
Tular di dada akhbar mengenai berita seorang bapa menerima hukuman penjara 12 bulan selepas melakukan ugutan jenayah terhadap anak lelakinya baru-baru ini.
Majistret, Don Stiwin Malanjum, memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah daripada tertuduh, Ardi Aris, 32, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap anak lelakinya, Zack Azroy, 13, dengan mengacukan sebilah pisau di rumah keluarga mereka di Batu 8 Jalan Tiku, Tawa, Sabah sekitar jam 9 pagi, 4 Ogos lalu.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku semasa tertuduh datang ke rumah bekas iparnya, secara tiba-tiba meluru ke dapur dan mengambil sebilah pisau lalu mendatangi mangsa sambil mengacu serta mengarahkannya supaya menunaikan solat.

Mangsa yang dalam ketakutan bagaimanapun bertindak menuruti arahan bapanya itu, sebelum ibu saudaranya menghubungi pihak polis.
Tertuduh yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta dan sudah bercerai dengan isterinya itu juga sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu kerana disyaki mengalami masalah mental.

Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon kepada Mahkamah supaya hukuman diringankan dengan alasan sudah insaf selain menyesal atas perbuatannya itu.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 4 Ogos 2023.
Solat merupakan ibadah yang wajib dikerjakan setiap 5 waktu. Tidak kira sama ada sihat, sedang sakit, di tempat kerja, bermusafir malah ketika berperang masih wajib untuk mendirikan Solat. Mendidik anak untuk bersolat adalah antara tanggungjawab paling besar bagi sebagai ibubapa.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Depresi Tahap Disorder, Bukan Sebab Kurang Iman, Ini PENYAKIT Perlukan Rawatan

Isi Kandungan
ToggleKata Assistant Psychologist, Aiman Amri (Aiman Psikologis) tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kesihatan mental ini masih jauh. Mereka boleh faham kencing manis atau darah tinggi itu satu penyakit, tapi sukar nak memahamkan ada jenis ‘depresi’ itu sebagai satu penyakit.
Sebab itu apabila dengar kisah wanita meroyan atau alami postpartum depression atau kemurungan segelintir minta mereka beristighfar dan ingat tuhan. Tak kurang juga yang menyatakan disebabkan mereka lemah iman. Walhal ada jenis depresi yang tak boleh ditangani lagi dengan sokongan sebegini. Ia perlu dirawat oleh pakar!
Sebelum menilai, mak mak sendiri kena faham sejelas jelasnya apa itu penyakit kemurungan. Aiman Psikologis terangkan dengan lebih mendalam dengan cara yang mak-mak akan mudah faham.
Kemurungan Kerana Kurang Iman?
Isu perkaitan kesihatan mental dengan soal iman seseorang merupakan topik yang tak akan habis didebatkan.
Saya seringkali bertukar pendapat dan fikiran (dan juga selalu berbahas) dengan golongan yang menganggap YA, kecelaruan mental itu disebabkan oleh kurangnya iman.
Ramai orang yang saya jumpa.
1. Yang mentah-mentah menolak hujah psikologi dan psikiatri dan fokus pada kerohanian semata-mata
2. Yang mengambil jalan pertengahan iaitu kedua-duanya perlu datang selari
3. Yang mengambil pendekatan sains perubatan saja dan tidak percaya pada peranan agama
Beginilah,
Dalam setiap perkara yang berlaku di dunia ini, Allah menyuruh kita untuk memenuhi syariatullah (undang-undang Allah) dan sunnatullah (undang-undang dunia). Kedua-dua perlu dipenuhi, tanpa meninggalkan satu yang lain.
Contohnya, PERUT LAPAR.
1. Syariatullah – Percaya bahawa Allah yang memberi rezeki dan memberi kekenyangan kepada kita (tawakal)
2. Sunnatullah – Tindakan mengikut hukum alam, iaitu perlu makan sesuatu agar perut dapat mencerna makan, dapat zat vitamin dll (usaha)
Celakalah seseorang yang berdoa sepanjang malam di atas sejadah mengharapkan Allah memberinya rasa kenyang di perut tetapi tidak mahu masuk dapur untuk makan.
Rugilah seseorang yang berusaha mendapatkan makanan tetapi meletakkan semata-mata kekuatan kepada makanan itu yang memberi kenyang, bukan sebagai asbab.
Rasulullah pernah berpesan kepada seorang sahabat yang meninggalkan untanya untuk pergi selesaikan sesuatu urusan. Apabila ditanya kenapa biarkan unta tak diikat, sahabat itu menjawab,
“Aku bertawakal kepada Allah yang Dia akan menjaga unta ini.”
Rasulullah pun membalas, “Ikat dahulu tali unta itu, baru kamu bertawakal kepada Allah.”
Kisah ini memberi signifikan besar kepada kita yang pentingnya USAHA datang bersama dengan TAWAKAL.
Dapatkan Rawatan Perubatan Daripada Psikiatris
Dalam isu kesihatan mental dan perkaitan dengan iman,
Tidak dinafikan pentingnya peranan agama dalam memberi kekuatan kepada seseorang untuk terus bertahan, menerima qada’ dan qadar, percaya kepada hikmah disebalik ujian oleh Allah. TAWAKAL.
Namun ia juga mesti disertakan bersama USAHA untuk memberi penyembuhan kepada pejuang-pejuang kecelaruan mental ini dengan mendapatkan rawatan perubatan oleh Psikiatris, menjalani sesi psikoterapi dan sebagainya.
Faktor kekuatan rohani itu merupakan pelengkap kepada proses penyembuhan sesuatu penyakit, tetapi bukan sebagai semata-mata pengubat.
Seperti mana apabila ada kawan jatuh longkang dan patah kaki, kita membawa dia ke hospital untuk dapatkan rawatan, bukan ke masjid untuk solat hajat baginya. Tetapi bukan pula menafikan peranan redha, bersabar dan zikir sebagai sumber kekuatan dia untuk menempuh kesakitannya.
Begitu juga pesakit kanser contohnya, pentingnya untuk mengingati Allah, berselawat ketika kesakitan dan mendampingi Al-Quran untuk dapatkan kekuatan untuk terus bertahan. Namun, pesakit ini tetap perlu menjalani rawatan chemotherapy, radiotherapy dll. Bukan semata-mata mendekati Tuhan.
Sepanjang kesakitan dan kesengsaraan para pejuang kecelaruan mental dalam proses rawatan dan terapi itu, perlunya mereka mempunyai kekuatan spiritual dan mental untuk bertahan sakit, percaya ini ujian daripada Tuhan, ada hikmah tersembunyi dan lain lain.
“And whoever turns away from My remembrance – indeed, he will have a depressed life…” – Surah Taha, ayat 124
“Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati-hati menjadi tenang tenteram.” – Surah Ar’Ra’d, ayat 28
Ayat-ayat ini yang sering dikaitkan dengan ‘ubat’ kepada kemurungan. Benar, memang dengan ayat-ayat Allah itu menenangkan hati yang sedang gelisah.
Bezakan Depresi Perasaan & Depresi Mental Disorder
Tetapi kita perlu bezakan dahulu antara depression (perasaan/emosi) dan depression (mental disorder). Ia tidak sama dan nyata sekali berbeza. Ayat Al-Quran ini banyak menyentuh mengenai depression perasaan tertekan, dan bukan kepada penyakit/kecelaruan mental.

Jika tertekan kepada perasaan, ya. Memang dengan mengingati Tuhan, membawa kepada ketenangan dan tenteram.
Tetapi depression yang merujuk depressive disorder, ia sebuah penyakit yang nyata, dan bukan lagi sekadar “hati gelisah”. Maka, ayat-ayat zikrullah ini berfungsi sebagai pelega sementara, untuk menghadapi kesakitan ini.
Analoginya, depression pada perasaan ini seperti batuk-batuk tekak gatal. Maka ayat zikir-zikir Allah ini seperti air asam jawa. Melegakan tekak, menenangkan kerongkong yang gatal-gatal.
Tetapi depression pada disorder pula, ia sudah tahap penyakit kanser paru-paru. Maka, batuk-batuk gatal tekak itu hanya simptom dan kesan, bukan punca penyakit sebenar. Jadi, air asam jawa tadi hanya pelega sementara untuk hilangkan perit di tekak, dan tetap perlu berjumpa doktor untuk tahu kanser sudah tahap berapa, saiz besar mana dan jalani rawatan untuk pulihkan.
Sebab istilah “depressed life” digunakan (terjemahan ini tak tepat pun sebenarnya daripada perkataan Arab), maka seringkali orang tertukar ayat-ayat Allah sebagai ubat kepada depression.
Maka, jadilah hujah-hujah seperti “orang depressed lemah iman” dan “pengubat depresi ialah ingat Tuhan.”
Pendek kata, isu rohani bukan PENYEBAB atau PENYEMBUH, tetapi PELENGKAP yang menepati apa yang jasad dan roh seseorang itu perlukan, saat perjuangan dalam rawatan tersebut.
Jangan Takut Untuk Dapatkan Rawatan
Pendidikan mengenai kesihatan mental ini masih panjang di Malaysia. Isu stigma, salahfaham dan salah diagnosis merupakan cabaran utama kepada para pejuang dan keluarga, yang menyebabkan kes-kes kecelaruan mental semakin kronik dan melarat, tetapi takut untuk mendapatkan rawatan kerana faktor stigma dan dipandang pelik oleh orang lain.
Bak kata Dr Brock Chisholm, iaitu Director-General pertama World Health Organisation pada 1953 dahulu,
“Without mental health, there can be no true physical health.”
Semoga satu hari nanti rakyat Malaysia akan lebih terbuka dan menganggap kepentingan menjaga kesihatan mental sama pentingnya seperti kesihatan fizikal seharian kita, amin…
Jika kita boleh bimbang dan peduli dengan penyakit diabetes, kenapa tidak depresi?
Sumber/Foto : Aiman Psikologis
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dr Zaharuddin Abd Rahman Kongsi Amalan Doa Elak ‘Penyakit’ Kemurungan!

