Pengorbanan dan kasih sayang seorang abah tu tiada yang kurangnya berbanding mak. Abah mungkin tak banyak berkata-kata, namun ekpresi wajah dan kelibatnya sahaja pun dah mampu membuatkan anak-anak ‘kecut perut’ dan tak tentu arah. Perlu ingat bahawa garangnya abah tu bersebab dan bukannya tanda dia tak sayang pada anak-anaknya. Kenangan manis bersama abah, tak mungkin luput dari ingatan dan menjadi memori abadi apabila semakin meningkat usia.
Abah tu,Cakap tak banyak, ayatnya ringkas.
Bila anak mula masuk sekolah
Mak pesan : Jaga diri baik-baik, nanti makan tau, belajar elok-elok, jangan gaduh dengan kawan, dengar apa cikgu ajar, bla bla bla…
Abah pesan : Ingat pesan mak.
Bila anak tinggal di asrama
Abah : Dah makan?
Anak : Dah.
Abah :
(Tak kisah la anak makan apa, janji anak dah makan)
Abah tu, Bila anak sebut sesuatu keinginan
Anak : Teringin la nak makan betik.
Mak : Mana nak cari betik? Kita bukannya ada tanam. Nak beli pun tengok musim.
Abah : krik krik krik (buat-buat tak dengar sambil tengok tv)
Esoknya bukak pintu, ada betik kat atas pagar. Siapa hantar? ABAHHHHH…
Abah tu, Kalau rumah dekat dengan anak, pantang ada masa, mulalah dia bersiar-siar depan rumah anaknya dengan moto tuanya. Tak dpt tengok anaknya, dapat tengok rumah anaknya pun jadi la. Walau anak dah ada keluarga sendiri, walau anak dah jadi milik orang.
Abah tu,Bila anak telefon tapi abah yang angkat
Anak : Abah sihat?
Abah : Sihat. Nah, cakap dengan mak kamu.
Terus pass kat mak.
Tapi tau tak, dia kat tepi mendengar mak sembang dengan anak, dia tunggu mak letak telefon, sebab dia nak tahu apa cerita anak dia.
Abah tu, Tak banyak cakap. Namun dalam setiap katanya ada ketegasan dan amanah yang ditinggalkan. Dia tak kisah dirinya tak diingati asalkan anak-anaknya pandai menjaga diri.
Abah tu, Nyawa dipertaruhkan demi anak-anak, bergadai tenaga memerah keringat di terik mentari. Biarlah dirinya tiada yang baru asalkan keinginan anak-anak dapat ditunaikan.
Abah tu,Dia tak pandai tunjuk kasih sayangnya, kerana padanya asalkan insan kesayangannya cukup makan pakainya, dia dah cukup gembira.
Abah tu,Dia tak minta dipuji, kerana padanya bukan itu yang penting.
Abah tu,Dia tak minta dibalas jasanya, kerana dia tahu semua jasa itu adalah tanggungjawabnya.
Abah tu,Dia sering disalah erti, kerana dia tak banyak berbicara.
Abah tu,Bila anaknya sakit, dia paksa anaknya bertahan. Jangan lembik. Bukannya dia tak sayang, bukannya dia tak risau. Tak tahu betapa sakitnya hatinya melihat anaknya sakit. Tapi dia nak anaknya jadi kuat.
Abah tu, Bila dia garang dengan anak-anaknya, bukan dia tak sayang. Dia tahu isterinya yakni ibu mereka akan pujuk anak-anaknya. Kerna dia nak anak-anaknya rapat dengan ibu mereka, kerna Syurga anak-anaknya di bawah kaki ibu mereka.
Abah tu, dalam rupanya yang tak ambil tahu, dia merisik khabar dari si ibu. Anak itu bagaimana, anak ini apa khabar, anak sana sihat le, anak sini ok ke.
Abah tu, walau anak-anak tu dah besar, pantang anak sebut nak makan apa, mulalah dia mencari keliling kampung asalkan jumpa kehendak anaknya. Tak kisahlah kalau dia perlu menebalkan muka meminta dari jiran tetangga, yang penting dia dapat memberikan anaknya apa yang mereka inginkan.
Abah tu, Wajahnya nampak bengis, tapi di hujung malam dia menangis mendoakan kesejahteraan anak-anak dan ahli keluarga. Betapa berat amanah yang dipikulnya walau ada ketika tak dapat dilihat dengan mata kasar.
Abah tu,Susah nak diajak bergambar, sebab dia taknak anaknya selalu melihat dirinya.
Abah….Dialah hero utama buat anak-anak.
Nukilan seorang anak
Farizal Radzali
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ada benarnya, kasih ayah tiada bezanya, sanggup berkorban demi anak anak dan keluarga. Hargailah pengorbanan ayah, curahlah bakti buat dirinya selagi masih ada di dunia. Buat yang telah tiada, DOA daripada seorang anaklah yang dinantikan sebagai bekalan buat dirinya di alam sana.
Baca Lagi Disini: Mak Tu, TIADA GANTINYA Walau Berapa Harta Yang Kita Ada
Sumber: Farizal Radzali