Baik Mohd Ashraf Hassan, 29 atau dikenali sebagai Acap mahupun Nora Anne Quoirin, 15, kedua-duanya pernah dilaporkan hilang di dalam hutan. Bezanya, mayat mendiang Nora Anne dapat dijumpai semula, tetapi tidak jasad Acap, yang juga ayah kepada seorang puteri ini.
Kehilangan Acap yang disifatkan sebagai misteri itu sehingga hari ini masih dicari oleh ahli keluarga terutamanya abangnya, Denny Lang. Demi janjinya pada ibu, Siti Maznah Khamis, 58 yang akan setia mencari adiknya sehingga berjumpa di Gua Tempurung itu.
Terkini di facebook miliknya, Denny Lang atau nama sebenarnya Mohd Zahiruddin, 35 turut bersedih dengan musibah yang menimpa anak remaja istimewa pasangan suami isteri dari London itu, Sebastian Marie Philipe dan Maebh Jasephrine Quoirin.
Kata Denny,
“Kepada keluarga mendiang Nora Anne.
Kami merakamkan ucap takziah. Kami unit SAR Acap berasa terkesan dan turut bersimpati atas pemergian anakanda tuan.
Semoga tuan puan sekeluarga tabah.
Kepada unit bertindak SAR #PDRM #BOMBA #PGA #SENOI dan semua yang terlibat terima kasih atas kecekapan dan tindakan pantas yang berjaya membawa penemuan dan menyelesaikan konklusi tragedi pilu ini.
TAHNIAH diucapkan.. respect Alhamdulillah.
Nora Anne – rest in peace.”
Sehingga hari ini kehilangan Acap di Gua Tempurung ketika mengikuti larian Ultra Trail Gopeng 2019 sejak 23 Maca lalu masih terus menjadi misteri.
Sudah masuk Aidiladha pun Acap masih juga belum pulang. Inilah momen yang paling membuatkan anak, Aisyah dan isterinya, Hamizah Mohd Ali, 27 paling rindui.
Berkongsi rasa hati dengan pemberita, akui Denny kesedihan kehilangan Acap sukar untuk digambarkan.
“Dia hilang tanpa tanda, kesedihan kami hanya Allah yang tahu. Saya tidak sanggup melihat emak, isteri Acap serta anaknya bersedih mengingatinya, disebabkan itu saya masih terus mencari seminggu sekali.”
Bersama pasukannya, Denny akan meneruskan pencarian adiknya itu selepas Aidiladha ini selagi mampu bagi mencari petunjuk kehilangan adiknya.
Sumber/Foto : Denny Lang, Harian Metro