Bukan sedikit, tapi ramai sebenarnya yang takut dan cuma dapatkan pemeriksaan kanser payudara di klinik atau hospital apabila sudah sampai ke stage 3 dan 4.
Walhal, mereka boleh berbuat demikian sewaktu awal-awal mengesan ada ketulan atau benjolan pada bahagian payudara.
TAKUT PUNCA KEMATIAN BREAST CANCER
( KANSER PAYUDARA )
JANGAN PANIK !
Berikut adalah beberapa
LANGKAH PENTING JIKA ANDA ADA KETULAN PAYUDARA.
Ramai kawan kawan gelar kan aku Dr Breast ATAU , DR Payudara .
Kalau aku pergi melepak, jumpa kawan baru..
“Kau tau tak, Ni kawan aku dia Doktor Payudara …untunglahhh..” Ini lah ayat yang selalu keluar dari mulut dejei kawan kawan aku
Kenapa? Dorang kata pekerjaan aku paling best skali dalam dunia.
Paham paham je lah .
Masa tu aku bertugas di Institut Kanser Negara. Pada Tahun 2015, lebih kurang selama 2 tahun. Surgical Oncology adalah depertment yang aku sendiri tak paham, dan ramai doktor lain juga tak faham tentang kewujudan department ni .
Institut Kanser Negara masa tu baru dibuka tahun 2015. Aku lah first batch masa tu, dan masa tu tak ramai pesakit. IKN kolaborasi bersama Hospital Putrajaya, Surgical Department Hospital Putrajaya ni sebenarnya “subspeciality “ dalam Breast & Endocrine.
Pakar pakar bedah dari Putrajaya memang lebih arif dengan Breast Cancer.
Mereka merupakan Pakar Bedah yang hebat!
Jadi kerja aku hari hari, memang Breast Cancer screening lah. Apa lagi.
Boleh kata aku dah lihat dan rawat lebih dari 500 kes setahun.
Kebanyakkan pesakit aku berumur 20-35tahun.
Ehem….. ( sambil sikat rambut)
Tapi kerja ini bukannya mudah. Bukan se simple yang kau sangkakan. Banyak Prosedur satu persatu yang kau kena teliti. Tersilap langkah, bakal memberi keputusan yang berbeza dan ianya amat merbahaya kepada pesakit.
Rupanya Ramai Wanita Muda Ada Masalah Ketulan Pada Payudara
Terkejut, dan tak sangka rupanya ramai juga wanita muda yang ada masalah ketulan pada payu dara. Ada yang masih kecil, ada jugak yang dah simpan sampai besar.
Rata rata bila aku tanya, sejarah mereka, kebanyakkan yang ada genetik breast cancer, atau cancer lain. Ada juga yang tak ada sejarah keluarga dengan kanser, tapi tetap ada ketulan pada payu dara
Banyak lagi faktor penyebab breast cancer.
Ads
Tahu kah? Anda…
* Breast cancer mendapat tempat ke 4 sebagai kanser pembunuh antara kanser kanser yang lain.
* 34 kes nisbah 100000 populasi, dilaporkan 3500-4000 kes setahun.
* Kekerapan umur paling tinggi untuk risiko breast cancer adalah 40-64 tahun .
* Kaum cina adalah yang tertinggi dilaporkan untuk menghidap breast cancer, disusuli kedua India dan kemudian Melayu dan etnik lain.(Kes yang direkod)
* Mungkin orang Melayu kita ramai yang memilih untuk rawatan tradisional?
Berikut Adalah Punca Penyebab Breast Cancer
Aetiology of Breast Cancer
Several factors have been identified as potentially responsible for increasing breast cancer risk, but their mechanism of action is unclear (McPherson, 2000) (Level III). These factors are:
• Previous history of breast cancer
• Increasing age
• Geographic variation
• Family history
• Biopsy confirmed benign proliferative breast disease
• Previous radiation to the breast
• Nulliparity at age 40 years
• First full-term pregnancy at age of 35 or more
• Early menarche (aged 12 and younger)
• Late menopause (aged 55 and older)
• History of primary cancer of the ovary or endometrium
• Obesity in postmenopausal women
• Evidence of specific genetic susceptibility (such as carriage of BRCA1, BRCA2 or BRCA3)
• Staple diet containing red meat, high total fat (especially saturated fat) and alcohol
• Hormone replacement therapy – the Women’s Health Initiative study found an increased risk of breast cancer (Hazard Ratio 1.26) in women on hormone replacement therapy with combined estrogen plus progestin given in a continuous manner (Women’s Health Initiative Investigators, 2002)
(sila translate sendiri )
Klasifikasi Kanser
1- Benign ( Tumor ketulan tak merbahaya) 2- Malignant ( Tumor dah menjadi kanser dan boleh merebak )
RISIKO UMUR 20-40 tahun?
Walaupun had umur 40-60 tahun untuk golongan yang berisiko tinggi, tapi banyak kes yang aku rawat berumur 20-40 tahun. Peningkatan jumlah umur pesakit yang lebih muda makin meningkat .
Kebanyakan mereka yang datang dalam had umur ini, lebih cenderung untuk menghidap ketulan yang kita namakan Fibroadenoma .
Fibroadenoma adalah Benign, tak merbahaya, tidak merebak. Namun boleh membesar.
Tapi jangan ambil mudah, kerana ia boleh bertukar menjadi kanser bila bila masa jika dibiarkan dan tak diendahkan .
DIAGNOSIS (IMAGING)
Bagaimana untuk mengesan anda mempunyai kanser payudara atau tidak ?
1 – Pemeriksaan ketulan. Boleh dibuat sendiri dirumah atau di klinik jika ada suspicous / curiga terhadap ketulan pada payudara.
– Saiz
– Sakit atau tidak
– lokasi
– boleh bergerak atau pegun
– skin retraction ( kulit tertarik/kecut)
– kemerahan
– ketulan pada pangkal ketiak ( Nodul limfa)
(Jika ketulan itu SAKIT, selalunya lebih kepada jangkitan kuman, kerana ketulan tumor tidak akan menyebabkan anda rasa sakit. Tapi walaupun sakit disebabkan jangkitan, wajib screening untuk pengesanan awal kanser)
Untuk Yang Berumur 20-35 Tahun
2- Jika ada ketulan, jangan takut. Kemungkinan ianya adalah Benign / Tumor biasa yang tidak merbahaya dan tidak merebak .
3- Untuk Umur kurang dari 35 Tahun
Disarankan untuk ujian ULTRASOUND. Bedasarkan ketebalan (density) tisu payudara dan juga suspicious lession ( Cyst , fibroadenoma dan lain lain )
Untuk Umur 35-60 tahun
1 – Pemeriksaan ketulan yang sama seperti di atas. 2- Jika ada ketulan, jangan takut mungkin Fibroadenoma. Kalau kanser sekali pun mungkin masih pada tahap awal. Succesful rate adalah tinggi
4- Untuk Umur Lebih 35 Tahun
Disarankan Bilateral 2D Mamogram ( macam Xray ). Lebih canggih kini ada 3D Mamogram. Selepas procedure “ Imaging “ ini, wajib untuk Biopsy, untuk mengesahkan lagi tahap kecurigaan .
Ads
Apakah itu biopsy?
Biopsy adalah prosedur untuk ambil sample ketulan, untuk dihantar dan dikaji di Makmal. Jadi kita boleh tahu jenis ketulan, Benign tumor atau kanser. Bila dilihat di bawah mikroskop, dan akan diterjemah oleh Pakar Pathologist / Histopthology.
TISU BIOPSY
Beberapa jenis Biopsy yang kita gunakan.
1- Fine needle biopsy ( Jarum kecil)
2- Core needle biopsy ( Jarum besar)
3- Excision Biopsy ( Pembedahan ketulan)
Biopsy ini adalah wajib sebelum melakukan pembedahan Excision Biopsy . ( Pembedahan keseluruhan )
Contohnya , sebelum kau nak saman orang , sebelum kau nak bawak kes ke mahkamah , kau perlu kumpul bukti dahulu sebelum memfailkan saman .
Sama macam biopsy ini , Ianya lebih kepada pengumpulan bukti dan sebab.
Pemilihan untuk Fine needle , atau Core needle adalah bergantung kepada Kepakaran Doktor untuk memilih jarum mana lebih sesuai , bergantung juga pada saiz .
Selalunya…
1 – Fine Needle biopsy. Merupakan standard untuk ketulan yang lebih kecil, kurang dari 2.5cm. Tahap ketepatan keputusan adalah 94% Walaupun ada “ False positive “ result 1-35%
2 – Core Needle digunakan untuk saiz ketulan lebih dari 2.5 cm. Ketepatan keputusan adalah 89% , Jika saiz lebih besar , ketepatan keputusan boleh meningkat pada 94% .
Selepas dapat keputusan makmal, apa yang berlaku?
Tak kira lah keputusan itu “ Benign Tumor “( Tumor baik ) Atau pun “ Malignant cancer “ tumor jahat . Ianya perlu dibedah dan buang .
3 -Excision Biopsy. Adalah “ Gold standard “ Untuk sampel biopsy . Dimana pakar bedah akan keluarkan keseluruhan ketulan bersama tisu yang melekat pada ketulan itu untuk dikaji lebih lanjut di makmal.
Tahap kesukaran bergantung kepada , “ Staging” Iaitu tahap kanser, lokasi ketulan , atau jika merebak pada organ lain .
Tak semudah yang disangka …
Keputusan Excision Biopsy kini lebih tepat boleh mencecah 100% .
Keputusan ini akan membantu Doktor untuk mula , Exact “ staging “ dimana doktor akan maklumkan pada pesakit. Di manakah Tahap anda ? Sebelum dan selepas bedah . Stage 1 Stage 2 Stage 3 Stage 4 . ?
Ads
Banyak lagi step step seterusnya. Pemilihan ubat ubatan , chemoterapi , pembedahan ekstrem , pembedahan nodul limfa , dan sebagainya.
Kalau aku nak cerita , sampai bumi betul-betul jadi leper pun tak habis .
TAKUT Penyebab Kematian Pesakit Kanser
Jadi sepanjang aku merawat pesakit Kanser Payudara , aku dapat simpulkan kenapa ramai pesakit yang datang dengan Stage 3 dan stage 4 . Tak kira umur lebih tua atau muda .
hanya satu sebab .
Iaitu .. “Takut” ..
Takut untuk periksa
Takut untuk terima hakikat jika ketulan itu kanser
Takut untuk menghadapi rawatan
Takut disebabkan ramai yang berkongsi cerita tentang Chemoterapi .
TAKUT ini adalah sebenarnya punca kematian pesakit breast cancer di malaysia .
Tahu kah anda , Jika Ketulan ini dapat dikesan lebih awal, Dan pemeriksaan dibuat dengan awal, peluang untuk survive adalah up to 80%.
Tapi bila kau datang dah Stage 3 ke atas , peluang untuk survive kurang Dari 29% .
Adakah Punca Pemakanan
Ini adalah sekadar Infomasi ringkas,
Aku harap untuk yang bukan golongan perubatan , mereka akan lebih mudah faham .
Kesempatan ini aku nak ucapkan jutaan penghargaan kepada semua Pakar Bedah yang pernah menjadi guru aku. Jasa mereka seharian melawan Bencana Breast cancer, dan juga semua tahap pekerja perubatan, Dari Houseman, Staff nurse, Medical assistan, PPK, Mahupun Staff pencuci yang sama sama bertempur dalam medan peperangan kanser .
Ada yang tanya punca pemakanan?
Aku tak dapat huraikan dengan lebih jelas , Kerana pemakan adalah faktor Provokasisahaja , Bukan sebagai faktor utama .
Yang jelas , Adalah Faktor genetik , Dan beberapa faktor yang aku dah terangkan di atas .
Ianya adalah Faktor ! Bukan Punca Utama !
Sampai sekarang , tiada siapa yang tahu punca utama walaupun kajian lebih 60 tahun. Kerana apa?
Kerana kita hanya manusia , yang belum mampu menguasai walaupun setitik ilmu dari luasnya lautan .
Guideline yang digunakan oleh seluruh Doktor dan Pakar perubatan di Malaysia mahupun luar negara . Yang dikaji sejak lebih dari 60 tahun yang dulu .
√ Bukan Tanya kawan ,
√ Bukan daripada testimoni ,
√ Bukan dari Google .
√ Dan aku sendiri melihat pesakit pesakit ini.
Takde kaitan dengan AEFI .
Dan aku juga.
Bukan FREELANCE MEDICAL DOCTOR
Sila Share dan tag kawan kawan , ahli keluarga dan sesiapa sahaja .
Kerana anda mampu membantu , team perubatan untuk melawan kanser yang menjadi Top 4 , sebagai Kanser pembunuh di Malaysia .
Sumber/Info :
DR YAZEED HAIR JOHARI
MEDICAL & SURGERY
Klinik Medissa Medical & Dental Kota Damansara
FORMER SURGICAL ONCOLOGY
INSTITUT KANSER NEGARA
BREAST & ENDOCRINE SURGERY
HOSPITAL PUTRAJAYA
SURGICAL DEPARTMENT
HOSPITAL AMPANG
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siti Norhafiza Kamarudin telah disahkan menghidap kanser payudara pada bulan Julai 2018. Sungguh dia tidak menyangka akan menghidap penyakit yang paling ditakuti oleh semua wanita di dunia ini. Sudah lebih setahun dia menjadi ‘ cancer survivor’ dan kelihatannya dia tabah dalam menghadapinya.
Jelas Siti Norhafiza atau lebih mesra dengan sapaan Fiza, kisah kansernya bermula dengan rasa sakit pada bahagian payudara di sebelah kanan. Kesakitan itu telah berlaku pada hujung tahun 2017.
“ Tetapi bila kesakitan itu saya rasa boleh atasi sendiri membuatkan saya ambil ubat tahan sakit. Ada beberapa kawan yang tahu saya sakit, dia suruh saya berjumpa doktor. Tetapi saya tidak mahu dan terus memakan ubat tahan sakit.
” Sakit itu datang tanpa mengira masa. Bila rasa sakit saya akan ambil ubat tahan sakit. Sampailah satu tahap itu saya tidak boleh tidur. Rasa sakitnya seperti dihiris pisau. Masa itu saya ada buat pemeriksaan sendiri untuk memeriksa ketulan dan sebagainya. Semua itu tidak ada. Sebaliknya pada bahagian puting payudara ada seperti jerawat tumbuh.
” Sehinggalah rasa sakit itu tidak dapat saya tahan, saya ajak suami pergi ke sebuah hospital swasta. Kami pergi waktu malam. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka menasihati saya agar datang pada esok hari kerana doktor pakar ada di kliniknya.
” Esoknya saya dan suami datang semula ke hospital. Saya telah menjalani pemeriksaan mammogram dan biopsi. Seminggu selepas itu doktor panggil semula saya datang ke hospital dan memberitahu keputusan pemeriksaan mendapati saya ada kanser payudara tahap 3,” ujar Fiza membuka bicara.
Tidak Boleh Terima Kenyataan Hidap Kanser
Mati. Itulah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Fiza apabila disahkan menghidap kanser. Dia menangis. Suami yang berada di sebelahnya turut terkejut dengan berita tersebut.
“ Saya keluar dari bilik doktor sendirian. Kemudiannya saya duduk bersandar pada dinding berhampiran meja pendaftaran di hadapan bilik doktor. Memang saya tidak boleh terima kenyataan apabila doktor memberitahu rawatan yang perlu saya buat dalam membuang payudara sebelah kanan saya.
” Lagi saya terasa sedih kerana apabila bercakap pasal payudara, itu adalah aset wanita. Saya minta diberikan pilihan lain. Saya kemudiannya pergi ke PPUM dan buat pemeriksaan sekali lagi. Doktor di sana juga mencadangkan sama ada saya buang terus payudara sebelah kanan atau buat pembedahan rekonstruktif.”
Bukan senang Fiza hendak menerima keputusan doktor itu. Namun dia reda kini dengan apa yang berlaku. Tetapi pada peringkat awal dia memang sedih. Akhirnya dia ambil keputusan untuk membuat pembedahan rekonstruktif di Hospital Sunway.
Buat Rawatan Rekonstruktif
Fiza, 36 tahun, amat bersyukur kerana memiliki suami yang bertanggungjawab. Semasa dirinya sedih dan ‘down’, suaminya Mohd Roshdi Ramli adalah insan yang paling menyokongnya.
“ Suami saya ialah tulang belakang yang paling kuat dan dekat sebab semasa saya dalam tempoh saya sedih. Tanpa saya sedar dia juga telah mendaftarkan saya untuk mengikuti program kesedaran kanser payudara.
” Apabila dia bawa saya ke sana, saya tengok ramai lagi pesakit yang lagi teruk daripada saya. Ketika itu saya ada bertemu dengan seorang wanita berumur berbangsa Cina dan saya menangis di hadapannya.
” Dia bertanya kenapa saya bersedih. Dia beritahu saya bahawa dia sendiri juga adalah pesakit kanser payudara dan sudah 30 tahun dia survived. Umurnya kini dalam lingkungan 60 tahun lebih.
” Wanita itu menasihati saya agar jangan takut dan ikut sahaja apa kata doktor sarankan. Dia juga minta saya jangan fikir kanser ini boleh mati dan minta saya buat pembedahan dengan segera.
” Daripada wanita itulah saya mendapat kekuatan. Terus saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan.
” Saya perlu buat rawatan rekonstruktif agar saya tidak rasa ‘down’ dan rasa cacat. Tetapi dalam pada saya rasa takut itu, ada saya ayat daripada suami yang buat saya rasa kuat. Dia cakap kenapa awak hendak rasa down kalau payudara sebelah kanan itu tidak ada.
” Malah suami telah hashtag di Instagram dan tunjuk kepada saya beberapa gambar pesakit kanser payudara yang tidak ada kedua-dua payudara mereka. Memang suami banyak sokong saya selain daripada emak, ayah, ahli keluarga dan kawan-kawan lain,” ceritanya panjang lebar.
Sentiasa mendapat sokongan suami dan keluarga
Jalani Rawatan Dengan Tenang
Sewaktu ditemui, Fiza baru sebulan habis menjalani rawatan radioterapi. Dia telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitaran.
“ Saya bersyukur kerana dapat menjalani rawatan tersebut dengan tenang. Saya rasa tidak susah buat kemoterapi. Saya tahu semua orang takut buat kemoterapi. Itu juga perasaan saya pada mulanya. Takut juga. Tetapi bila sudah buat, saya tidak rasa apa-apa pun. Selepas habis kemoterapi saya menjalani radioterapi selama 15 kali di Institut Kanser Negara.”
Melalui rawatan demi rawatan amat memeritkan. Namun Fiza kuat semangat untuk melaluinya apabila melihat keadaan pesakit-pesakit lain yang turut menjalani rawatan yang sama.
“ Kalau kita menjalani kemoterapi sebagai contohnya di Hospital Sunway, kita akan dapat tengok lagi ramai orang yang lebih teruk daripada kita. Ada yang tidak boleh berjalan dan hanya mampu duduk di kerusi roda.
” Jadi kita yang boleh berjalan dan bercakap ini tidak perlu rasa takut. Ketika itu saya cuba alihkan tumpuan minda dengan beranggapan saya hanya buat rawatan masukkan vitamin C dalam badan supaya tidak rasa takut.
” Saya dapat atasi enam kitaran itu dengan baik. Memang ada kesan sampingan seperti rasa pening, mual, loya, muntah, penat dan letih. Tetapi selepas rawatan kemoterapi saya akan makan terlebih dahulu sebelum balik ke rumah.
” Rambut saya gugur selepas kemoterapi kedua. Tetapi itu pun suami yang tolong cukur dan licinkan kepala saya kerana jika tidak rambut masih akan gugur dan melekat di bantal apabila berbaring. Sekarang ini rambut saya sudah tumbuh dengan lebatnya.”
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini gembira dengan perkembangannya sekarang. Dia hanya perlu mengikut nasihat doktor dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang.
“ Tidak ada pantang larang dalam pemakanan. Doktor menasihatkan saya agar tidak percaya dengan khabar angin. Saya boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuatiti sederhana,” ulasnya lagi.
Sama Seperti Dahulu
Jelas Fiza tidak banyak perubahan berlaku dalam hidupnya sebelum dan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
“Bagi mereka yang mengenali diri saya, mereka tahu saya seorang yang ceria. Saya rasa sekarang ini pun saya masih ceria seperti dahulu. Cuma satu fasa saya rasa down apabila saya disahkan ada kanser.
” Tetapi selepas buat pembedahan dan dengan kata-kata nasihat orang, saya masih Fiza yang dahulu. Saya tidak pernah fikir yang saya ada kanser. Tetapi kadang-kadang perasaan itu datang dan saya elakkan untuk melayannya. Saya tidak mahu rasa saya ini sakit malah saya masih boleh bekerja.
” Saya positif sebab bila saya fikir masih ramai lagi orang yang kita sayang dan orang yang sayang kita, buat apa kita hendak rasa takut dan tidak ada semangat. Sebenarnya kita perlu fikir mengenai orang lain yang lagi teruk daripada kita keadaannya.”
Nasihatnya kepada wanita yang disahkan menghidap kanser payudara atau sebarang kanser, pertama sekali mereka boleh rasa down atau putus asa.
“Tetapi jangan ambil masa terlalu lama sebab kita perlu ingat orang-orang yang sayang kita. Kalau kita tidak sayang diri kita, sekurang-kurangnya kita perlu ingat kita ada anak yang memerlukan kasih kita.
“Jangan terlalu down atau stres kerana bila kita stres, kanser ‘suka’. Sel kanser ini bijak. Jadi kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran kita perlu buktikan pada kanser kita yang kita lebih bijak daripadanya kerana kita yang mengawalnya.
” Oleh itu jangan sesekali rasa hidup ini pendek. Buat apa yang kita suka dan teruskan kehidupan seperti biasa. Kita perlu ingat masih ramai orang yang lebih teruk daripada kita ujiannya. Ujian yang kita lalui ini tidak seteruk orang lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Foto: Tuan Azman dan Koleksi peribadi Siti Norhafiza Kamarudin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Beruntung suami yang dapat pandang muka isteri itu hari-hari. Beza suami isteri ini yang terpisah beribu kilometer. Isteri di Ipoh, Perak suami di Matu, Sarawak.
Jarak lautan memisahkan keduanya. Ketika berdepan emosi kehilangan selepas keguguran kali kedua, isteri terpaksa melalui sendirian. Suamilah insan paling diharap tiada di sisi.
Segalanya perlu dilalui demi menggalas tugas masing-masing. Kerjaya guru di Sarawak, memungkinkan suami cuma mampu memberi kata semangat dari corong telefon.
Sungguh! biarpun nampak isterinya kuat dan tabah. Suami sentiasa sedar, bukan mudah untuk isteri sorok perasaan hibanya sendiri.
Catatan lalu untuk isteri dikongsi Sofuan Saadon, betapa tak mudah untuk menjalani sebuah hubungan PJJ, namun tak mustahil untuk berjaya. Syaratnya percaya hikmah yang tuhan mahu berikan.
Isteri Keguguran Kali Kedua, Laluinya Tanpa Suami Di sisi
Menjadi lumrah, setiap pasangan yang telah berkahwin pasti menginginkan zuriat sebagai penyeri dalam rumahtangga.
Ada pasangan yang sabar bertahun-tahun untuk ini sehinggalah hadir ketika saat tak dijangka. Ada pula yang belum dikurniakan rezeki cahaya mata walaupun telah pelbagai usaha dilakukan.
Aku dan isteri tidak terkecuali.
Alhamdulillah, minggu lepas, isteri menjalani pemeriksaan kehamilan di klinik ditemani rakan dan telah sah hamil enam minggu. Syukur pada tuhan.
