Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Ads
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Ads
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ammar dan anak bongsunya, Zahraa.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Ads
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cahaya mata pelengkap rumah tangga. Tapi bila dah lama berumah tangga, rezeki mengandung tak juga lekat, bermacam emosi bermain dalam fikiran isteri mahupun suami. Semakin lama, semakin orang akan bertanya yang kadangkala buatkan hati pasangan jadi terluka.
Pengasas produk penjagaan wanita, Puan Noor Shafarina Safiee antara wanita yang diberikan ujian belum dikurniakan kehadiran cahaya mata selepas 4 tahun mendirikan rumah tangga. Bermacam ujian dialami, namun itu tak mematahkan hatinya. Beliau yang membahasakan dirinya kak Moly berkongsi kekuatan untuk wanita-wanita di luar sana yang senasib dengannya.
Actually ramai yang tak tahu kak Moly ni dah kahwin, nak masuk tahun ke 4 dah pun. Sebab kak Moly jarang kongsi gambar dengan suami (dia tak nak expose) kak Moly selalu share bab bisnes dan minat je. Yelah, nak share apa lagi kalau bukan minat macam gambar-gambar ni. Ni jela mampu kak Moly buat, sharing untuk inspirasi; share produk, share pasal kehidupan, share pasal makanan, paling best share kesukaanku PINK. Dekat wall sendiri tak salahkan, bergantung pada niat kita.
Dunia hari ni, orang yang tak suka pada kau akan cari point di mana kelemahan dan apa yang kau tak ada. Kak Moly tak ada “anak”. Tapi kak Moly bukan jenis yang sentap. Just nak share kat ampa lah kerenah sesetengah manusia ni. Bila orang nampak kita mewah selalunya akan keluar perkataan,
“Tengok tu, banyak duit. Kaya tapi tak ada anak.”
Bila kau salah sikit, orang akan cakap,
“Patut la tak ada anak..“
Bila kau hulurkan bantuan nak pegang anak orang waktu orang tengah makan, orang cakap,
“Beranak la sendiri. Sibuk nak pegang anak orang.”
Bila kau jumpa makcik bawang dia akan kata,
“Kesian suami kau, dah lama kahwin tak ada anak, nanti mesti dia cari lain.”
Even jual produk dalaman pun macam satu kesalahan, macam kak Moly keluarkan miss V perfume, ada yang cakap, “Kenapa tak spray banyak-banyak bagi lekat zuriat.” Seolah-olah rezeki anak tu ada kat produk, sedangkan produk apa sekalipun hanya penyebab dan usaha, yang nak beri hanyalah Allah.
Paling dahsyat bila orang tak puas hati pada kau. Dia akan hantar mesej maki hamun pasal anak. Seolah-olah kau tak layak ada anak.
Kak Moly bukan jenis sentap, bagi kak Moly Allah dah atur semuanya, even kita nak suap nasi pun Allah dah atur. Kalau bukan rezeki, makanan yang nak suap tu akan jatuh ke lantai. Kak Moly syukur sebab ada suami yang tak pernah guris hati dengan soal anak, keluarga yang tak pernah perli-perli atau paksa buat itu ini. Kawan-kawan yang sentiasa bagi sokongan dan tak pernah perli atau sakitkan hati.
Allah Tak Hukum; Tak Ada Anak Tak Layak Ke Syurga
Kak Moly ada bisnes, fokus dengan semua tu saja. Dapat bagi orang lain tambah income, dapat sara keluarga pun dah cukop buat diri rasa happy. Masa masih panjang, nenek umur 70 pun boleh beranak. Apatah lagi kita yang masih muda. Allah masih bagi masa, andai tak ada masa, kita tetap boleh masuk syurga walaupun tak ada anak. Allah tak ada hukum pun orang yang tak ada anak tak layak ke syurga.
Bagi anda yang senasib dengan kak Moly, jangan sentap. Letakkan diri kita sebagai hamba. Semua kat dunia, di langit dan di bumi adalah milik Allah. Kita tak perlu marah pin. Orang tanya kita senyum dan jawab belum ada rezeki. Apa yang kita usaha tak perlu ceritakan pada semua orang, kita jumpa doktor ke.. makan ubat ke.. itu ke ini ke tak payah bagitau.
Semua tu atas usaha kita, kalau Allah tak nak bagi tandanya belum rezeki. Kita jangan mengeluh nasib, sebab takdir kita kat dunia ni tak sama. Allah bagi kita rezeki dari macam bentuk, wang ringgit.. kesihatan, ketenangan.. tu pun dah cukup baik.
