Kasih abang ini pada adik sendiri tiada tolok bandingnya. Lagak bagaikan hero rela berkorban nyawa demi menyelamatkan adiknya yang masih bayi dari maut terbakar.
Seorang abang sanggup bergadai nyawa menyelamatkan adiknya berusia sembilan bulan daripada rentung selepas rumah mereka di Kampung Parit Suratman, Parit Yaani, musnah dalam kebakaran, semalam.
Nor Azmi Khairul Azri, 12, dianggap wira kerana keberaniannya meredah api sebaik menyedari adiknya Haziq ‘tertinggal’ dalam rumah kerana masing-masing sudah keluar menyelamatkan diri dalam kejadian 1.45 tengah hari itu.
Menceritakan kejadian itu, abangnya, Hazman, 14, yang melecur di kedua-dua tapak kaki berkata, dia terlebih dahulu keluar dan ibunya, Nor Izura Maat, 36, menyelamatkan barangan lain dalam rumah itu.
“Ketika itu, barulah ibu teringat adik masih dalam rumah dan Nor Azmi segera masuk meredah api sedang menjulang lalu mendukung adik keluar. Saya tidak boleh berlari lagi ketika itu kerana tapak kaki sudah melecur.
“Pada masa kejadian, ibu menjerit supaya kami keluar menyelamatkan diri manakala Haziq sedang bermain di ruang tamu. Masing-masing ketika itu dalam keadaan kelam-kabut hingga terlupa adik masih lagi berada dalam rumah,” katanya ketika ditemui.
Hazman dan ibunya melecur kedua-dua tapak kaki kerana terpijak tikar getah panas manakala Nor Azmi hanya cedera di ibu jari kakinya.
Pelajar Tahfiz Darul Qura itu berkata, sebelum kejadian dia bersama adik yang lain berada di rumah dan terhidu bau asap.
“Saya ternampak warna kemerahan dari bilik saya dan belum sempat membuka pintu, api sudah menjulang. Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api marak begitu cepat.
“Mujurlah semua ahli keluarga kami selamat walaupun rumah pusaka ini musnah sama sekali. Kami reda dengan kejadian itu dan menganggap ada hikmah di sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, sepupu kepada Hazman, Khairul Hamim, 34, berkata, malam sebelum kejadian, rumah itu mengadakan tahlil berikutan kematian ibu angkat Nor Izura.
“Tak sangka, majlis tahlil pada malam itu adalah terakhir di rumah ini. Ini rumah peninggalan arwah datuk yang berusia lebih 40 tahun,” katanya.
Mesti Baca: Keluarga Basman Persoal Cara Kematian Anak Jatuh Bangunan Sekolah, Musykil 4 CCTV Rosak Satu Masa
Baca Lagi Di Sini: “Cucu Ke Anak?” Wajah Awet Muda Buat Ramai Tak Sangka Nazseli Ngasri Sudah Ada 2 Cucu
Artikel Menarik:Majikan Hanya Beri Cuti Bersalin 2 Hari, Balik Dari Kerja Suami Jumpa Isteri Dah Meninggal. Anak Merengek Kelaparan
Mingguan Wanita: Tahniah buat abang ini, sanggup bergadai nyawa demi adik tersayang. Semoga diberi kekuatan buat keluarga ini dalam mengadapi musibah ini.
Sumber: Hmetro