Ada Sebab Yasmin Hani Pesan Wanita Perlu Menjaga Kesihatan Diri Sendiri Dahulu, Barulah Jaga Anak-Anak

Share

Selebriti wanita yang berwajah Pan Asian, Yasmin Hani Richardson, 39 atau lebih selesa dengan panggilan mesra Hani bersama suami, Sha’arin Mohammed Razali, 53 serta dua puteranya Noah Ismail Wong, 4 dan Eissa Elzander Wong, 1 tahun 2 bulan, terpilih menjadi penghias sampul Majalah Mingguan Wanita, isu April Volume 1 baru-baru ini. Banyak perkara yang dikongsikan bersama baik urusan rumahtangga, anak-anak, kerjaya,rahsia kekal sihat & langsing dan sebagainya.

“Alhamdulillah apabila di rumah, kerja saya ringan apabila dibantu oleh pembantu rumah yang cekap bekerja. Malah, pembantu saya juga sangat bagus dan setia. Sejak Noah kecil hinggalah saya melahirkan Eissa dan kini usia anak kedua saya itu sudah mencecah 1 tahun dua bulan, dia menjaga anak saya bagaikan menyayangi anaknya sendiri. Pembantu saya juga pandai memasak, jadi sekali sekala saja saya akan turun ke dapur apabila punya masa luang.

“Sejak anak sulung Noah lahir lagi saya sudah ada pengasuh, jadi tiada masalah sekiranya saya keluar bekerja kerana akan ada orang untuk menjaga mereka. Lagipun, bergelar ibu pada zaman moden sangat menyenangkan kerana kita sudah boleh menyimpan stok susu badan untuk beberapa hari.

“Memandangkan karier saya berbeza dengan wanita di luar sana kerana kerjaya saya perlukan komitmen yang tinggi dan masa yang tidak menentu. Jadi saya kena tenang dan kalau tak mampu melaksanakan tugas, saya akan meminta bantuan sama ada suami, ibu mertua atau kakak untuk menjaga putera-putera kesayangan saya. Malah, keluarga saya juga tiada masalah untuk menjaga Eissa kerana mereka memang sukakan budak-budak,” jelas Hani.

Tip Kekalkan Kebahagiaan Rumahtangga

Setiap pasangan pastinya memiliki tip tersendiri dalam mengekalkan kebahagiaan rumahtangga yang dibina.Hani akui sebagai seorang isteri apatah lagi bergelar artis banyak yang perlu diharungi. Keserasian, kerjasama, bantu-membantu antara suami isteri adalah tonggak kebahagiaan rumah tangga.Bagi Hani sendiri pesanan oleh ibunya yang paling diingati, kunci kebahagiaan perlu banyak bersabar.

“Ibu sering memberikan saya kata kunci kebahagiaan iaitu perlu banyak bersabar. Semuanya terpulang kepada diri kita sendiri. Nak kena letak limitasi pada diri, berjuang dan tak nak toleransi dalam perhubungan itu semuanya terpulang pada diri kita yang memilih jalan terbaik bagi mencorak kehidupan keluarga sendiri,” kata Hani yang cukup rapat dengan ibunya.

Hujung Minggu Hari Keluarga

Hani juga sangat beruntung kerana suami banyak membantu dan sering bergandingan bahu bagi membesarkan anak-anak mereka. Malah, meskipun Hani dan suami selalu sibuk dengan kerjaya masing-masing namun Hani menerangkan setiap hujung minggu merupakan hari keluarga buat mereka.

“Memandangkan Noah sudah semakin membesar, suami sentiasa mengambil tahu hal-hal pemakanan anak sulung kami. Malah bila di hujung minggu apabila saya masak Sha’arin yang akan suapkan makanan kepada Noah. Sekarang ini kami bergilir-gilir ambil anak dari sekolah, bila suami ada masa, dia akan ambil anak. Memandangkan Sha’arin pun punya jadual kerja yang cukup ketat, jadi kami ambil keputusan untuk melapangkan masa pada hari Ahad sebagai family day.