Ada orang yang lansung tak ada harta, tapi ada anak yang ramai. Itu rezeki. Ada orang yang ada harta dan ada anak. Itu rezeki dia juga. Ajar diri kita untuk bersyukur dengan apa yang Allah bagi. Orang sekeliling juga kena main peranan, jangan hina orang seperti kami. Allah bagi anda anak, anda patut bersyukur, anda patut mendoakan orang lain supaya di kurniakan rezeki anak juga. Moga kita sama-sama saling hormat menghormati. Jangan guris hati insan lain, sebab diri kita belum cukop sempurna dan memang tak akan sempurna.
Kak moly tulis bukan nak raih simpati sesiapa, hanya sekadar berkongsi.
Sumber/Foto: Noor Shafarina Safiee via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada kata-kata menyebut dapat mentua yang baik pun satu rezeki. Hati menantu jadi lapang dan tenang. Begitu juga dengan kisah perhubungan Dafreena Dafril dengan mentua yang begitu akrab bagaikan anak sendiri.
Ibu mentuanya yang pandai menjahit, menurunkan ilmu menjahit pada anak menantu perempuannya ini. Sebak pula bila ibu mentua sebut, kemahiran yang diajarkan itu sebagai kenangan untuk menantu bila mana ibu tiada kelak.
Tergerak Hati Belajar Menjahit Dengan Mentua
6 tahun kawen. 6 tahun duduk dengan mertua. Takde langsung minat nak menjahit walaupun mak mertua jahit cadar, bedung dan barut baby, tilam baby, bantal, comforter semua tu.
Tiba-tiba 2 hari lepas, macam datang keinginan dalam hati nie nak belajar menjahit. Mula-mula tu mak mertua cuma suruh jahit atas kain-kain perca. Jahit saja-saja. Sebab sebelum nie saya jahit kain tu ke belakang.
Hari ini datang rumah mertua tiba-tiba mak hulur kain-kain perca yang dia jahit cadar semua tu. Dia kata, “haa cantumkan. Buat selimut. Nanti boleh kita bawak balik KL.” Maka terhasil lah separa siap.
Mak mertua saya memang kalau apa-apa semua dia akan suruh saya dulu. Padahal anak perempuan dia 3 orang.
Sebab mak pernah cakap, “semua anak-anak aku tak ikut jejak aku. Kau je sorang menantu perempuan yang aku ada. Nanti kalau mak dah takde, ada lah kenangan mak dengan kau.”
Sedih bila dengar dia cakap macam tu.
Saya memang rapat dengan dia. Pergi shopping dengan mak, kadang underwear pun mak belikan, tiap kali nak dapat baby, mak lah yang siapkan barut, bedung, jaga dalam pantang. Mak pun tukang urut jugak. Mak saya pulak kurang sihat. Dah tak kuat macam dulu. Sakit kencing manis dan buah pinggang kronik.
Semoga ibu-ibu dan ibu mertua kita sihat sentiasa dan berada dalam kerahmatanNya. Aamiin.
Berkongsi kisah pahit manis kehidupan berumah tangga ibu kepada dua orang anak perempuan, Rohayu Abdul Manaf (bukan nama sebenar) 29 tahun, yang dibina bersama suami, Amiruddin Ahmad (bukan nama sebenar) 45 tahun. Mereka diuji dengan masalah kewangan yang berpunca daripada ketidak tentuan pekerjaan suaminya. Sudahlah duit perbelanjaan sentiasa tidak cukup muncul pula kelibat orang ketiga yang mengeruhkan lagi keadaan. Isteri mana yang tidak terluka apabila suami mula berlaku curang. Namun disebabkan jarak umur yang jauh berbeza serta rasa hormat yang tinggi, Rohayu sering memberikan silent treatment kepada suaminya. Tanpa disedari keadaan itu berlanjutan sehingga berbulan-bulan. Masalah tidak juga selesai malah menambah tekanan dalam diri Rohayu.
Dalam kes ini, majoriti wanita akan menjadi ‘mangsa’ kepada perasaan sendiri dan tidak tahu apa yang perlu mereka buat untuk mempertahankan rumah tangga. Jadi, ada tiga langkah awal yang wajib dilakukan apabila berlakunya ‘ribut’ dalam hubungan yang dikongsikan oleh Puan Diyana Tahir, Pakar Hubungan & Keintiman.
1.Being Present
Ramai orang gagal mengecapi kebahagiaan kerana tidak being present. Masih terperangkap dengan dendam, kemarahan, kekecewaan akibat peristiwa lalu yang menyebabkan kita tidak nampak apa nikmat yang telah kita kecapi hari ini.
Apa kata, pejamkan mata sejenak, lihat dengan mata hati,“Adakah aku sudah being present dalam hidup? Adakah dengan ‘hidup’ pada masa lalu akan membuatkan hubungan ini makin baik?”
2.Perbaiki Diri
Tumpukan pada diri, bukan pada pasangan anda. Jangan harapkan pasangan berubah tetapi anda yang perlu mula ubah diri. Upgrade diri, emosi dan minda. Penuhkan diri dengan mindset positif. Inilah antara elemen self-love. Ramai yang tidak percaya dengan mencintai diri sendiri, energi kasih sayang akan berkembang dan ‘berjangkit’ kepada orang lain.
3.Gali Ilmu Rumah Tangga
Setiap kebahagiaan perlukan ilmu. Apatah lagi ilmu untuk melayari alam perkahwinan yang banyak cabaran dan rintangan. Cubalah mengikuti program-program yang boleh membantu pasangan yang mengalam masalah seperti ini.
Semarakkan Kasih Sayang
Dalam menyemarakkan kasih sayang dalam rumah tangga, ada beberapa tip hebat untuk anda gunakan secara halus dan berkesan untuk keintiman dalam rumah tangga.
1.Kagumi Kelelakian
Lelaki akan merasa menang apabila wanita wanita mengkagumi kualiti kelelakiannya.
Ungkapkan ‘saya kagum dengan kematangan dan ketenangan abang, saya suka sebab saya rasa abang seksi macam tu’. kata-kata ini membuatkan suami sentiasa merasa hebat dan gembira.
2.Tunjukkan Bahagia
Setiap hari tunjukkan rasa bahagia kepada suami. Sentiasa gembira dan tersenyum, hadapi masalah dengan tenang dan tidak menyalahkan suami semata-mata. Seorang isteri perlu membahagiakan dirinya dahulu barulah dia boleh membahagiakan suami dan keluarganya.
3.Hargai Suami Seadanya
Ada kalanya kita tidak suka dengan perangai dan tingkah laku suami. Namun, kita perlu
berusaha menerima dia seadanya. Belajar bersama dan sentiasa menambah baik diri masing- masing dengan membaca, menghadiri ceramah dan sebagainya. Sekiranya dia berbuat salah maafkan dia kerana kita juga seperti dia pernah berbuat salah dan tidak sempurna.
4.Tanya Pada Suami
Tanya pada suami ‘Apa yang buat abang rasa menang ketika bersama sayang?’. Soalan seperti ini akan membuatkan kita lebih memahami kehendak suami dan sama-sama meningkatkan frekuensi diri. Tanamkan di dalam hati bahawa ‘aku akan menangkan suami’, sentiasa fokus kepada solusi. Ungkapkan pada suami ‘saya faham apa abang cakap’.
5.Beritahu Apa Yang Anda Suka
Ungkapkan apa yang anda suka apabila suami lakukan sesuatu, contohnya ‘saya rasa bahagia apabila menonton wayang bersama abang’.
6.Rasai Kemaafan
Setiap insan di dunia pasti melakukan kesilapan, namun kita tidak sepatutnya menjatuhkan
hukuman ke atas mereka sebaliknya perlu sentiasa belajar dari kesilapan agar tidak
mengulanginya lagi. Ungkapkan ‘saya faham kenapa abang buat macam tu, saya harap abang tak buat lagi’.
7.Isteri Bijak Urus Diri
Jangan salah faham. Ini tidak bermakna suami melepaskan tanggungjawabnya terhadap isteri. Namun suami akan rasa menang dan bangga apabila isterinya mampu berdikari dan bijak menguruskan dirinya.
8.Sentiasa Beri Respon
Puji dia ‘Allahamdulillah, tahniah abang berjaya dapatkan kontrak tu’. ‘Wah bersih dan
cantiknya kereta abang, baru cuci ke?’. Sentiasa sedar dan berikan pujian supaya suami rasa menang dan hebat di mata isterinya.
9.Suami Dihargai
Ucapan terima kasih adalah amat berkuasa dalam konteks ini. ‘Terima kasih abang tolong
sayang basuh pinggan, sayang abang’ atau ‘Terima kasih abang belanja sayang dan anak-anak makan’.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...