Ada orang kata, kehidupan itu bermula bila masuk umur 40 tahun. Masa itulah nak dicuba macam-maam perkara yang tak dapat dilakukan semasa muda.
Hakikatnya, ada rahsia yang disebut dalam Al-Quran bila tentang umur 40 ini. Sebagaimana yang dikongsikan Abdul Muiez Ruslee ini tentang perihal bila nak masuk umur 40 tahun.
Umur dah nak masuk 40 tahun ni, banyak benda yang saya fikir.
Ikut akal manusia, lebih banyak umur, lebih dekatlah kita untuk menemui Allah.
Banyak terfikir tentang diri. Terutama bab ibadah. Bab wajib satu hal. Bab sunat lagilah banyak.
Macam mana dengan sedekah? Cukupkah sedekah selama ini? Dengan RM1 yang dimasukkan dalam tabung masjid setiap Jumaat, agak-agak boleh beli syurga tak?
Teringat sabda Nabi. Apabila mati anak Adam, terputus segala amalan kecuali 3 perkara. Salah satunya sedekah jariah.
Macam mana pula dengan solat? Cukup tak solat kita? Pukul berapa kita solat?
Teringat pesan Imam Al- Ghazali di dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin.
Apabila solat dilakukan dengan sempurna, ia pasti diterima. Lain-lain amal juga diterima. Tetapi apabila terdapat kekurangan, solat dan lain-lain amalan dikembalikan kepada si pelakunya.
Macam mana pula dengan ibadah lain? Seperti membaca surah Al-Mulk, puasa sunat, solat dua rakaat sebelum solat subuh dan banyak lagi.
Macam yang kita tahu, surah Al-Mulk itu menghindarkan kita dari azab kubur.
Ada banyak hadis nabi tentang puasa sunat. Salah satunya, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun.
Itu belum lagi kelebihan menunaikan solat dua rakaat sebelum subuh.
Nabi pernah bersabda. Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.
Allahu akbar. Kalau nak dihitung, ish, macam tak cukup je amalan nak jumpa Allah ni.
Dan kalau umur panjang, rezeki. Kalau umur pendek pun, rezeki.
Kata orang, life begins at fourty. Betul dah tu.
Umur 40 ni dah dekat sangat dengan Allah. Kalau kita meninggal lebih kurang sama dengan umur Nabi wafat, ada dalam 20 tahun lagi. Itu pun kalau sampai.
Kenapa 40?
Allah sendiri sebut dengan jelas umur 40 tahun dalam surah Al-Ahqaf ayat 15.
Umur 40 tahun ini sempadan bermulanya perubahan. Kalau dah umur tu pun masih belum berubah, susah dah untuk kita berubah.
Dalam kita persiapkan diri untuk dunia, jangan lupa juga untuk akhirat.
Nasihat untuk diri saya, dan rakan-rakan yang lahir tahun 81, 82 dan 83. Zon emas 40 tahun. Ya, kitalah orangnya.
Mingguan Wanita : Meniti usia 40 tahun, banyakkan bersyukur. Berdamai sajalah dengan takdir Ilahi.
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee