Ada Cara Untuk Mak Menang Kes Hak Penjagaan Anak Di Mahkamah

Share

Terjadinya penceraian dalam rumah tangga, selain pembahagian harta, anak-anak juga perlu dipisah jagaan harian baik belah ibu mahupun bapanya. Turun naiklah mahkamah, kedua suami isteri untuk selesaikan hal yang merumitkan ini.

Di pihak isteri tentunya paling gusar sekali. Biar pun umumnya, hak penjagaan lebih berpihak pada ibu sekiranya ibu memenuhi ciri-ciri yang diakui oleh mahkamah. Ada juga yang jadi sebaliknya.

Lagi-lagi, jika suami berkeras menawarkan itu ini kepada ibu itu sendiri.

Sanggupkah ibu melepaskan anak-anak kepada suami dan sebagai balasan ibu terima tawaran ‘indah’ dari pihak suami. Ada juga kisah benar yang MW pernah berdepan ibu ini rela memberikan hak penjagaan pada suami sebagai syarat lafaz cerai untuknya.

Alangkah, terseksanya hidup isteri malang itu selepas itu terpaksa pula turun naik mahkamah mahu tuntut kembali hak jagaan anak. Jadi, mak-mak.. sebelum keputusan berat ini diambil, fikirlah semasak-masaknya.

Sebagaimana yang dilalui Puan Rehan Sidik

ini dalam memperjuangkan hak jagaan empat orang anak-anaknya. Benar tidak mudah, namun lihatlah apa matlamat asal yang dipegang sehingga Allah mudahkan jalan wanita ini.

Anak Atau Harta

Apabila terpaksa membuat pilihan, saya memang akan memilih anak. Walau berapa pun yang mereka tawarkan.

Tuan Hakim, tolonglah jangan pisahkan saya dengan anak-anak. Saya merayu. Saya akan perjuangkan mereka berempat sehingga titik yang terakhir. Itu janji saya.”

Suatu masa dulu, saya pernah berdepan dengan situasi ini. Memilih antara harta dunia dan harta akhirat, iaitu anak-anak.

Hanya Allah dan keluarga sahaja yang tahu bagaimana saya berjuang untuk menuntut hak Hadhanah (hak penjagaan anak-anak ) ini. Ia bukan semudah seperti drama di televisyen. Jalannya sukar dan penuh dokumentasi.

Namun, betapa saya cukup yakin dengan pilihan ini apabila saya diminta untuk membuat keputusan di hadapan barisan peguam dan hakim semasa perbicaraan.

Menggigil? Gementar?
Takut salah buat pilihan?

TIDAK SAMA SEKALI!!

Kerana saya sudah pun bertanya Allah terlebih dahulu. Solat Istikharah menjadikan hati saya cukup yakin dengan pilihan ini. Lancar sahaja saya mengatur baris-baris kata semasa di kandang bicara.

Alhamdulillah.

Allah telah berikan saya 1000 kekuatan, agar saya tegas dengan pendirian. Kerana saya tidak sanggup berpisah walau salah seorang daripadanya.

Saya sedar, nilaian harta yang ditawarkan ketika itu cukup lumayan dari pihak defendan.

Biarlah. Harta itu walau tinggi nilainya di dunia, tapi ia tiada jiwa, tiada nilainya di akhirat nanti. Anak-anak ini ada jiwanya dan amanah yang perlu saya jaga sampai bila-bila.

Ini Cara Mahkamah Nilai Kelayakan Mak Untuk Hak Penjagaan Anak

Mama yang sedang berjuang seperti saya dulu, jangan risau. Di sini saya berikan beberapa pertimbangan yang diambilkira oleh pihak mahkamah dalam menentukan hak penjagaan anak-anak ini.

1. Sekiranya anak itu masih kecil, di bawah 7 tahun untuk kanak-kanak lelaki dan di bawah 9 tahun untuk kanak-kanak perempuan, hak penjagaannya adalah ibu.

2. Jika ibu itu memenuhi kriteria iaitu seorang Islam, sempurna akal, berumur yang melayakkan dia menjaga dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak serta berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah, hak penjagaannya ialah ibu.

3. Jika si ibu berkahwin lain dan perkahwinan itu menjejaskan kebajikan anak-anak, jika ibu berkelakuan buruk secara terbuka, jika ibu menukar pemastautinan ke negeri atau negara selain tempat asal si ibu dengan tujuan untuk menjauhkan anak dari ayah, hak penjagaan boleh berpindah kepada si ayah

4. Siapakah pilihan anak setelah berumur melebihi 7 tahun untuk lelaki dan 9 tahun untuk perempuan, maka si ayah mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapat hak penjagaan anak

5. Mahkamah sangat mengambil kira KEBAJIKAN anak-anak sebagai pertimbangan yang paling utama. Teruskan berjuang

Han, jangan risau. Hukum syarak dan undang-undang telah memperuntukkan seorang ibu lebih berhak ke atas anak-anaknya. Jika diikutkan kelima-lima pertimbangan ini, Insya Allah kes Hadhanah ini, kita akan menang

.”

Allahuakbar.

Ujian Allah Itu Bersebab

Sujud syukur saya kepadaNya, apabila tuan peguam juga memberikan kata penguat semangat. Nampak ada sinarnya untuk saya dan anak-anak.

Iya. Ujian Allah itu ada sebabnya, walaupun perit pada permulaannya dan di akhirnya penuh hikmah dan ibrah.

Yang penting, pada waktu itu, saya perlu usahakan untuk sentiasa mencari jalan penyelesaian. Bukan sekadar bersedih, dibayangi rasa trauma dan menganiayai diri, anak-anak dan keluarga sehingga jauh tersasar dari rahmat dan jalan Allah.

Saya akui, sebagai seorang Muslim, hanya satu yang perlu saya utamakan iaitu untuk mendapat redha dari Allah.

Saya takkan mungkin kekal di dunia. Anak-anak dan keluarga akan ditinggal jua. Tiba masanya saya akan kembali kepada-Nya. Bila-bila masa sahaja. Dan saya mahu kembali dalam keadaan yang tenang dan sempat untuk memperjuangkan anak-anak syurga saya.

Sumber/Foto : Rehan Sidik

#AcikBawangIdola
#PerjuangkanSyurgamu

Published by
webadmin