Abby Abadi Ingin Marissa Dania Hafaz Al-Quran

Share

Siapa tidak kenal Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan. Permulaan langkahnya dalam industri dikenali sebaik dia menganggotai kumpulan Elite. Dia juga popular sebagai pelakon dalam drama Gerak Khas. Ketika zaman kegemilangannya, siapa tidak kenal nama dan wajah wanita berusia 41 tahun ini.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Abby telah berubah sepenuhnya. Tidak ada lagi penampilan seksi. Sebaliknya ibu kepada tiga cahaya mata kandung dan dua anak angkat ini sudah mengubah corak hidupnya ke jalan Allah.

Hanya apabila baru-baru ini, dia mula berlakon semula, Abby kembali menjadi tumpuan ramai. Begitu juga apabila anak keduanya Marissa Dania Hakim, 14, mula jadi perhatian masyarakat dek kerana kecantikan yang dimilikinya.

Kesempatan masa cuti sekolah lalu digunakan oleh MW untuk mengadakan penggambaran bersama Abby Abadi dan anaknya Marissa Dania Hakim. Penggambaran yang dijalankan di kediaman Abby yang terletak di Hulu Klang ini berjalan dengan penuh lancar.

Walaupun Abby membenarkan wajah anaknya digandingkan bersama dalam penggambaran, tidak bermakna dia membenarkan anak-anaknya untuk menceburi industri seni.

“Sebenarnya saya tidak menggalakkan anak-anak masuk ke dalam industri seni. Anak saya terutamanya Danish suka dan minat benda-benda seni tetapi saya tidak menggalakkannya. Saya mahukan dia menjadi manusia yang beriman.

“Saya juga berharap biar penuh ilmu di dadanya agar dia tidak lalai dengan suruhan agama Islam. Dania pula memang tidak ada minat dalam bidang seni sebab dia sangat pemalu orangnya. Begitu juga dengan Danisha,” ujar Abby berkongsi tentang anaknya.

Walau apa pun yang dicita-citakan oleh anak-anaknya pada masa hadapan, hanya satu Abby harapkan, “Semua anak-anak saya perlu menghafal al-Quran.”

Berlakon Bukan Lagi Sumber Pendapatan

Beberapa tahun kebelakangan ini, Abby seakan menyepikan diri daripada dunia seni lakonan. Hanya baru-baru ini dia muncul semula dalam drama Gerak Khas musim terbaru pada awal tahun 2019 lalu. Apakah yang membuatkan pembawa watak Inspektor Aleza ini mengambil keputusan untuk kembali berlakon setelah lama meninggalkan drama tersebut?

“Sebenarnya saya tidak pernah cakap tidak mahu berlakon. Cuma saya akui kesilapan dahulu saya tidak berlakon dengan membawa nilai Islam. Pelbagai kelemahan yang saya ada. Saya tidak menjaga solat dan sebagainya. Saya akui, saya leka dan serba kekurangan. Kini saya sudah lebih bersedia dan lebih yakin mampu menjaga diri daripada pelbagai segi sebagai seorang muslimah. Inilah yang membuatkan saya kembali berlakon,”

ujarnya.

Katanya lagi, hanya drama itulah sahaja komitmennya dalam bidang lakonan. Dia juga tidak terlalu beria-ia mencari ‘job’ berlakon kerana sedar saingan dalam bidang lakonan sekarang ini terlalu ramai.

“Berlakon bukanlah sumber utama pendapatan saya sekarang. Minat saya lebih kepada bidang bisnes. Pada permulaannya saya menjual susu kambing di bawah jenama Umaima. Selepas itu saya buka butik dengan menjual jubah, blaus dan tudung.

“Koleksi jubah, blaus dan tudung saya diberi nama Kerna DIA by Abby Abadi. Saya banyak menjual jubah dan tudung kerana saya mahu menyediakan pilihan pakaian wanita yang menepati syariah. Keputusan saya menjual jubah dan tudung ini bukan ikutan semata-mata. Apabila orang menjual jubah saya pun nak jual jubah. Saya tidak begitu.

“Keutamaan saya menjual jubah adalah sebab saya boleh pakai sendiri jubah yang dijual. Saya akan pastikan jubah ini benar-benar menutup aurat. Kadang-kadang orang tidak nampak apabila mereka jual sesuatu benda itu ada kekurangannya. Saya berusaha untuk menjaga sebaik mungkin apa yang saya jual kepada orang.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan perniagaan yang dimiliki ini. Inilah punca rezeki saya dan keluarga. Apa yang penting apa yang saya buat ini halal,” katanya lagi, jika penggemar jubah,blaus dan tudung jualannya bolehlah melayari butik online @kernadia_byabbyabadi.