“Pada hari biasa, saya dan suami sangat sibuk dengan kerjaya masing-masing. Memang kami akan ambil masa sehari dalam seminggu sebagai family day untuk bawa kedua-dua anak bersiar-siar. Pada kebiasaannya kami akan bawa Noah dan Eissa berenang di kolam renang di kediaman kami,”terang Hani yang pernah mengendalikan program Muzik@Ria dan terkenal dengan tagline Watchaaa.

Rahsia Kekal Langsing

Ditanya tentang rahsia dirinya yang kelihatan langsing selepas memiliki dua orang anak, Hani menerangkan dia bukanlah seorang yang mengamalkan berpantang secara tradisional.

“Saya bukannya jenis yang suka berpantang. Adakala saya bertekak juga dengan mak bila menyentuh bab-bab penjagaan pantang. Ada sahaja yang disuruh tapi saya tolak. Penjagaan berpantang saya lebih kepada penjagaan makanan. Paling penting, jaga ketika masih mengandung lagi. Saya lebih suka amalkan makanan yang berkhasiat ketika berpantang. Biasanya saya ambil nasi dengan ayam panggang atau ikan stim bersama sayur. Badan kita perlukan lebih zat selepas bersalin,” kata Hani yang menasihati agar wanita perlu yakin dengan apa jua bentuk fizikal yang dimiliki.

Hani merupakan seorang yang gemar bersenam dan dek kerana itulah dia berjaya mengekalkan berat badan idealnya, walaupun sudah melalui proses kelahiran sebanyak dua kali.

”Pada saya sebagai seorang wanita, kita sememangnya perlu bersenam. Hilangkanlah masalah malas. Kalau malas pun belilah alatan senaman yang ringkas agar mudah untuk anda bersenam terutamanya golongan wanita. Ataupun jika malu berseorang ajaklah rakan-rakan anda berjoging bersama-sama dan luangkan masa untuk keluarkan peluh. Jangan berlengah untuk mula bersenam.

Jaga Kesihatan Diri Dahulu

“Sebagai seorang wanita, kita perlu menjaga kesihatan kita dan kedua barulah menjaga anak-anak. Jika kita tidak terurus bagaimana kita nak uruskan orang lain. Usia saya tahun ini genap 39 tahun dan alhamdulillah hasil dari penjagaan makanan saya berasa cukup sihat.

“Sekarang ini saya amalkan pengambilan makanan sihat dan seimbang. Saya tak makan ayam dan daging. Saya amalkan mengambil banyak protein dan beras perang. Sebenarnya protein sangat penting dan jika badan kita kurang protein akan menyebabkan banyak kemudaratan.

“Sebab itu suplemen protein sangat penting dan saya keluarkan produk berkaitan dengan makanan tambahan ini bersama suami. Produk yang diberi nama sweetcuts.asia ini merupakan produk saya sendiri iaitu protein untuk perempuan di mana mampu membantu untuk membakar kalori dalam badan. Saya gemar bersukan kerana bersenam merupakan anti penuaan. Apabila otot tak kuat kita akan cepat sakit.

“Saya amalkan juga pengambilan air kosong yang banyak, makan vitamin dan suplemen. Insy-Allah jika kesihatan kita tidak terganggu sudah pasti kita boleh menjaga ahli keluarga kita dengan baik,” ungkap Hani.

Mengenai perkembangan terbaru dalam bidang seni, Hani menjelaskan kini dia mengendalikan sebuah program yang berjudul, ‘Hello Doktor’ di TV3 setiap jumaat. Program tersebut merupakan program tentang keibubapaan dan keluarga, bersiaran selama 30 minit. Hani juga menerangkan dia kini mengendalikan Online Show yang berjudul ‘Oh Hani’ di akaun Instagram dan online miliknya.

Teks: Norhayati Suboh

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab