Sumbatkan pulut yang telah siap dimasak ke dalam sotong dan sematkan bahagian hujungnya dengan lidi. Panggang sotong hingga masak. Angkat dan ketepikan.
- Untuk membuat sos; kisar hancur bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, serai cili merah dan lengkuas.
- Panaskan minyak, tumis bahan kisar hancur hingga naik minyak dan naik bau.
- Masukkan asam gelugur, gula melaka,santan masak hingga sos pekat dan perisakan dengan garam.
- Curah sos pekat atas sotong panggang. Sedia dihidangkan.
KETUPAT SOTONG ALA KELANTAN
BAHAN-BAHAN:
1 kg sotong sederhana besar – jika hendak lagi sedap pilih yang bertelur
1 1/2 cawan beras pulut – dibersih dan ditoskan
2 cawan santan pekat
1 cawan air
1 ketul gula Melaka/gula merah
1 sudu teh garam
3-4 helai daun pandan
1/2 sudu teh halba
CARA MEMASAK:
- Mula-mula, bersihkan sotong. Kepala sotong jangan dibuang. Ketepikan.
- Tanak pulut bersama satu cawan air untuk menghasilkan pulut suku masak (Untuk mempercepatkan pulut dalam sotong masak).
- Sumbat pulut yang telah ditanak ke dalam badan sotong, kira-kira 3/4 penuh. Selepas itu sumbat kepala sotong dan sematkan dengan lidi sate agar pulut tidak terkeluar.
- Sotong yang telah siap diisi dengan pulut dimasukkan ke dalam periuk yang telah dialas dengan daun pandan. Kemudian masukkan santan, gula Melaka, halba dan garam secukup rasa.
- Masak dengan api sederhana dan sentiasa dikacau supaya santan tidak berketul. Masaklah sehingga santan agak pekat.
- Sedia dihidangkan.
Rupanya sotong goreng kunyit kena masak tanpa minyak, api besar, barulah tak kecut, kekal pejal bulat.
Resipi: Terima kasih majalah RASA