Isi Kandungan
ToggleTanda-tanda kemurungan tidak boleh dipandang ringan. Banyak kes yang berlaku, apabila sesorang mengalami kemurungan, lebih cenderung untuk bertindak di luar kewarasan fikiran seperti membunuh diri. Seeloknya apabila mempunyai simptom kemurungan, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.Dalam masa yang sama, jangan putus berdoa agar diberi kekuatan dalaman untuk mengatasi keadaan ini.
Antara tanda-tanda apabila mengalami kemurungan adalah seperti berikut;

Dr.Zaharuddin Abd Rahman ada berkongsi doa yang boleh dijadikan amalan ketika dalam keadaan kemurungan.
Berikut perkongsian tersebut;
Kemurungan yang serius yang boleh mendorong pesakit membawa kepada kematian melalui bunuh diri atu apa-apa tindakan yang boleh membahayakan diri sama ada secara sedar atau tidak adalah suatu jenis ‘penyakit’ yang merbahaya.
Antara puncanya adalah terlalu berat perhatian, tumpuan, kerisauan terhadap hal-hal berkait urusan dunia yang tidak diperolehi seperti yang diingini. Tidak dinafikan, ada juga faktor-faktor lain yang menjadi penyebab serta di luar kawalan.
Sebagai umat Islam, bagi mengelakkan kemurungan berbahaya yang berpunca dari faktor-faktor keduniaan seperti ini, maka bacalah dan amalkan doa ini …
اللَّهُمَّ َلاَ تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا ، وَلاَ تَجْعَلِ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا ، وَلاَ مَبْلَغَ عِلْمِنَا ، وَلاَ تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لاَ يَرْحَمُنَا
Ertinya :
“Ya Allah janganlah Kau timpakan musibah pada agama kami, dan janganlah juga Kau jadikan dunia ini sebagai sebesar-besar KERISAUAN & TUMPUAN kami serta (janganlah Kau jadikan) pengetahuan kami mengenai dunia semata-mata, dan janganlah Kau biarkan orang yang tidak mengasihani kami menguasai kami”
Doa ini dipetik dari doa yang lebih panjang, sumber doa adalah hadis riwayat Al-Tirmidzi bertaraf Hasan.
Sama-sama juga berdoa agar kita diberi panduan berterusan, kesabaran dan kekuatan terutamanya apabila berhadapan dengan pelbagai ujian..Bagi mereka yang sudah mempunyai simptom kemurungan, adalah sangat baik bagi mendapatkan rawatan dan ia perlu dilakukan dengan segera.
#DrZaharuddinAbdRahman

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Perbanyakkanlah berdoa dan jadikanlah doa ini sebagai satu amalan, semoga diri diberi kekuatan dalam menghadapi setiap ujian serta kesukaran yang di berikan. Jika mempunyai tanda-tanda kemurungan segeralah berjumpa doktor untuk membantu mendapatkan rawatan.
Sumber: Dr. Zaharuddin Abd Rahman
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kanak-Kanak Kini Terdedah Masalah Ketagihan Aktiviti dan Permainan Dalam Talian. Apa Perlu Ibubapa Lakukan?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesan media sosial ke atas kesihatan mental remaja di Malaysia kian mendapat perhatian. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, satu daripada empat remaja dilaporkan mengalami tekanan emosi, manakala satu daripada lapan remaja berumur 10-19 tahun menghadapi gangguan kesihatan mental, dan yang lebih membimbangkan, satu daripada 10 mempunyai niat untuk membunuh diri.
Angka-angka ini telah menunjukkan peningkatan berbanding lebih sedekad yang lalu. Apabila penggunaan media sosial di kalangan remaja semakin meningkat, kesannya terhadap kesihatan mental semakin membimbangkan. Kajian menunjukkan bahawa ini boleh mengakibatkan buli siber (cyber bully), keresahan dan kemurungan.

Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini, Dr Tee Bee Chin, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway berkongsi secara mendalam impak ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Sebagai seorang yang menitikberatkan kesihatan mental kanak-kanak, Dr Tee Bee Chin menekankan kepentingan mengesan tanda-tanda awal ketagihan aktiviti serta permainan dalam talian yang boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan.
Katanya, “Ketagihan terhadap aktiviti dan permainan dalam talian ini boleh mengakibatkan satu tindakbalas negatif dengan pantas. Ia sering menjadi masalah sekunder dalam masalah yang utama seperti kesukaran pembelajaran, konflik sosial dengan rakan sebaya, serta perbalahan keluarga. Ini boleh dilihat melalui tanda-tanda seperti mengasingkan diri daripada aktiviti harian, peningkatan kepada toleransi terhadap masa yang dihabiskan di hadapan skrin, dan keasyikan terhadap aktiviti dalam talian. Kami menggunakan asas piawaian untuk mendiagnosis ketagihan, seperti mempertimbangkan faktor-faktor seperti masa yang dihabiskan dalam talian, kesan ke atas kehidupan harian, serta kegagalan untuk mengurangkan masa yang dihabiskan di hadapan skrin.”
Dr Tee menekankan kesan ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian terhadap kanak-kanak di Malaysia, terutamanya terhadap kesihatan mental, dan berkata, “Ketagihan kepada aktiviti dan permainan dalam talian boleh mengakibatkan kesan negatif kepada seseorang. Penggunaan internet secara berpanjangan boleh menyebabkan keresahan, kemurungan, dan isu-isu kesihatan mental yang lain. Ini juga akan menjejaskan kehidupan seseorang kanak-kanak secara fizikal dan mental.”
Dr Tee juga berkata penyelidikan jelas menunjukkan hubung kait yang signifikan antara penggunaan media sosial yang ketara dengan gejala-gejala kemurungan, kegelisahan sosial, dan serta simptom fizikal yang menunjukkan keresahan terutamanya dalam golongan remaja perempuan. Tambahnya lagi, “Saya juga telah melihat hubung kait antara permainan video yang ganas dengan tingkah laku agresif pada kanak-kanak. Permainan yang melibatkan pencarian musuh atau menyelesaikan misi yang agresif boleh mencetuskan tindak balas yang ganas dalam tempoh yang singkat,” tambahnya.

Satu kajian terbaharu juga telah menunjukkan remaja yang terdedah kepada permainan video yang ganas dengan lebih kerap, boleh menunjukkan tahap kemarahan yang lebih tinggi, sering bertelagah dengan guru, penglibatan dalam pergaduhan fizikal yang lebih kerap, dan prestasi sekolah yang merosot.
Dr Tee menjelaskan punca-punca yang menyebabkan terjejasnya kesihatan mental di kalangan remaja:
- Buli siber: Platform media sosial boleh menjadi tempat bercambahnya kegiatan buli siber, yang kemudian membawa kepada keresahan, kemurungan, dan kurang keyakinan diri.
- Takut ketinggalan (FOMO): Pendedahan berterusan terhadap aktiviti orang lain yang kelihatan lebih menarik boleh mendorong perasaan FOMO, dan kemudiannya menyebabkan pengasingan diri dan keresahan.
- Ketagihan dan Perilaku Kompulsif: Media sosial yang mendorong kepada ketagihan boleh menyebabkan penggunaan yang kompulsif dan membuatkan seseorang memerlukan perakuan daripada orang lain (validation), mengakibatkan keresahan dan kemurungan apabila tidak mendapat perhatian.
- Kurangnya Interaksi secara Bersemuka: Terlalu bergantung pada media sosial untuk berkomunikasi boleh mengurangkan interaksi dalam kehidupan harian, menyebabkan kesunyian dan pengasingan sosial.
- Informasi yang Berlebihan (Information Overload): Pendedahan yang berterusan kepada berita yang membimbangkan, kandungan yang mengerikan atau yang mencetuskan panik di media sosial boleh meningkatkan tahap tekanan dan menjejaskan kesihatan mental.
“Pesakit sering kali mengalami stigma apabila mereka mendapatkan rawatan untuk kesihatan mental lantas menambahkan lagi penderitaan mereka. Saya pernah melihat kes remaja yang pada awalnya semakin pulih dengan terapi dan ubat-ubatan. Walau bagaimanapun dia mengalami masalah kesihatan semula setelah tidak meneruskan rawatan. Walaupun ini bukanlah penyebab secara langsung, ia berpotensi untuk menjadi masalah kepada remaja, terutama mereka yang mahu mendapatkan bantuan tetapi takut kepada stigma,” tambahnya.
Pelbagai Pendekatan Menangani Kesihatan Mental Kanak-Kanak
“Pelbagai rawatan dan terapi mesti disesuaikan kepada keperluan individu serta beberapa faktor lain seperti umur, sokongan, kebolehan yang sedia ada untuk mengatasi masalah (coping skills), ciri-ciri peribadi, serta penerimaan diagnosis atau rawatan oleh kanak-kanak dan keluarga mereka,” kata Dr Tee.

Pilihan rawatannya termasuk:
- Kaunseling untuk menangani stres
- Terapi tingkah laku kognitif (cognitive-behavioral therapy) untuk menangani pemikiran yang tidak membantu yang dikaitkan dengan gangguan kemurungan dan kegelisahan
- Terapi menghadapi kesedihan (grief therapy) untuk tekanan emosi akibat kehilangan orang tersayang
- Terapi trauma untuk mereka yang menghadapi trauma pada zaman kanak-kanak atau eskapisme yang tidak sihat melalui ketagihan internet
- Terapi bermain untuk kanak-kanak kecil untuk membolehkan mereka meluahkan fikiran dan perasaan mereka
- Terapi keluarga untuk menangani konflik keluarga yang mengakibatkan tekanan emosi
- Ubat-ubatan seperti antidepresan dan antikegelisahan untuk simptom yang teruk
Dr Tee menekankan bahawa pengesanan awal terhadap ketagihan dapat memberi manfaat kepada perkembangan kanak-kanak. Beliau berkata pengesanan dan rawatan yang tepat pada masanya boleh mengurangkan risiko bunuh diri serta meningkat mekanisme untuk menghadapi tekanan (coping mechanism) terutamanya bagi mereka yang bergelut dengan kemurungan, kegelisahan, serta kesepian semasa menjalani rawatan. Beliau juga menggalakkan ibu bapa untuk mendapatkan bantuan daripada pakar kesihatan.

“Ibu bapa perlu mencari rawatan dan nasihat yang sewajarnya daripada pakar kesihatan yang memahami cabaran untuk menghadapi ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian ini. Kumpulan sokongan boleh menawarkan pertolongan kepada para remaja yang berhadapan dengan cabaran ini. Mereka akan dapat merasakan ketenangan dalam persekitaran di mana orang dewasa dan rakan-rakan menerima mereka seadanya, tanpa perlu mengubah diri mereka.
“Untuk memastikan keberkesanannya, kumpulan sokongan khusus yang terdiri daripada pakar psikologi kanak-kanak yang terlatih dengan teknik kaunseling yang betul boleh memberi manfaat tambahan kepada rawatan untuk pesakit yang mungkin lebih selesa untuk berada antara mereka yang mengalami masalah yang sama. Meskipun media sosial adalah antara punca isu kesihatan mental di kalangan remaja, ia boleh digunakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dengan mendidik masyarakat mengenai situasi-situasi ini serta menyediakan pilihan yang boleh memberikan sokongan semasa krisis,” kata Dr Tee.
Tambahnya lagi, “Internet boleh digunakan, tetapi adalah penting untuk orang dewasa memberikan panduan. Mari kita bersama-sama menggalakkan penggunaan internet secara konstruktif – platform yang membolehkan kita berkongsi idea, menyelami seni dan kraf, mencari dan menjalankan hobi, serta mempertingkatkan kemahiran.”
Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Dr Tee menekankan akan pentingnya kita melindungi kesihatan mental kanak-kanak pada era digital ini. Mengenali tanda-tanda gangguan emosi, mendapatkan bantuan awal, serta memupuk persekitaran yang positif adalah penting untuk memastikan kesihatan mental bagi generasi anak muda ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI