Ada Sebab Kena Pastikan Anak-anak Balik Rumah Sebelum Maghrib

Share

Mak ayah kita dulu selalu beri pesanan pada anak-anaknya. Jika mahu berjalan ke mana-mana, balik rumah sebelum maghrib.

Anak-anak patuh mengikut. Peredaran zaman menenggelamkan pesanan sebegini. Malah, menjadi alah bisa tegal biasa pula segelintir anak-anak keluar baik waktu maghrib mahupun selepas maghrib.

Ini pesanan Ustazah Asma’ Harun tentang kenapa disarankan sebelum maghrib pastikan dah balik rumah.

Balik Rumah Sebelum Maghrib

Sebelum maghrib pastikan dah balik rumah”.

Zaman dahulu, ibu ayah kita biasa pesan seperti ini. Jangan balik lewat maghrib. Apabila maghrib pastikan sudah balik dan mandi, pastikan tutup pintu dan tingkap.

Sebenarnya ungkapan mereka adalah berasas di dalam agama kita. Daripada Jabir r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ، وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.”
(HR al-Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

Baca sini : Ada sebab kenapa 3 waktu ini tidak digalakkan untuk mandi, hati-hati

Rasulullah Sampaikan 3 Pesanan Ini

Daripada hadis ini, ada 3 pesanan yang Nabi Muhammad SAW ingin sampaikan kepada kita:

1. Tahanlah anak-anak ketika maghrib daripada berada di luar rumah.
2. Tutuplah pintu-pintu rumah.
3. Sebutlah nama Allah.
Subhanallah. Bukan sengaja ibu ayah kita dahulu berpesan. Pasti ada sebab dan alasannya.

Sahabat, saya ingin kongsikan doa yang sangat bagus untuk diamalkan bagi mengelak daripada gangguan syaitan. Doa ini adalah petikan daripada Surah al -Mukminun ayat 97 dan 98.

رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ
Maksudnya : “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan”.
وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
Maksudnya : “Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”
(Surah al-Mukminun: 97-98)

Doa ini tidaklah terikat pada sesuatu masa untuk dibaca. Ia boleh diamalkan pada bila-bila masa agar dijauhi daripada syaitan.

Semoga kehidupan kita semua sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT.

#UAHSahabatDuniaAkhirat

Sumber/Foto : Ustazah Asma’ Harun

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Published by
Netty Ah Hiyer