Ada Masalah Mengadulah Pada Suami, Isteri Jangan Diam-diam Simpan Sendiri
Ada Masalah Mengadulah Pada Suami, Isteri Jangan Diam-diam Simpan Sendiri

Benar.. ada isteri tak mahu bebankan hati suami. Ketua rumah yang tak henti bekerja cari nafkah untuk anak isteri. Tak sanggup rasanya nak bebankan suami dengan masalah peribadi kita.

Jangan begitu ya mak-mak.. diam-diam simpan masalah tanpa pengetahuan suami itu lebih bahaya. Boleh jadi kemurungan dan nanti makin sukar diubati.

Dengarkan isi hati Nabihah Ab Razak ini. Pesannya mendalam untuk mak-mak suri mencari bahagia dalam melayari bahtera rumah tangga.

Yang Kau Kahwini Itu Seorang Wanita

Apa salah abang, ye? Bagitau saja. Jangan buat abang tertanya-tanya

Masya-Allah…
Tundukkan ego seorang suami, kadang sedikit sebanyak membantu meredakan hati isteri yang sedang bermain dengan persepsi.
Suami kena tahu, bila dia sudah berkahwin, orang yang dikahwininya sudah pasti seorang wanita. Dan hakikat yang perlu diterima adalah, wanita ini salah satu ciptaan Allah yang sarat dengan emosi.
Yang sedang ketawa gembira, boleh saja tiba-tiba berubah menjadi duka.
Yang sedang senyum manis sepanjang hari, boleh jadi menangis tanpa henti.

Saya teringat kata-kata daripada salah seorang ustaz penceramah ;
‘Mu kahwin dengan orang puang. Mu keno tahu, orang puang ni mace budok-budok’
Begitulah lebih kurangnya.
Jadi kalau isteri tiba-tiba merajuk dan minta dipujuk, itu satu benda yang lumrah. Bukan cari padah

Suami Pun Hampir Buntu Nak Pulihkan Isteri

Hampir sebulan saya diuji.
Bahkan sang suami hampir kebuntuan untuk membantu memulihkan si isteri.
Allahu Allah..
Semangat saya makin hari makin lemah. Keyakinan diri makin diusap, makin merudum. Dunia hampir gelap. Saya buntu mencari arah yang mahu dituju. Allah sahajalah yang mampu mengerti isi hati ketika itu!
Depresi seorang suri rumah.
Saya tak mampu nak bergaul mesra bersama sahabat handai. Emosi celaru tak mampu dibendung walhal di hadapan anak-anak dan suami! Apa yang dirasa oleh deria dan dilihat di depan mata, semuanya tidak kena. Semuanya bagaikan satu gangguan dalam hidup saya!
La haula wala quwwata illa billah…

Tuan-puan, kalau kena caranya, tidak mustahil ‘sakit’ ini boleh sembuh dan kembali seperti sedia kala.
Solat.
Zikir dan selawat.
Dua perkara ini jangan lalai walau dalam keadaan perit macam mana sekalipun. Ini antara panadolnya.
Sehinggalah suatu hari Allah detikkan hati saya untuk menghubungi salah seorang kenalan yang pernah mengalami kemurungan sebagai seorang suri rumah.

Ada Masalah Mengadu Pada Suami, Jangan Menyendiri

Akak dulu macam tu lah. Suami sibuk. Kerja sampai lewat malam. Waktu tu anak kami baru dua orang
Allahu..

Kadang kita rasa kita yang lebih merasa. Hakikatnya masih ada yang sama-sama menghadapi kondisi seperti kita. Dan semuanya boleh jadi satu pengalaman hidup yang sangat bermakna buat seorang wanita!

“Paling tidak, bila kita tahu kita sedang kemurungan, cari tahu macam mana nak atasinya”
“Biha kena sihat badan, sihat fizikal dan sihat emosi,”
kakak ini menyambung.
“Apa-apa masalah, mengadu saja pada suami. Jangan terlalu menyendiri. Luahkan semuanya apa yang dihadapi dalam sehari-hari”
“Jangan terlalu fikirkan duit. Kadang duit dalam akaun RM0.00 pun, tenang saja! Yang penting kita jaga amanah sebagai isteri dan ibu elok-elok”

Subhanallah…
Panjang lebar penjelasannya. Sehinggakan hati yang gundah juga boleh berubah. Jiwa yang gersang kembali tenang!

Perlu Saling Merai Hati Pasangan

Suami dan isteri, peranannya berbeza. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain.
Masing-masing perlu memahami perbezaan yang ada dan saling meraikan hati pasangan untuk mewujudkan bahagia dalam rumahtangga.

Mak-mak suri rumah, tenang walaupun kita belum ketemu jalan penyelesaian. Dalam ketenangan itu, kadang tanpa sedar Allah hadirkan apa yang kita cari selama ini.

Hidup siapa yang tidak dilanda masalah?
Berbalik semula kepada tujuan asal penciptaan kita sebagai manusia, diuji dan terus diuji sebelum diganjarkan syurga!

‘Yang kau mahu hanyalah hati yang bahagia. Maka dekatkan diri kepada Pencipta!’

MW : Dapat tangkap kan maksudnya.. kadangkala kita rasa kuat tempuhi masalah sendirian. Hakikatnya, sokongan suami itulah yang bantu kita bertahan. Tapi kenalah luahkan, baru suami faham.

Sumber/Foto : Nabihah Ab Razak