Anda hanya memerlukan sedikit keberanian untuk berfikir secara luar biasa apabila diterjah satu-satu masalah.
Dengan berfikir begitu, anda akan mampu menyelesaikan hampir semua masalah selagi ia dalam lingkungan kuasa dan kehidupan anda sendiri. Malah, jika lebih berani, anda boleh menyelesaikan masalah orang lain pula tanpa perlu lebih dahulu keluar universiti.
Inilah yang ramai orang tidak mengetahuinya. Apabila diuji masalah, mereka mencari orang lain untuk tolong menyelesaikan masalah itu. Selalunya mereka akan merujuk pakar, paling tidak, yang mempunyai gelaran-gelaran tertentu di hadapan nama masing-masing misalnya; Dr., Prof., Datuk, Ir., dan lain-lain.
Sebenarnya semua masalah peribadi berkaitan kejiwaan dapat diselesaikan sendiri oleh tuan punya diri. Lain halnya masalah yang membabitkan pihak lain dan ia adalah berkaitan kebendaan, yang ini memang perlukan campur tangan pihak lain.
Tetapi selagi ia adalah masalah yang mencetus dari dalam diri sendiri, maka diri sendiri adalah kaunselor terbaik buatnya.
Misalnya, dia ada masalah dengan rakan sekerja, menanyakannya kepada pakar dia akan mendapat jawapan umum, setara dan sekata. Tentu dia akan merasakan jawapan itu tidak menjurus pada penyelesaian masalahnya secara khusus, lantas dia akan menambah soalan.
Sudah tentulah, sebab yang sebenar-benarnya tahu situasi sebenar apa yang sedang dihadapi adalah tuan punya diri. Dia tahu siapa orang di sekeliling, bagaimana perangai orang yang bermasalah dengannya.
Pendek kata dia tahu macam-macam lagi, sudah tentulah jawapan terbaik adalah daripada dirinya sendiri.
Pakar yang mendengar, meskipun dia memiliki sepuluh Ph.D dalam bidang kaunseling, jawapan daripadanya mungkin tidak menepati kehendak dan sasaran, sebab dia berpandukan ilmu di universiti bukan pengalaman mengalami.
Maka, dengan sedikit keberanian untuk berkreatif dalam merumus jawapan kepada masalah yang dihadapi adalah langkah yang patut dilakukan terlebih dahulu sebelum bergantung pada pihak lain.
Setakat masalah suami kurang memberikan perhatian apabila isteri bercakap misalnya, boleh difikirkan sendiri jalan penyelesaiannya. Perhatilah, semak dan fahamilah perangainya yang lain dan fikirkanlah sesuatu langkah untuk menyelesaikannya, insya-Allah akan ada jalannya. Berhubung selalu dengan Allah SWT secara kerap berdoa moga-moga diberikan panduan yang terbaik.
Lebih Baik
Hujungnya anda akan dapati jawapan yang anda rumuskan itu jauh lebih baik daripada apa yang disarankan oleh pakar. Lalu, anda akan kondem pakar berkenaan kalaupun tidak hilang kepercayaan.
Sebenarnya, anda sendiri harus faham, pakar itu juga serabut dengan masalahnya. Benarkah dia seorang yang bebas masalah hingga boleh menyelesaikan masalah anda yang dia hanya mendengar tidak mengalami? Sejauh mana seseorang itu dapat menghayati atau memahami dengan hanya mendengar cerita?
Secara jujur, saya pernah dihubungi oleh para kaunselor bertauliah bagaimana hendak menyelesaikan masalah-masalahnya. Mahu tidak mahu, saya mendengarlah, lalu mendapati masalah mereka bukanlah teruk sangat hingga tidak boleh diselesaikan sendiri.
Jika didalami, mungkin banyak lagi masalah yang bukan-bukan sedang melanda hidupnya dan dia masih tercari-cari jawapan untuknya, tetapi dialah yang masyarakat cari untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka pula.
Apabila berdepan dengan masalah, tenangkanlah diri, paling tidak dengan air biasa banyak-banyak. Oleh bertenang, semua masalah lebih mudah dihadapi serta dicairkan penyelesaiannya. Sebijak mana pun seseorang itu kreativiti adalah yang diperlukan untuk lebih unggul dan anggun.
Artikel ini telah dikongsikan oleh Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj, motivator dan penulis tetap ruangan Motivasi di dalam majalah Mingguan Wanita.