Ajal, maut dan jodoh semuanya ditangan tuhan. Bagaimana sekalipun kita merancang, hanya Allah yang menentukan segalanya takdir yang tertulis. Meskipun sukar kehilangan orang tersayang, hati harus redha dengan setiap kententuan ini.
“Abang janji nak balik hari ini.”
Hanya ayat itu yang terbit sayu di mulut Nur Faziera Izam, 29, ketika menyiram air mawar di pusara suaminya, Koperal Udara Syuib Bidin.
Syuib, 33, yang juga jurulatih di Instar, Pangkalan Udara Sendayan meninggal dunia selepas insiden bom lempar meletup ketika latihan di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, semalam.
Arwah Mohd. Syuib meninggalkan seorang balu berusia 30an dan dua anak masing-masing berusia tiga dan satu tahun.
Koperal Udara Syuib Bidin
Nur Faziera yang sedih dengan kehilangan itu dilihat hanya mengalirkan air mata.Dia mahupun ahli keluarganya bagaimanapun enggan ditemubual.
Mohd. Syuib yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada pukul 6 petang manakala penuntut Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan, Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ads
Jenazah Selamat Dikebumikan
Jenazah Syuib selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kapur Binjai, Kemaman kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Terdahulu, jenazah diterbangkan dengan Helikopter EC75 milik Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) dari Kem 4 Rejimen Artileri Diraja Gemas dan mendarat di Kolej Vokasional Kemaman.
Ads
Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek Binjai, Kemaman untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan dan turut diiringi Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim.
Seorang lagi mangsa yang juga jurulatih, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, berasal dari Kluang kini menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor di dalam pemantauan rapi dan dilaporkan stabil.
“Alhamdulillah pada tanggal 7/6 jam 12.55 telah lahir anak hebat dan putera sulung kita ini. Moga jadi anak yang soleh dan berbakti kepada Islam.”
Ayah Banyak Buat Salah Pada Awak – PU Abu
“Ayah mohon maaf sebab telah banyak buat salah pada awak di saat awak dalam kandungan. Jaga hati ummi elok-elok sebab banyak pengorbanan ummi sepanjang awak dalam perut ummi”
Dalam pada itu, PU Abu juga mengucapkan terima kasihnya kepada bekas isterinya, Ain ‘Afini kerana melahirkan anak mereka.
“@ainafini terima kasih kerana telah melahirkan anak hebat kita ini. Moga dia mewarisi kesabaran dan kekuatan awak sepanjang kandungkan dia.”
“Saya mohon doa netizen agar semuanya berjalan dengan baik dan segalanya dipermudahkan.”
Selepas melalui pelbagai kemelut rumahtangga, pasangan ini, PU Abu dan Ain sudahpun disahkan bercerai pada 15 Mei lalu. Dan kini bergelar suami kepada ahli perniagaan, Hana Azraa.
MW : Tahniah PU Abu dengan kehadiran cahayamata ini. Biarpun tak lagi menjadi suami Ain, semoga dapat menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada bayi baru ini dengan sebaiknya. Moga Allah permudahkan urusan kalian.
Tidak dinafikan ramai yang membeli emas sebagai perhiasan diri serta pelaburan pada masa akan datang kerana ia boleh digadaikan mahupun dijual ketika waktu susah. Bahkan nilai emas yang semakin meningkat saban tahun, memang boleh menjadi pelaburan yang menguntungkan kelak.
Susulan pengeluaran khas wang KWSP bermula 18 April baru-baru ini, menyebabkan pusat komersial dan beli belah di bandar raya ini menjadi sesak dan tumpuan orang ramai berbelanja.
Tinjauan di Pusat Komersial UDA, Tampoi mendapati kedai emas dan butik menjual pakaian raya antara premis yang menjadi tumpuan.Deretan kedai emas di pusat komersial di situ, dilihat dipenuhi orang ramai yang sanggup menunggu giliran di luar premis sejak ia dibuka jam 10 pagi tadi.
Bekas pekerja swasta, Emelda Bachok, 46, berkata beliau bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang meluluskan pengeluaran khas KWSP bermula kelmarin.
Beliau sekeluarga lega apabila mendapat wang tambahan bagi menyediakan persiapan Aidilfitri.
“Sebelum ini memang agak mencabar kerana saya mempunyai tanggungan besar, suami pula baru kehilangan kerja.
“Dengan pengeluaran khas KWSP ini dapatlah bernafas sikit beli apa yang patut. Separuh wang ini akan disimpan dan digunakan ketika kecemasan sahaja dan separuh lagi buat persiapan Aidilfitri.
“Saya memang dah berniat nak belikan dua anak perempuan berusia 15 dan 12 tahun barang kemas, sama ada gelang atau cincin emas dengan duit pengeluaran ini. Alhamdulillah niat ini tercapai hari ini,” katanya.
Juruteknik, Mohd Ashraf A Safar, 27, pula berkata beliau juga sangat bersyukur dan lega kerana permohonan mengeluarkan wang KWSP diluluskan.
“Alhamdulillah, saya hanya mengeluarkan separuh daripada jumlah had dibenarkan tetapi memang sangat lega dan bersyukur.
“Ada juga wang lebih selepas bayar hutang, bil dan keperluan lain. Hari ini saya bawa isteri, Nurul Nur Syafiqah Zuraimi, 26, beli barang kemas emas kerana banyak membantu saya ketika susah senang.
