Ada Sesuatu Tak Kena, Anak Selalu Mengantuk, Rupanya Pengasuh Bagi Ubat Tidur

Share

Seorang ibu pasti dapat menghidu sesuatu yang berbeza pada anaknya walaupun tidak mampu menjaga anaknya sendiri kerana bekerja. Begitulah seperti apa yang berlaku kepada ibu-ibu bayi yang telah diracun ini.

Ibu kepada dua bayi ini perasan ada sesuatu yang tak kena bila anak selalu mengantuk bila diambil, rupanya pengasuh bagi ubat tidur apabila diperiksa.

Rupanya Pengasuh Bagi Ubat Tidur

Seorang pengasuh bayi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun di Singapura kerana meracun dua bayi dalam jagaannya empat tahun lalu dengan pelbagai ubat-ubatan.

Sa’adiah Jamari, 39, berkata bahawa dia tidak melakukan kesalahan itu terhadap bayi-bayi tersebut – berusia lima dan 11 bulan ketika itu – dan akan mengemukakan rayuan.

Ada Sesuatu Tak Kena, Anak Selalu Mengantuk

Para ibu kepada kedua-dua anak itu, yang tidak ada kaitan persaudaraan, mengupah jururawat berdaftar Sa’adiah pada lewat 2016. Mereka menyedari anak-anak mereka mengantuk dan ada sesuatu tidak kena selepas mengambil mereka pulang.

Kedua-dua anak itu dimasukkan ke hospital dan ubat-ubatan didapati dalam sistem tubuh mereka dan ini membentuk dua tuduhan pemberian racun yang dicabar Sa’adiah.

Pelbagai jenis ubat dikesan termasuk Alprazolam atau Xanax untuk merawat keresahan, ubat penenang dan ubat tidur.

Sebahagian ubat-ubatan itu dijumpai di rumah Sa’adiah dan dua daripadanya diberikan oleh doktor.

Pengasuh Menafikan Pertuduhan

Dalam pembelaannya semasa perbicaraan, Sa’adiah menafikan dia memberikannya kepada bayi-bayi itu dan peguamnya berhujah bahawa nenek kepada mangsa pertama mungkin telah memasukkan sejumlah kecil ubat-ubatan itu ke dalam makanan bayi tersebut.

Pihak pendakwaan meminta hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan sambil menolak hujah pembelaan bahawa sumbangan Sa’adiah kepada masyarakat sebagai seorang jururawat harus menjadi faktor keringanan.

Pihak pendakwa berkata ia tidak sepatutnya dianggap sebagai faktor keringanan dan sebaliknya boleh dilihat sebagai faktor memberatkan hukuman
kerana Sa’adiah tahu tentang kesan ubat-ubatan itu tetapi tetap memberikannya kepada bayi-bayi itu.

Pihak pembelaan juga berhujah bahawa terdapat kelengahan dalam prosiding, merujuk kepada bagaimana pegawai penyiasat telah diarahkan selewat perbicaraan untuk menjalankan siasatan lanjut.

Baca Juga Di sini:

Soal Penyakit Kanser, Ini Cara Elyana Ubat Hati Anaknya Setiap Kali Nak Tidur

Guna Aplikasi #BabyCam Waktu Anak Tidur, Mak-Mak Boleh Tenang Buat Kerja Rumah Tak Risau Baby Nangis!

Kesalahan Yang Pengasuh Dilakukan Dengan Niat

Hakim Daerah John Ng mengambil perhatian bahawa Sa’adiah ialah seorang jururawat bebas yang menerima tugas dari hospital dan mempromosikan dirinya sebagai seorang jururawat dalam iklannya bagi khidmat menjaga dan mengasuh kanak-kanak.

Kesalahan memberi racun dengan niat untuk menyakiti adalah sangat berat, dengan hukuman penjara agak lama dianggap wajar, kata hakim.

Faktor-faktor Utama Kes

Salah satu faktor utama dalam kes ini adalah usia mangsa yang sangat muda, iaitu “bayi-bayi tidak berdaya yang bergantung sepenuhnya kepada penjaga mereka”, kata Hakim Ng.

Faktor-faktor lain adalah jenis ubat-ubatan, yang membahayakan nyawa mangsa, kepercayaan yang tinggi diberi kepada Sa’adiah oleh ibu-ibu bayi, dan perlunya hukuman tegas terhadap tindakan sedemikian.

Hakim Ng bersetuju dengan hukuman yang diminta oleh pihak pendakwa, dan menambah bahawa Sa’adiah “tidak menunjukkan rasa kesal” dan “tidak bekerjasama dengan agensi-agensi siasatan”.

Beliau mengambil perhatian terdapat usaha untuk memohon hukuman lebih ringan berdasarkan gangguan psikiatri yang dikatakan dialami oleh Sa’adiah, tetapi berkata ini “bukan faktor pertimbangan” kerana tidak ada kaitan penyebab antara gangguan itu dengan perbuatan kesalahannya.

Bagi setiap tuduhan memberi racun dengan niat untuk menyakiti, Sa’adiah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda. Dia tidak boleh disebat kerana dia seorang wanita.

MW: Semoga pengasuh ini mendapat hukuman yang setimpal kerana membahayakan nyawa bayi bukan seoarang tetapi dua. Sepatutnya sebagai seorang jururawat, dia mengetahui apakah kesan ubat-ubatan yang diberikan kepada bayi-bayi yang tidak berdosa ini.

Sumber: Berita Mediacorp

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Nur Syazwani Mehat