Tak susah sebenarnya nak dapatkan pahala sunat pada hari raya. Tapi itu lah dikala kita sedang sibuk dengan segala persiapan raya, adakalanya kita terlupa dan terlepas pandang dengan perkara-perkara sunat yang amat digalakkan untuk dilakukan pada hari raya ini.
Menghidupkan malam hari raya dengan beribadah kepada Allah,seperti bertakbir,berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, bertakbir, bertasbih dan beristighfar pada sepertiga akhir dari malam itu, dan yang terbaik ialah menghidupkan seluruh malam itu dengan amalan tersebut.
Ini berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:
(من أحيا ليلة الفطر وليلة الأضحى محتسبا، لم يمت قلبه يوم تموت القلوب)
Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam Hari Raya Aidilfitri dan malam Hari Raya Korban, maka hatinya tidak mati pada suatu hari yang mana hati-hati orang lain mati.”
Majoriti amalan umat islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaaran dengan ucapan ‘Selamat hari raya, Maaf Zahir Batin’.
Namun diceritakan al-hafiz Ibn Hajar al-Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair Nufair r.a katanya :-
” Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain “Taqabbalullah minna waminka”(semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”
Disunatkan untuk berniat mandi sunat di pagi hari raya sebelum berangkat menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri.
Disunatkan untuk makan sedikit pada pagi Hari Raya sebelum ke masjid. Disunatkan juga makan dahulu beberapa biji tamar (bilangan ganjil) pada hari raya Fitrah, dan dilewatkan makan pada hari raya Korban sehingga balik dari menunaikan solat.
Ini berdasarkan hadis Anas:
كان رسول الله لا يغدو يوم الفطر حتى يأكل تمرات
Maksudnya: (Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari raya Fitrah sehingga baginda makan beberapa tamar.)
أن رسول الله لا يخرج يوم الفطر حتى يأكل، وكان لا يأكل يوم النحر حتى يصلي
Maksudnya: Hadis Buraidah (Bahawa Rasulullah SAW tidak keluar pada hari Raya Aidilfitri sehingga baginda makan dan baginda tidak makan pada hari Raya Korban sehingga baginda solat.) Riwayat Tarmizi & Ibnu Majjah
Berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Disunatkan juga mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.Walau pun begitu, tiada halangan untuk pulang mengikut jalan yang sama.
Banyakkan berdoa kepada Allah pada malam Hari Raya kerana malam raya merupakan antara waktu mustajab doa dimakbulkan.
Setelah sebulan umat islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t, makan tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan.
Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah , seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat islam.
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadahan lalu diiringi dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun. Cara paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya secara berturut-turut (bermula pada 2 syawal. Namun seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan syawal samada secara berturut-turut atau berpisah-pisah.
Hari Raya dengan duit raya memang sukar dipisahkan. Sekiranya anda bercadang nak beri duit raya, berniatlah untuk bersedekah dan kerana mengikut sunnah Nabi SAW.