Ada Anak Atau Tidak, Bahagian Faraid Isteri-Isteri Tetap Dibahagi Sama Rata
Gambar sekadar hiasan. / Kredit foto : www.brilio.net

Kenapa isteri-isteri kena faham bahagian faraid masing-masing? Kerana, ilmu Faraid yang dikongsikan Peguam Syariah, Roslina Sabiyah & Co ini berkaitan dengan bahagian untuk isteri. Sama ada anda isteri pertama, kedua, ketiga mahupun keempat.

Bagaimana cara pengiraan Faraid bahagian isteri yang sepatutnya setiap isteri hadamkan. Tidaklah nanti timbul perbalahan di kemudian hari.

Mudahnya Belajar Faraid (Bahagian Isteri)

Kenapa nak mulakan dengan bahagian isteri dulu? Sebenarnya tak kisah mana dulu, cuma yang paling banyak soalan pasal faraid ini diajukan dari pihak isteri. Biasalah, isteri kan minister of finance merangkap minister of home affairs kan.. mestilah dia nak kena tau hak dia dulu.

Walaupun isteri yang paling banyak menyumbang dalam pencarian aset dan harta suami, hakikatnya bahagian isterilah yang paling sikit.. inilah fakta yang ramai isteri-isteri terlepas pandang.

Bahagian faraid isteri ada 2 keadaan :
– 1/4 : bila si mati TAK ADA anak
– 1/8 : bila si mati ADA anak

Dalam pembahagian faraid si mati suami, kita tak tengok isteri mana yang ada anak atau tak.. tapi yang kita tengok ialah SI MATI ada tinggalkan anak atau tak? Kalau ada.. bahagian isteri-isteri akan dibahagi sama rata tak kira sama ada isteri tu ada anak atau tak ada.

Contoh pengiraan :

IKLAN

1) Si mati meninggalkan 2 orang isteri. Isteri pertama ada 2 orang anak, isteri kedua tak ada anak. Berapa setiap isteri akan dapat? 1/8 bahagi 2 isteri kerana si mati ada anak. Maka setiap isteri akan dapat 1/16 (walaupun isteri kedua tak ada anak dia tetap dapat 1/16 juga).

2) Si mati meninggalkan 2 orang isteri. Isteri pertama tak ada anak, isteri kedua seorang janda yang ada 2 orang anak (anak dengan suami terdahulu). 1/4 bahagi 2 isteri kerana si mati tak ada anak. Maka setiap isteri akan dapat 1/8 (walaupun isteri kedua ada anak dengan suami terdahulu). Anak tiri tidak mewarisi harta pusaka daripada bapa tiri.

3) Si mati meninggalkan 4 orang isteri dan ada anak. Setiap seorang isteri akan dapat 1/32 tak kira isteri tu ada anak ramai atau tak ada anak langsung, bahagian mereka sama sahaja.

Ini Yang Isteri Pertama Boleh Tuntut Selain Bahagian Faraid

Kalau macam tu tak adil la isteri pertama pun dapat bahagian sama dengan isteri muda. Isteri pertama dah kawin 20 tahun.

IKLAN

Isteri muda baru je kawin setahun tapi dapat bahagian yang sama juga.

Sebenarnya, untuk isteri pertama mereka boleh dapat bahagian faraid dan juga boleh tuntut harta sepencarian ke atas harta suami yang dibeli dalam tempoh perkahwinan mereka.

Isteri muda hanya berhak ke atas bahagian faraid tetapi tidak berhak menuntut harta sepencarian tersebut melainkan harta baru yang dibeli sebaik tempoh mereka mula berkahwin.

IKLAN

Secara ringkasnya, sifir faraid isteri-isteri ialah :

Jika si mati (suami) ada anak :
1 isteri – 1/8
2 isteri – 1/16
3 isteri – 1/24
4 isteri – 1/32

Jika si mati (suami) tiada anak :
1 isteri – 1/4
2 isteri – 1/8
3 isteri – 1/12
4 isteri – 1/16

Mudahkan kalau dah faham? Biar tahu jangan keliru.

Artikel berkaitan :

Sumber/Foto : Roslina Sabiyah & Co.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI