Ada Sebab Orang Perempuan Tak Boleh Minum Kopi Lebih 2 Cawan Sehari

Share

Ramai suka kopi kan? Jangan pula tak mengaku. Sebab ramai suka kopi juga lah yang membuatkan kopi dari Korea yang dikenali sebagai kopi dalgona menjadi viral. Namun begitu, apakah kebaikan kopi kepada kesihatan kita?

Pegawai Sains (Pemakanan), Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Siti Norsafiah Mohd Yusoff menjelaskan secara semulajadinya biji kopi ada kebaikannya.

Apa sahaja makanan semulajadi ada kebaikan dan khasiatnya yang tersendiri kalau diambil dalam kuantiti yang sederhana.

“Kalau bercerita pasal kopi ini, ia sudah menjadi satu trend. Bukan sahaja di peringkat dunia, malah di Malaysia juga sudah tumbuh banyak kafe berkaitan dengan kopi.

“Kopi yang dikomersialkan di pasaran terdapat dua jenis, iaitu Arabica dan Robusta. Jenis Arabica lebih banyak mengandungi kafein.

“Dalam biji kopi itu sendiri sebenarnya yang memberi khasiatnya adalah kandungan kafein dan antioksidannya. Antioksidan itu kerana ia mengandungi komponen aktif semulajadi bahan kimia yang bertindak sebagai polifenol yang berfungsi untuk memperbaiki sel-sel badan kita.

Siti Norsafiah Mohd Yusoff, Pegawai Sains (Pemakanan), Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia,

“Bercerita pasal kafein pula, ada kebaikan dan keburukannya. Dari segi kebaikannya, sebenarnya di serata dunia, banyak kajian yang membuktikan memang menunjukkan positif terhadap kesihatan sekiranya diambil dalam kuantiti sederhana jika kopi itu diambil begitu sahaja tanpa gula dan creamer.

“Memang terbukti secara saintifik ia dapat membantu dalam prestasi mental dan fizikal termasuklah untuk menghilangkan rasa mengantuk, supaya lebih peka, dan lebih fokus. 

“Ada juga yang mengambil kopi untuk lebih bertenaga kerana kafein dalam kopi bertindak sebagai stimulant atau perangsang. Ia merangsang sistem saraf pusat kita.

Ketagih Kopi? Berapa Banyak Boleh Diambil?

Jelas Siti Norsafiah, merujuk kepada saranan USFDA, tahap selamat untuk mengambil kafein adalah sebanyak 400 mg sehari. Ia bersamaan dengan 3 hingga 4 cawan.

Tetapi itu semua bergantung pada jenis-jenis kopi juga. Ada jenis kopi yang mengandungi banyak kafein dan ada jenis kopi mengandungi kurang kafein. Tahap selamat adalah 3 hingga 4 cawan sehari.

“Namun bagi wanita, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wanita tidak boleh minum kopi melebihi 300 mg sehari. Ia bersamaan tidak lebih dari 2 hingga 3 cawan sehari.

“Ini adalah kerana wanita lebih mudah mendapat anemia. Apabila wanita mengambil kafein, ia akan menganggu penyerapan zat besi dalam darah kita. Zat besi ini sangat berfungsi dalam darah merah yang mengangkut oksigen ke seluruh badan.

“Apabila berlaku pengambilan kafein, ia akan menganggu penyerapan zat besi ini dan menganggu pengangkutan oksigen. Keadaan inilah yang menyebabkan wanita mudah letih dan lesu.”

Pengambilan Secara Sederhana

Pengambilan kopi juga perlu secara sederhana buat wanita kerana jika diambil secara berlebihan dalam jangka masa panjang, ia akan menyebabkan kerapuhan tulang.

Kafein berlebihan akan menyebabkan banyak kalsium banyak keluar daripada badan. Apabila kalsium tidak diserap oleh tubuh ia akan menyebabkan osteoporosis.”

Menurut WHO, wanita hamil bukan tidak boleh minum kopi tetapi mereka tidak boleh minum melebihi 200 mg sehari.