Bercerita mengenai jubah dan tudungnya ini juga sudah pasti pembaca MW menyedari kadangkala Abby turut menggunakan anaknya Marissa Dania sebagai modelnya di akaun Instagramnya. Setiap kali Abby memuat naik perkongsiannya di Instagram sudah pasti banyak likes akan diperoleh. Semuanya kerana walau baru berusia 14 tahun, anak keduanya itu sudah menjadi ‘pujaan’ ramai kerana kecantikannya.

Apa perasaan Abby apabila anak-anaknya mula jadi tumpuan ramai?

“Bila anak saya jadi tumpuan? Apa perasaan saya? Semua itu anugerah Allah. Takkanlah saya hendak marah bila orang suka pada anak saya,” ulasnya sambil tersenyum.

Ambil Dua Angkat, Allah Beri Rezeki Anak Sendiri

Hubungan rapat Abby Abadi dan bekas suaminya Norman Hakim bukanlah satu perkara luar biasa lagi. Walaupun Abby kini sudah berkahwin baru dan begitu juga Norman, yang telah berkahwin dengan Memey Suhaiza, namun masing-masing boleh bertoleransi terutamanya dalam soal mendidik anak-anak.

“Saya sebenarnya tidak ada masalah dengan Norman dan Memey. Pertama kali bertemu keduanya ketika mereka belum berkahwin lagi. Ketika itu, saya sudah boleh terima mereka berdua. Allah izinkan saya terima takdir yang tersurat dan saya reda dengan apa yang berlaku.

“Semua yang berlaku itu telah ditentukan. Perlu apa saya berdendam dengan mereka. Saya juga perlu move on untuk masa hadapan saya dan anak-anak kami. Saya tidak tahu hendak cakap bagaimana sebab segala-galanya yang berlaku itu dengan izin Allah.

“Kemusnahan rumah tangga kami itu saya tidak pernah salahkan Norman. Saya juga ada kesalahan saya. Apa yang pasti kami sama-sama gagal dalam mempertahankan rumah tangga,” tambah Abby.

Kini Abby bahagia dengan suaminya Faizal Zakaria atau lebih dikenali sebagai Jaiezzanny. Baru-baru ini rumah tangga yang dibina semakin berseri apabila Abby disahkan mengandung. Sebelum ini Abby pernah mengalami keguguran dan sebab itu dia mahu mewar-warkan kepada umum berita kehamilannya.

Ketika penggambaran ini jalankan, usia kandungannya baru tiga bulan. Walau sedikit letih namun Abby mampu menghabiskan penggambaran dengan sebaik mungkin.

“Saya sebenarnya tidak sangka akan mengandung lagi. Bila dah sah mengandung, saya berdoa pada Allah agar segala-galanya berjalan dengan lancar. Niat saya hendak menjaga baby lain dan tiba-tiba Allah bagi saya baby sendiri.

“Kehamilan sekarang ini saya rasa sama seperti ketika masih muda dulu. Masih kuat cuma risikonya mungkin usia sudah masuk 40-an, jadi segala-galanya berbeza. Dahulu saya tidak ada penyakit, kini ada. Segala-galanya perlu dipantau dengan sebaik mungkin,” jelas Abby.

Namun sebelum hadirnya ahli baru dalam keluarga ini, sejak awal tahun lalu Abby dan suaminya telah pun mengambil dua orang anak angkat bernama Muhamaad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Malah sewaktu penggambaran ini dilakukan, ternyata kedua-dua anak angkat Abby ini gembira berada di dalam lingkungan keluarga Abby dan Faizal. Setiap kali kedua-duanya melihat Abby, sudah pasti mereka mahu diangkat dan didukung oleh ibu baru mereka ini.

Abby yang kuat naluri ibunya ini kadang-kadang terlupa yang kedua-dua anak barunya itu adalah anak angkat. Sebagaimana dia melayan Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim, begitu jugalah dia melayan kedua-dua anak angkatnya itu.

“Sudah lama saya tidak ada anak kecil. Sejak berkahwin dengan suami sekarang ini, boleh kata selang setahun mengandung, tetapi tidak ada rezeki untuk mendapat anak. Selepas itu saya nekad hendak mendapatkan anak.

“Ternyata permintaan dan doa saya itu Allah bagi secukupnya. Saya menerima kehadiran sepasang anak angkat lelaki dan perempuan. Mereka seperti kembar kerana usia mereka tidak jauh, masing-masing berusia setahun.

“Pada mulanya banyak perkara saya tidak tahu mengenai anak angkat. Tetapi apabila saya masuk media sosial dan beritahu saya mahu mengambil anak angkat, ramai pula yang minta tolong saya carikan anak angkat untuk mereka.

“Saya tidak ada masalah menolong mencarikan anak untuk dijadikan anak angkat kepada ibu bapa angkat ini. Cuma jika mahu minta tolong saya harap jangan terlalu banyak permintaan yang melampau,” kongsi Abby lagi.

Bercerita mengenai anak-anak angkatnya, Abby menjelaskan mengikut persetujuan awal dia dengan keluarga anak-anak angkatnya itu, Abby boleh membela anak-anak angkatnya itu sehingga bila-bila.

Tidak Berani Cakap Berjaya Dalam Didik Anak

Selain kehidupannya sebagai selebriti dan wanita bisnes, perkara yang membuatkan Abby menjadi tumpuan ramai ialah apabila kisah anak-anaknya dihantar belajar di sekolah tahfiz. Berbeza sungguh permulaan perjalanan anak-anaknya jika dibandingkan dengan Abby.

Ramai yang memuji Abby dan bekas suaminya Norman apabila anak sulung mereka Danish sudah menghafaz Al-Quran dan mampu menjadi mengimamkan solat dalam majlis tertentu. Abby amat menghargai pujian tersebut. Namun dirinya tidak riak. Baginya dia bersyukur dengan apa yang dicapai oleh anaknya sekarang.

“Hendak kata saya telah berjaya mendidik anak, masih terlalu jauh perjalanannya kerana anak-anak baru berusia 16, 14, dan 11 tahun. Belum lagi separuh hidup mereka. Masih awal lagi. Saya tidak berani guna perkataan ‘berjaya’.

“Saya cuma mampu ucapkan syukur kerana saya mampu membawa anak-anak berhijrah ke satu jalan dan kehidupan yang lebih baik. Saya paling takut apabila anak-anak tidak ada agama. Saya risau jika anak-anak jadi seperti saya ketika saya muda dahulu.

“Sebaik memiliki anak-anak dahulu hati saya risau. Saya takut anak-anak jadi pelik. Ditambah pula ketika itu saya lihat sekeliling ramai yang lupa agama. Saya sedar ketika muda saya seperti ke laut. Tidak sedar akan kepentingan agama.

“Saya berazam jika ada anak saya tidak mahu mereka jadi seperti saya. Pada permulaan mahu menghijrahkan anak-anak saya fikir lebih baik saya hijrahkan diri saya sendiri. Semuanya perlu bermula daripada saya.

“Mama Selalu Pesan Sebelum Buat Sesuatu Ingat Mama, Papa.” – Marissa Dania

Sesungguhnya keayuan dan kecantikan wajahnya serta kelembutan sikapnya membuatkan mata yang memandang terpikat. Apatah sikapnya yang pemalu membuatkan gadis ini memiliki ciri lengkap seorang wanita Melayu. Biar pun baru berusia 14 tahun, tetapi kemunculannya di media sosial mula mencuri tumpuan.

Marrissa Dania Hakim merupakan anak kedua Abby Abadi dan bekas suami, Norman Hakim, kini sedang menuntut di sebuah sekolah tahfiz di Kuala Lumpur. Biar pun pada awalnya gadis manis ini berat hati apabila dipinta untuk menyambung pengajian di sekolah tahfiz, tetapi lama-kelamaan dia akur.

“Mula-mula memang saya tidak biasa dengan suasana di sekolah tahfiz, ambil masa. Tapi saya kuatkan hati kerana saya tahu mama dan papa pasti inginkan yang terbaik untuk saya. Kini telah dua tahun saya bersekolah di sana dan semuanya semakin baik. Setiap kali saya rasa berat hati nak ke sekolah, pasti mama akan cakap sabar dan hafal al-Quran sampai habis dahulu.

“Tidak dinafikan pada awalnya agak susah, tetapi apabila bergaul dengan kawan-kawan, saya jadi seronok dan gembira. Pengajian di sekolah juga buat saya jadi orang yang lebih baik. Selain mula menghafal Al-Quran, saya juga belajar akademik seperti biasa. Insya-Allah saya akan cuba untuk habiskan hafalan saya,” ungkap Dania sambil tersenyum.

Garang Bertempat

Bagi Marissa Dania, ibunya seorang yang garang dan tegas jika melibatkan soal pendidikan dan masa depannya. Manakala di waktu yang lain ibunya mampu menjadi seorang ibu yang cukup penyayang dan baik hati. Sikapnya ibunya yang penyayang membuatkan Dania selesa berkongsi apa sahaja dengan ibunya.

“Selalunya mama selalu pesan kalau nak buat apa-apa, ingat mama dan papa dulu. Jangan tinggal solat dan jaga aurat. Itulah pesanan yang selalu mama cakap dengan Dania. Saya tahu mama risau dan bimbangkan saya, jadi saya doakan mama sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki,” tambahnya lagi.

*********************************

Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Abby Abadi dan anaknya Marissa Dania, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu Julai, volume 2 yang kini telah berada di pasaran.

Penyelaras dan teks: Julie Roshana Akma bt Shafee / Nur Syazwani Mehat
Foto: Azfarina Sulaiman / Mohd Izwan Zainal
Solekan: Kelrina (Abby Abadi); Dini Awaluddin (Dania dan Danisha)
Busana dan tudung: Jubah Kerna Dia by Abby Abadi

Published by
Suhaidah Abd Wahab