“Ini juga sebagai pelaburan juga ketika waktu susah kerana emas yang dibeli sama ada boleh dijual semula atau digadaikan ketika kami memerlukan wang nanti,” katanya.
Pertambahan Pelanggan Mendadak
Dalam pada itu, pemilik kedai emas De Aurora, Dayana Haironi, mengakui pelanggan ke kedainya bertambah secara mendadak bermula semalam.
“Sebelum ini, pelanggan ramai juga tetapi tidak seramai semalam dan hari ini. Rasanya pengeluaran khas KWSP memang mempengaruhi pertambahan pelanggan yang agak luar biasa.
“Saya jangkakan pelanggan akan terus bertambah dan memuncak pada hujung minggu ini berikutan pengeluaran khas akan mula dibelanjakan orang ramai dan kami sudah bersedia menambah stok barang kemas baharu selain menggunakan kakitangan sepenuhnya iaitu 30 pekerja pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini,” katanya.
Mingguan Wanita: Selain persiapan Aidilfitri, ramai rupanya yang membelanjakan pengeluaran khas KWSP untuk pembelian emas bagi tujuan pelaburan pada waktu terdesak. Apapun berbelanjakan dengan berhemah, utamakan keperluan dan manfaatkan sebaiknya pengeluaran khas KWSP ini.
Drama rantaian ‘Isteri Untuk Disewa’ arahan Osman Ali menerima teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Dalam surat terbuka yang ditulis semalam, beliau menjelaskan sengaja ambil peluang tonton drama berkenaan selepas selesai solat Isyak. Bagi menjawab beberapa isu fiqh yang timbul dalam drama ‘Isteri Untuk Disewa’.
Tentang Drama ‘Isteri Untuk Disewa’
Mukadimah
Alhamdulillah, kami rafa’kan segala kesyukuran kepada Allah atas pelbagai nikmat yang tidak terhitung kepada kita termasuklah negara yang aman dan makmur.
Kami mengambil prihatin dan cakna akan lambakan drama yang berkonsepkan santai, isu-isu kekeluargaan dan percintaan mutakhir ini. Secara umumnya sebagai penonton, kita harapkan drama atau filem yang berkualiti dan sarat dengan mesej, setanding dengan hasil seni peringkat antarabangsa.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa kami memilih “Isteri Untuk Disewa” dan bukan drama-drama lain? Ada beberapa sebab mengapa kami memilih drama ini:
1. Persoalan daripada mustafti berhubung tajuk drama ini. 2. Isu fiqh perkahwinan yang wujud dalam drama ini.
Secara umumnya, kami rasakan drama ini baik kerana mengenengahkan satu unsur baru dalam plot yang keluar daripada kebiasaan drama-drama lain yang bertemakan konflik keluarga dan percintaan.
Kami sama sekali tidak mempunyai sikap prejudis terhadap seni dan juga anak-anak seni. Ulasan kami ini adalah berdasarkan kepada beberapa babak yang ditayangkan dan menilainya semula dari sudut hukum-hakam.
Pertama: Tentang Tajuk
Kami nyatakan sepertimana berikut:
1. Tajuk drama ini; Isteri Untuk Disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah. Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia samada Islam mahupun bukan Islam.
2. Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Kedudukan isteri adalah terlalu mulia untuk dijadikan tajuk sebegitu, walaupun dengan tujuan gurauan. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19. Firman Allah SWT,
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
Ibnu Kathir ketika mengulas ayat ini menegaskan bahawa ayat ini memerintahkan untuk memperperhaluskan kata-kata dan memperindahkan perilaku dan sikap, sebagaimana yang kita kehendaki daripada seorang isteri.
3. Penamaan tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelasdaripada Hukum Syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat.
Kedua: Implikasi Hukum
4. Dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.
5. Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Qur’an, hadith dan pandangan fuqaha’.
6. Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang diluar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam.
Ini sebagaimana kata Imam al-Nawawi berkata: “Nikah mut’ah tidak dibolehkan, kerana pernikahan itu pada dasarnya suatu akad yang bersifat mutlak. Maka tidak sah apabila dibataskan dengan masa.” (Lihat al-Majmu, 17/356). Antara contoh bentuk nikah mut’ah adalah perkahwinan yang dihadkan tempohnya.
Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah, “Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama seminggu.” Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima.”
Penutup
Syabas dan tahniah diucapkan kepada wargakerja drama Isteri Untuk Disewa atas kejayaan menarik jutaan penonton bagi menonton drama ini.
Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel. Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya. Namun, seeloknya biarlah ianya selari dengan agama dan budaya ketimuran kita.
Sepertimana yang telah kami nyatakan di hadapan para artis dan selebriti tanahair dalam program “A Night With Mufti” di Istana Budaya pada Ramadhan lalu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa membuka pintu dan ruang kerjasama dalam memartabatkan industri seni tanahair. “Dinding” antara seni dan agama wajar dipecahkan bagi mengangkat budaya dan faham seni yang berkualiti serta berdaya saing.
Kami amat yakin bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau Lembaga Penapis Filem (LPF) sentiasa memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan drama dan filem yang disiarkan, mencapai standard kualiti dan moral yang terbaik.
Kami mengambil kesempatan memohon maaf atas kenyataan terbuka ini. Maaf sekiranya kenyataan ini mengguris hati mana-mana pihak. Tidak ada langsung secebis rasa benci dan marah melainkan kasih semata-mata. Kami bacakan firman Allah SWT:
Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.