Beberapa hari saja lagi, Aidilfitri bakal menjelang tiba. Bagi mak ayah, cuti sekolah yang sudah pun bermula memudahkan mereka mengatur cuti untuk pulang beraya. Bahkan ada yang sudah pun berada di kampung dengan mengambil cuti seminggu lebih awal, selaras dengan cuti persekolahan anak-anak.
Ada sebab tu. Apa lagi kalau tak sebab nak menggelakkan kesesakan lalu lintas bila semua orang berpusu-pusu balik kampung nanti. Saya turut merasai pengalaman pulang beraya dalam kesesakan bila tiba giliran beraya di sebelah keluarga saya di Terengganu.
Sebaik memasuki lebuh raya, sudah terasa bahang beraya. Silap percaturan, memang berdepan dengan kesesakan yang teruk. Pernah terpaksa berbuka berlapikkan tikar di tepi jalan di hentian rehat. Mana taknya, hentian rehat penuh sesak dan tempat duduk untuk makan pun dah penuh.
Nasib baik ‘stand by’ tikar, bolehlah piknik di tepi jalan. Seronok tau! Sebab itu, sangat penting untuk mengatur perjalanan.
Memandangkan saya tidak ada anak kecil, lagi mudah untuk saya, suami dan anak bujang untuk bertolak pada bila-bila masa yang kami mahu. Suami lebih suka bertolak sebelum subuh dan akan berhenti solat serta sahur di mana-mana perhentian atau stesen minyak.
Ketika itu biasanya jalan raya tidak begitu sesak. Tapi ikut nasib juga lah. Cuma tahun ini saya tak ‘merasa’ menempuh jem yang teruk kerana akan beraya di Selangor di sebelah suami.
Pelbagai Jenis Juadah
Hari raya seolah-olah tiada seri tanpa hidangan hari raya. Selain itu, sudah tentu kehadiran aneka jenis kuih raya mencuri tumpuan. Ada orang yang lebih suka biskut tradisi dan ada pula yang mengikut trend.
Tahun ini biskut bertemakan haiwan viral seperti biskut ulat bulu. Untuk saya? Tetap kuih tradisi seperti semperit dan biskut Arab. Terus terang, saya memang penggemar biskut raya. Kalau ke rumah saudara mara dan rakan taulan, meja kuih raya dahulu saya akan terjah, bukan meja hidangan utama.
Tapi saya tak suka yang berinti. Jadi tart takkan termasuk dalam senarai untuk saya cuba. Di rumah, saya tidaklah beli terlalu banyak kuih raya sebaliknya lebih gemar membeli aneka kerepek. Tapi biskut raya yang saya beli itu adalah yang saya suka. Jadi, saya yang akan habiskan di penghujung Syawal nanti jika masih berbaki. Suami dan anak?
Hmm..mereka tak pandang pun! Apa pun, dalam menyambut Ramadan nanti, berbelanjalah dengan bijak. Sampai selepas raya nanti ada yang tak cukup belanja. Duit raya pun beri sekadar mampu. Yang penting ikhlas dan kita ingin meraikan kanak-kanak yang datang beraya nanti. Selamat hari raya dan maaf zahir dan batin. Jangan lupa puasa sunat Syawal ye!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI