Buah tomato seringkali digunakan dalam masakan harian. Namun siapa sangka, keadaan ekonomi yang tidak stabil dan penjualan barangan keperluan dapur yang semakin mahal, ‘mendesak’ seorang pengantin wanita di Pakistan menggayakan perhiasan buah tomato bagi menggantikan barang kemas pada hari perkahwinannya.
Tindakan pengantin ini dianggap sebagai ‘menyindir’ pihak kerajaan yang gagal menurunkan harga barangan seperti tomato dan kacang pine yang semakin mahal dan meningkat di Pakistan.
Kedengaran pelik namun klip video sebuah saluran televisyen tempatan menemuramah pengantin tersebut kini viral di media sosial.
Klip temuramah terbabit dimuat naik ke laman Twitter oleh seorang wartawan bernama Naila Inayat dengan kapsyen berbunyi, ‘Barang kemas tomato. Sekiranya anda fikir anda telah melihat segalanya dalam kehidupan’.
Dalam klip tersebut, pengantin perempuan dilihat menggayakan tomato yang harganya kini mencecah kira-kira 300 rupee (RM8) sekilo di pasaran sebagai perhiasan kepala, anting-anting, rantai leher dan juga gelang bagi menggantikan barang kemas.
“Seperti yang anda tahu, harga emas amat tinggi begitu juga dengan harga tomato dan kacang pine.Oleh itu saya memutuskan untuk menggunakan tomato dan bukannya emas,” kata pengantin itu dalam video terbabit.
Wanita itu berkata lagi, abangnya menghadiahkan kacang pine malah ibu dan ayahnya juga turut memberikan sekotak tomato sebagai hadiah perkahwinan.
Ditonton lebih 24,000 kali, muat naik tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen, ada yang menganggap ia sebagai idea inovatif malahan ada yang menggelar pengantin berkenaan ‘wanita terkaya’ di Pakistan.
Kenaikan tinggi harga tomato adalah disebabkan tindakan Pakistan melarang import buah berkenaan dari Iran, Afghanistan dan India.
MW: Macam-macam hal. Punyalah berharga, tomato pun boleh jadi perhiasan yang sama mahal harganya macam barang kemas!
Sumber: Sinar Harian, Republic World