Acu Pisau & Paksa Anak lelaki 13 Tahun Solat, Bapa Dipenjara 12 Bulan.

Share

Tular di dada akhbar mengenai berita seorang bapa menerima hukuman penjara 12 bulan selepas melakukan ugutan jenayah terhadap anak lelakinya baru-baru ini.

Majistret, Don Stiwin Malanjum, memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah daripada tertuduh, Ardi Aris, 32, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap anak lelakinya, Zack Azroy, 13, dengan mengacukan sebilah pisau di rumah keluarga mereka di Batu 8 Jalan Tiku, Tawa, Sabah sekitar jam 9 pagi, 4 Ogos lalu.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku semasa tertuduh datang ke rumah bekas iparnya, secara tiba-tiba meluru ke dapur dan mengambil sebilah pisau lalu mendatangi mangsa sambil mengacu serta mengarahkannya supaya menunaikan solat.

Gambar Hiasan

Mangsa yang dalam ketakutan bagaimanapun bertindak menuruti arahan bapanya itu, sebelum ibu saudaranya menghubungi pihak polis.

Tertuduh yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta dan sudah bercerai dengan isterinya itu juga sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu kerana disyaki mengalami masalah mental.

Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon kepada Mahkamah supaya hukuman diringankan dengan alasan sudah insaf selain menyesal atas perbuatannya itu.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 4 Ogos 2023.

Solat merupakan ibadah yang wajib dikerjakan setiap 5 waktu. Tidak kira sama ada sihat, sedang sakit, di tempat kerja, bermusafir malah ketika berperang masih wajib untuk mendirikan Solat. Mendidik anak untuk bersolat adalah antara tanggungjawab paling besar bagi sebagai ibubapa.

 

Published by
Rosmah Idayu