Namun, sememangnya dah nama manusia, kita hanya mampu merancang tetapi tuhan jua yang menentukan segala.
Baru tadi, aku dapat perkhabaran daripada isteri sendiri berserta esak tanggisnya bahawa telah keguguran selepas pemeriksaan dijalankan untuk kali kedua. Itupun selepas berasa kurang selesa pada bahagian dalam perutnya sebelum itu.
Sejak berkahwin, isteri banyak melakukan perkara seorang diri.
Dia memang seorang yang berdikari. Malah, sebelum berkahwin pun.
Lima tahun di Kelantan tanpa saudara terdekat. Mujur ramai kawan di sana yang banyak membantu memudahkan urusan isteri apabila setiap kali ditimpa masalah.
Sekarang di Ipoh masih tinggal seorang diri. Namun, kali ini lebih baik kerana ada kakaknya di sana walaupun tidak tinggal sekali.
Beruntung Mereka Yang Dapat Pandang Muka Isteri Hari-hari
Aku pernah cakap dulu.
Perempuan ini kuat dan tabah. Tapi mereka tak pandai nak sorok perasaan sendiri.
Jika mereka gembira, tidak sekadar tunjukkan mereka gembira, tapi mereka akan beritahu orang lain perasaan bahagia itu.
Begitu jika ketika mereka sedang bersedih. Air mata menjadi peneman yang paling setia.
Isteri diberikan cuti selama dua minggu untuk proses pemulihan.
Beruntunglah mereka yang dapat menatap wajah orang tersayang setiap hari. Kami? Insya Allah, saat itu akan hadir suatu hari nanti.
Tujuh minggu yang memberi pengharapan, makna dan bahagia. Seketika cuma. Insya Allah, ada hikmahnya.
“Tak semua sesuatu itu kita akan kita peroleh mengikut masa yang kita mahukan. Kita tak dapat hari ini, bukan bermaksud kita tak akan dapat selamanya. Allah sebaik-baik perancang. Lebih banyak rezeki lain yang dikurniakan kepada kita tanpa kita pernah sedari.”
Nota MW : Oleh itu wahai suami, janganlah pernah sekali kau kata bosan setiap kali memandang wajah isteri. Kerana bila tuhan menguji kau terpaksa berjauhan dengan isteri beribu batu.. lama pula itu. Percayalah, kata-kata ‘bosan’ itu akan makan diri.
Pernahkah suami menyatakan betapa dia amat mencintai anda? Apakah suami malu mengakui kegilaannya kepada anda di hadapan kawan-kawannya? Sesungguhnya agama kita menyuruh untuk membesarkan dan mengagungkan cinta kepada isteri.
Sehinggakan Rasulullah s.a.w tidak malu menyatakan betapa baginda mencintai Aisyah RA dengan pengakuan yang membanggakan. Rasulullah s.a.w ditanya oleh seorang sahabat: “Siapakah orang yang paling engkau cintai? Baginda bersabda: Aisyah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Cinta terunggul akan wujud apabila bersatu rasa kagum, hormat, setia, tergila-gila, taat, ikhlas yang diadun dalam rasa kasihan belas dan cinta berahi yang gelora. Sebagai isteri jangan hanya menunggu untuk dicintai tanpa berusaha menambat hati suami. Bagaimana cara agar anda dan pasangan saling mengilai satu sama lain?
1. Suburkan Cinta Dengan Ibadah
Mencintai pasangan adalah ibadah yang paling panjang, tiada ibadah lain selama dan sepanjang sebuah perkahwinan. Semua perbuatan kita dikira sebagai pahala dari yang amat ringan semanis senyuman hingga yang amat berat saat menjaga hati pasangan.
Segala ibadah itu berkumpul daripada sekecil-kecil perkataan yang baik, memuji dan memuliakan pasangan, menasihati dengan kasih sayang, sehinggalah sebesar-besar perjuangan memberi makan dan pakaian, mengurus rumah tangga, mendidik akhlak dan menanam roh agama.
Segalanya dikira ibadah walau mengelap debu-debu dalam rumah sehinggalah menahan sabar ketika dilayan dengan kebencian. Semua itu jika dilakukan secara ikhlas akan melahirkan rasa belas kasihan yang berpanjangan, jauh lebih bermakna dari berahinya cinta semusim.
Ikhtiar untuk mengekalkan cinta kepada suami merupakan ibadah, mengkaji dan menuntut ilmu tentangnya juga ibadah. Cinta yang tumbuh dalam rumah kita bergantung dengan seberapa besar cinta kita kepada Allah dan benci yang merebak dalam rumah tangga juga berkait rapat dengan dosa dan maksiat yang dilakukan.
Oleh itu perjuangan mencintai suami anggaplah jihad yang paling berat timbangan pahalanya di akhirat, supaya jika isteri letih dengan kerja seharian masih sudi bangun bila suami bangunkan untuk meminta khidmatnya.
Betapa berat melayan suami dalam keadaan emosi yang tidak stabil, jika isteri niatkannya untuk mendapat pahala sabar maka Allah limpahkan kepadanya pahala itu.
Suami pula terpaksa akur dengan kerenah isteri demi menjaga komunikasi sentiasa harmoni, begitu mudah pahala didapati dengan hanya diam bila isteri cuba buat provokasi. Hubungan sebegini terus dijalinkan bertahun lamanya demi mendapat pahala ibadah berumah tangga.
Sehinggalah mereka terbiasa dengan ujian cinta dan meyakini bahawa pasangan mereka itu adalah ladang pahala, ia akan kemarau jika rasa cinta keduanya kekeringan.
2. Semai Rasa Kagum, Hormat Dan Bertuah
Dengarkanlah suara-suara mereka yang mengagumi suami anda, menghormatinya di tempat kerja dan memujinya sebagai insan mulia dengan sederet jasa-jasa dalam keluarga dan masyarakat.
Jangan tumpukan perhatian anda pada aibnya, kelemahannya dan dosa-dosa yang anda lihat di dalam rumah. Tiada siapa yang sempurna, dia bukan malaikat dan apalah bezanya dengan diri anda yang juga kekurangan? Raikanlah rasa bertuah mendapat pasangan yang Allah pilihkan.
Bukankah suami adalah ‘tanda kebesaran Allah’ kepada diri anda yang lemah? Sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Rum ayat 31: “Dan di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya dalam yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Jika timbul rasa marah cuba sejukkan dengan melihat wajah suami yang merupakan tanda kebesaran Allah yang mesti anda syukuri. Suami pula jangan kasari isteri jika dia tidak taat tapi hadirkan rasa bertuah kerana wajah isteri itu merupakan tanda kebesaran Allah agar suami mendapat pahala sabar dalam pergaulan rumah tangga.
3. Berkorban Demi Cinta
Mengapa Rasulullah s.a.w masih mengingati ummul mukminin Khadijah sebagai cinta pertamanya ketika berada dalam bilik Aisyah RA? Rasulullah s.a.w bersabda: “Dialah wanita yang pertama beriman kepadaku pada saat orang-orang di sekelilingku kafir. Dialah wanita pertama yang membenarkanku pada saat manusia ramai mendustaiku. Dialah satu-satunya wanita yang mengorbankan harta bendanya untukku pada saat manusia enggan menolongku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Cinta pertama yang tak mungkin dilupakan, membekas hingga ke lubuk hati yang paling dalam. Mungkinkah anda mampu menambat hati suami sebagaimana Ummul mukminin Khadijah merantai hati
Rasulullah s.a.w? Pengorbanan apa yang sudah kita lakukan untuk pasangan padahal mulut kita asyik mengaibkannya dan mengeluhkan kekurangannya?
Cinta hendaklah dikawal dengan keikhlasan, jika isteri mencinta suaminya kerana Allah dan membenci kerana Allah maka inilah segila-gila cinta yang diredai-Nya. Bermohonlah agar anda dan suami sentiasa dihidupkan dengan mata air cinta yang diceduk daripada kisah para hamba pencinta Allah SWT.
Penulis : Dato’ Dr Haji Juanda Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam
Kredit foto : Budiey.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...