Ini ikrar Mak Anjang atau nama sebenarnya, Noradidah Mokhtar dan suami, Pak Anjang yang jadi sukarelawan mencari runner yang hilang, Acap di kawasan Gua Tempurung; mahu cari sampai jumpa.
Mohamad Ashraf Hassan, 29 atau Acap ini sertai larian bagi kategori 25km anjuran Gopeng Ultra Trail. Sampai hari ini, dah masuk hari ke-12, Acap masih belum ditemui.
Antara sukarelawan yang turut serta dalam misi ini adalah Mak Anjang dan suaminya, Pak Anjang. MW menghubungi Mak Anjang untuk mendapatkan gambaran terkini tentang misi pencarian Acap yang masih misteri sampai ke hari ini.
Kongsi Mak Anjang, “Biarpun operasi SAR sudah ditamatkan, tetapi masih ada skuad elit dari bomba dan beberapa badan lain yang masih turun padang.”
Begitulah juga dengan mereka suami isteri, tidak akan berhenti mencari sehingga Acap dijumpai.
Kebetulannya, homestay Mak Anjang, Arena Makjang Homestay berada dekat dengan lokasi kejadian. “Jadi, Mak Anjang terpanggil untuk menaja lokasi penginapan. Sejak hari kedua hingga ke saat ini, memang kami tak caj apa-apa.”
“Dalam masa yang sama, kami turut mencari tajaan makanan daripada kawan-kawan terdekat dalam membantu memudahkan urusan orang lain.”
“Setiap hari kalau ada ustaz yang datang, kami akan bawa naik atas. Tak kira sesiapa pun, kerana itu satu-satunya usaha yang boleh kita bantu.”
“Setiap kali bawa naik ustaz, kami akan panggil Acap.”
Dan setiap kali itu jugalah Mak Anjang akan rasa sebak. Rasa macam panggil anak sendiri. Kebetulan anak Mak Anjang yang kedua, namanya Ashraf. Umur Acap pun sebaya dengan anak Mak Anjang yang nombor tiga.
“Rasa macam panggil anak sendiri setiap kali panggil, Acap.. Acap..”
Hingga dari ini, Mak Anjang percaya Acap masih hidup. Malah, orang lain pun percaya yang Acap masih hidup. Bagi Mak Anjang, “Tak kiralah Acap masih hidup atau tak, kami nak sangat jumpa Acap. Apatah lagi mak dan keluarganya.”
Setakat ini adalah beberapa kali Mak Anjang jumpa mak Acap. “Kami adalah bersembang. Mak dia memang serah segalanya pada Allah. Sebagai ibu dia sudah tentu nak anaknya balik
.”“Selalunya apa-apa hal Mak Anjang memang berurusan dengan abang Acap Denny Lang (Zahiruddin). Isteri dan anak Acap memang awal lagi dah balik Johor. Memang Mak Anjang tak sempat nak jumpa.”
Buat masa ini, mak dan ayah Acap menetap sementara di rumah mantan Ketua Kampung.
“Selain grup Mak Anjang, bomba pun Mak Anjang nampak masih tak putus asa. Mereka masih hantar tim dalam skala kecil.”
Keadaan cuaca di kawasan pencarian itu, pada sebelah pagi selalunya cerah. Manakala belah petang turun hujan. Itu membuatkan kawasan homestay Mak Anjang dah macam bendang.
“Mak Anjang dah pesan, kalau nak parking kereta masuklah dalam kawasan Mak Anjang ni. Bimbang nanti jadi apa-apa. Dekat kawan-kawan Acap yang datang pun Mak Anjang beritahu, jangan risau. Datang saja tidur rumah atau homestay Mak Anjang.”
Begitulah besarnya harapan Mak Anjang dan suami, Pak Anjang nak mencari Acap sampai jumpa.
Mak Anjang dan Pak Anjang ini dah terlibat dengan NGO sejak tahun 1990-an lagi. “Memang kami kaki panjat gunung. Jadi dengan pengalaman yang ada, kami harap sangat dapat bantu dalam misi mencari Acap.”
“Lagi pula kawasan ini berlaku dekat dengan tanah kami.”
Sempat juga Mak Anjang ulas tentang soal jalan ditutup. “Soal jalan ditutup tu sebab ada perkara-perkara khurafat, bagi Mak Anjang, kedua-dua pihak tak salah. Mantan Ketua Kampung menutup jalan atas kapasiti tanggungjawabnya menjaga penduduk kampung.”
“Manakala, mereka yang melakukan perkara-perkara yang khurafat itu adalah dengan niat dalam usaha mencari Acap. Kita kena hormat cara dan usaha mereka.”
Pernah sekali, ketika Mak Anajang mengikut misi mencari Acap dan terjumpa bomba. Mak Anjang saja tanya pegawai tersebut, macam mana bau mayat.
Pegawai itu kata. “Kalau mayat ni baunya lain macam. Bau yang sampai ke tekak. Bau mayat tak sama dengan bangkai. Oleh sebab itu, kami percaya yang Acap masih hidup.”
“Memang kalau mayat, dari jauh kita dah boleh bau.”