Tetapi semuanya bergantung pada toleransi dan sensitivity. Mungkin dia tidak boleh dan dapatkan nasihat daripada doktor yang mengatakan dia tidak boleh ambil, lebih baik jangan ambil.

Walaupun ada guidelines yang mengatakan kopi ini selamat untuk diambil dalam jumlah yang tertentu, individu itu perlu tahu dan kenal pasti apa tindakbalas badan terhadap pengambilan kopi itu.”

Kafein Overdose?

Tidak dapat dinafikan kopi merupakan salah satu minuman paling popular di dunia. Ada yang mengambil kopi kerana kandungan kafein di dalamnya mampu memberi tenaga tatkala diperlukan. Tetapi kalau diambil terlalu banyak, adakah si peminumnya boleh overdose ?

Siti Norsafiah menjelaskan seseorang peminum kopi itu secara logiknya akan overdose kafein jika ia sudah sampai ke tahap yang berlebihan.

Minum Kopi Sakit Kepala?

Jelas Siti Norsafiah, apabila seseorang itu minum kopi, ia memberi tindakbalas yang berbeza pada tubuh.

Ia bergantung kepada toleransi dan sensitivity individu terhadap reaksi terhadap kafein itu. Ada orang ok dan ada orang tidak ok. Kita kena kenalpasti apa reaksi kita terhadap kafein sebelum mengambilnya.

“Selain itu ia juga bergantung pada jenis kopi yang diambil dan juga tahap metabolisme badan seseorang itu.

“Saya hendak sarankan. Sekiranya hendak minum kopi, ada waktu-waktu tertentu jika mahu mendapatkan kebaikannya.

‘Kalau boleh jangan ambil pada waktu hidangan utama. Hidangan utama itu bermakna sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Ini disebabkan kafein tadi boleh menganggu penyerapan nutrien tertentu dalam badan kita.

Waktu Sesuai Minum Kopi

Jelasnya lagi, ada waktu-waktu yang sesuai untuk minum kopi.

“Sebenarnya waktu yang disarankan adalah dari pukul 9.00 hingga 11.00 pagi. Waktu petang pula dari pukul 2.00 hingga ke 5.00 petang kerana itu adalah waktu bukan kita mengambil hidangan utama.

“Dikatakan juga kalau mengambil kopi pada waktu pagi selepas bangun tidur, ia sebenarnya tidak sesuai kerana menurut fakta saintifiknya apabila kita bangun pagi kita memang ada hormon kortisol yang fungsinya lebih kurang seperti kafein yang memberi alert (sedar) dan peka.

“Jadi waktu pagi kita memang sudah ada rasa ‘wake up’ itu. Jadi rugilah sebab kita sudah ada hormon cortisol dalam badan dan kita minum kopi waktu itu juga, fungsinya kurang.

“Jadi kita ambil kopi waktu hormon cortisol menurun iaitu dalam pukul 9.00 hingga 11.00 pagi.”

Kopi Untuk Kuruskan Badan?

Jelas Siti Norsafiah lagi, biji kopi yang asal ada kandungan antioksidan yang dikenali sebagai asid klorogenik.

Menurut kajian asid klorogenik mampu membantu menghalang penyerapan lemak dan meningkatkan metabolisme.

“Sebab itu jugalah kalau kita lihat dalam slimming product atau weight loss product memang banyak add benda ini. Tetapi sejauhmana jumlah yang digunakan kita tidak tahu.

“Tetapi jika kita mahu mendapatkan khasiat yang sebenarnya perlulah mengambil kopi semulajadi, bukan produk yang telah ditambah gula, creamer, herba-herba dan bahan kimia lain. Jadi kita perlu membaca label yang terdapat pada produk tersebut terlebih dahulu sebelum mengambilnya.”

Siti Norsafiah adalah tetamu jemputan di dalam program Mingguan Wanita Talkshow yang bersiaran pada hari Khamis 24 Mac 2020 dari pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 tengah hari di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD. Dahlia Shazwan adalah hos jemputan pada hari tersebut.

 

 

 

Published by
Julie Roshana