Sana sini cukup meriah, mana tidaknya bendera biru muda, biru tua dan hijau mewarnai tiang-tiang di jalan raya. Sampaikan anak-anak saya pun turut bertanyakan saya, “Mama pilih yang mana?” Walaupun mereka tak faham tentang apa itu mengundi dan untuk apa. Tapi sekurangnya anak-anak turut merasa bahang hari yang dinantikan oleh rakyat setiap lima tahun sekali.
Pada masa yang sama, orang ramai turut menghitung hari..hanya dua hari lagi untuk memangkah pilihan mereka yang akan menerajui negara mahupun kawasan-kawasan tempat tinggal mereka yang boleh menjaga kebajikan rakyat.
Bukan untuk berkempen tapi, inilah masanya untuk kita tunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat. Rata-rata, sanggup membeli tiket atau suami isteri yang satu kampung, sudah tentu akan pulang bersama-sama. Malah, ada juga yang sudah menukar tempat mengundi mengikut kawasan tempat tinggal mereka.
Saya? Nama saya masih ada di tempat mengundi di negeri kelahiran saya. Suami pula, mengundi di negeri Selangor. Memang kena betul-betul merancang agar kami dapat balik mengundi. Soal siapa sokong siapa tidak jadi masalah sebab kita kena saling hormat menghormati pilihan masing-masing.
Walau bagaimanapun, tak kisah la, kat mana sahaja tempat untuk anda membuang undi yang penting kita tunaikan tanggungjawab dan jangan ada undi hantu pula.
1. Masa nak balik, sila sediakan bekalan makanan dan minuman yang mencukupi sepanjang perjalanan.
2. Selit doa dan istighfar sepanjang perjalanan semoga diberikan kemudahan dan perlindungan.
3. Kalau nak bawa anak, pastikan ada sesuatu yang buat anak seronok tak ganggu maknya. Mainan yang boleh buat anak ralit atau mungkin buku.
4. Bercerita di dalam kereta atau menyanyi atau main teka teki.
5. Sediakan pampers lebih dalam beg. Nanti tak cukup lagi haru.
6. Sewaktu memandu sila berhenti jika mengantuk. Jangan ambil risiko.
7. Pastikan ubat-ubatan ada dalam beg untuk kecemasan.
8. Paling penting jangan lupa bawa IC sewaktu mengundi.
Selamat mengundi!